mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Pluralisme cabar kedudukan Islam

Fakta jelas menunjukkan kalimah Allah tiada dalam kitab agama lain


Mahkamah telah memutuskan kalimah Allah adalah eksklusif untuk Muslimin walaupun tidak dinafikan ada pihak tidak berpuas hati dan mempertikaikan keputusan hakim. Mahkamah membuat keputusan kerana mereka telah diminta untuk membuat keputusan.


Oleh itu, tiada gunanya membawa kes ke mahkamah jika keputusan mahkamah tidak diterima, dan pertelagahan tetap mahu diteruskan. Jika semua pihak mahu memahami bahawa isu ini adalah isu terjemahan yang salah, dari awal lagi tiada keperluan untuk membawanya ke mahkamah.

Sudah memadai bagi pihak berkenaan bertanya kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) apakah terjemahan Melayu bagi kalimah ‘God’, dan mereka akan menjawab: ‘Tuhan’. Alasannya, kalimah Allah adalah nama khas, dan nama khas tidak boleh diterjemahkan kerana akan menimbulkan kekeliruan terhadap maksudnya.

Tidak timbul soal kebebasan beragama, kebiasaannya dalam bahasa Indonesia, kewujudannya dalam Injil bahasa Arab dan meluasnya penggunaan kalimah itu di kalangan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak.

Semua itu hanyalah kekeliruan-kekeliruan yang datang kemudian, sama ada disengajakan atau tidak.

Lebih penting adalah supaya masing-masing bertanya kepada diri sendiri apakah sebenarnya hakikat yang dirujuk dengan kalimah itu.

Bukan semata-mata nama

Kalimah Allah bukan semata-mata nama, kerana ada pihak yang sinis menyindir semua ini hanyalah perebutan nama. Ia nama paling agung kerana merujuk kepada Wujud Yang Teragung, yang telah menzahirkan hakikat-Nya kepada manusia melalui kalimah-Nya yang ditanzilkan kepada Rasul-Nya.

Maka terlebih dulu mesti diakui bahawa kalimah Allah itu ditanzilkan, bukan kata terbitan dari mana-mana bahasa. Maksudnya, Allahlah yang mengkhabarkan kepada manusia bahawa nama-Nya ‘Allah’.

Dengan nama itulah, di samping nama-nama-Nya yang lain yang ditanzilkan, Dia mahu dirinya diseru. Hanya dalam Islam perkara ini berlaku, kerana hanya dalam Islam tanzil itu terpelihara. Dalam agama Kristian, bukan Allah yang mereka sembah.

Tanyakan persoalan ini kepada ahli teologi mereka dan tuntutlah jawapan yang jujur. Mereka tidak menyembah Allah dan tidak pernah merujuknya dengan kalimah Allah. Bagaimanakah boleh berlaku tiba-tiba di Alam Melayu ini mereka mengisytiharkan mereka juga menyembah Allah?

Adakah ini perisytiharan yang jujur dan patut kita semua alu-alukan ataupun Kristian di sini menyembah Tuhan yang berbeza daripada yang disembah di tempat lain? Jika mereka jujur mengakui mereka sebenarnya menyembah Allah, sejak bilakah itu berlaku?

Fakta menunjukkan kalimah Allah tidak wujud dalam kitab utama rujukan mereka, manakala Injil dalam bahasa Arab, hanyalah sebuah kitab terjemahan, bukanlah sumber autoritatif agama Kristian. Jika tidak, kenapa tidak jadikannya rujukan kepada seluruh penganut Kristian, bermula di Vatican.

Persoalan sebenar adalah kejujuran dalam beragama.

Pluralisme pada dasarnya adalah terbit dari sikap anti-ilmu, terutama sekali terhadap ilmu agama yang berpunca dari wahyu. Ia secara halus menafikan kedudukan Islam sebagai satu-satunya agama tanzil ataupun mengaburkan pengertian tanzil hingga meletakkan semua agama setaraf agama tanzil.

Pluralisme mengajarkan kepelbagaian hakikat dan setiap satunya dianggap sama benar sama sah, tidak ada yang lebih benar atau lebih sah daripada yang lain.

Apabila falsafah pluralisme digunakan bagi mentafsirkan agama, maka segala dakwaan dibuat oleh agama yang berbeza itu disamakan taraf dan kedudukannya sebagai dakwaan manusia yang relatif kepada budaya serta sejarah masing-masing.

Agama yang disamakan tarafnya dan tiada memiliki keutamaan serta keistimewaan mengatasi yang lain. Dalam sistem pemikiran sedemikian bagaimanakah boleh diterima kedudukan istimewa agama Islam seperti dinyatakan dalam perlembagaan negara.

Justeru, kita lihat kebelakangan ini betapa giatnya usaha pihak tertentu mencabar kedudukan agama Islam dalam negara ini. Usaha ini adalah tidak lain usaha pensekularan melalui penyebaran ideologi pluralisme.


Golongan pluralis

Golongan pluralis mengajak umat Islam terlebih dulu meragui kebenaran agamanya dan itu akan membuka jalan untuknya berkompromi dalam soal akidah. Keyakinan terhadap sesuatu akidah dimomokkan sebagai punca konflik dan pertikaian yang menumpahkan darah.

Pandangan sebegini amat sukar untuk ditangkis melihatkan kepada senario semasa di mana kepercayaan agama dikaitkan secara langsung dengan keganasan dan pertumpahan darah.

Di negara kita, walaupun kepercayaan agama belum menjadi alasan yang menumpahkan darah, namun kebimbangan tetap wujud kerana semakin meningkatnya anasir pelampau di sana-sini bukan saja dalam kalangan orang Islam termasuk penganut agama lain dan pendokong ideologi sekular.

Kaum pluralis itu adalah pelampau kerana mereka mengajar manusia supaya tidak membezakan antara kebenaran dan kepalsuan demi mencapai perpaduan serta keamanan. Keamanan sebenar berpunca daripada keyakinan hati terhadap kebenaran, itulah cita-cita setiap insan.

Perbuatan pelampau menggunakan alasan agama untuk mencapai cita-cita politik melalui penindasan dan keganasan tidak harus dijadikan hujah untuk mengaitkan agama dengan sikap yang zalim.

Ia sebaliknya menguatkan lagi keazaman pencinta kebenaran untuk mengenali hakikat seperti mana ia. Ia cabaran getir pada zaman di mana maklumat banyak dan mudah diperoleh sedangkan kayu ukur buat menilai maklumat itu tidak dimiliki melainkan oleh sebahagian kecil manusia.

Md Asham Ahmad ialah Felo Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia. Berita Harian Online Agama Perspektif IKIM 07/11/2013
Tags: kalimah, pluralisme
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments