mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Bulan untuk memperkukuh perpaduan

PERDANA MENTERI, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah mengatakan: ‘‘Sekarang bukan masanya untuk kita bercakap mengenai kenapa? Kita mesti memikirkan bagaimana. Kalau kita terlalu memikirkan soalan dan mencari jawapan kenapa, sampai bila pun tidak diketemukan solusi. Hidup ini semakin kompleks.

‘‘Kalau kita hanya memfokuskan fikiran kita untuk mencari jawapan kepada soalan kenapa, kita seringkali merujuk kepada apa yang berlaku semalam, dan bukannya, apa yang akan berlaku keesokannya.’’

Selasa lalu, kita menyambut Maal Hijrah. Ini bermakna setelah berpusing-pusing mencari jawapan kepada soalan kenapa, tahun ini kita memasuki ke tahun 1435 Hijrah. Bermakna, proses dakwah yang dilaksanakan oleh Rasullullah SAW sudah melangkaui hampir satu setengah milineum. Kita juga pernah belajar sejarah, permulaan hijrah dari Mekah ke Madinah berlaku kerana Rasullullah SAW berhadapan dengan pelbagai ancaman dan bagi membolehkan dakwah dilaksanakan secara berkesan, maka perlu berhijrah kerana penduduk Madinah sedang menunggu kehadiran baginda.

Sebagai bulan yang mulia, umat Islam diwajibkan mempertingkatkan semangat dan menterjemahkan semangat itu dalam bentuk perbuatan, melakukan perubahan dari keadaan yang kurang baik kepada yang lebih baik. Bukan sahaja bertekad membaiki ekosistem masyarakat dengan memperbaiki perilaku sendiri, bahkan menjaga keseluruhan aspek yang mempengaruhi kehidupan.

Salah satu antara hari-hari yang bersejarah dalam Islam adalah hari ke-10 bulan Muharam, yang kemudian disebutkan hari Asyura. Ia menjadi tarikh penting antara lain diundangkannya untuk pertama kali sebagai hari berpuasa dalam sejarah Islam.

Sebenarnya, ada dua peristiwa bersejarah yang berbeza pada hari tersebut. Peristiwa 10 Muharam juga dikatakan sebagai hari berkabung golongan syiah kerana mengingati peristiwa Karbala di mana Hussin cucu nabi terbunuh.

Jika kita perhatikan perkembangan tatacara memperingati atau membesarkan hari Asyura itu sesudah zaman Rasulullah dan sahabat, kita dapati banyak telah mengalami perubahan bahkan menyimpang, dan tidak sesuai dengan ketentuan-ketentuan Sunah Nabi.

Perkembangan-perkembangan itu ada kalanya dicelup dengan kepentingan-kepentingan satu golongan atau unsur-unsur lainnya yang bersifat tradisional. Sebagai contoh, perayaan Asyura dalam kalangan kaum Syiah. Mereka menghubungkan 10 Muharam dengan peristiwa terbunuhnya tokoh kaum Syiah, Hussin, putera Ali bin Abi Thalib. Dalam peperangan yang terjadi antara dua dinasti iaitu Muawiyah dengan sokongan Khawarij di satu pihak, di medan pertempuran di padang Karbala (Iraq), Hussin terbunuh dan jenazahnya diperlakukan dengan cara yang sangat kejam. Peristiwa itu terjadi pada 10 Muharam, 61 Hijrah (10 Oktober 680 Masehi).

Jelas di sini bahawa cara yang ditetapkan oleh Sunah adalah merayakan atau membesarkan hari Asyura dengan berpuasa dan melakukan perkara-perkara kebaikan atau amalan bersifat sosial yang diredai Allah. Amalan ini (berpuasa) dianjurkan untuk diteruskan, di samping merayakan hari bersejarah ini dengan mengadakan jamuan sejenis makanan (bubur) yang terdiri daripada bahan yang mudah diperolehi dan disediakan yang dilakukan secara bergotong-royong dalam usaha merapatkan lagi hubungan kemesraan dan kasih sayang dalam masyarakat.

Kerja gotong-royong seperti ini patut diteruskan sekalipun ada tuduhan yang mengatakannya bidaah. Walhal usaha begini boleh dinilai sebagai budaya makruf (bidaah hasanah), yang pernah ditegaskan oleh Rasulullah SAW seperti dalam sahih Muslim bermaksud; “Jangan kamu mempersendakan perkara makruf sedikit pun." (Hadis riwayat Muslim).

Asyura juga mengingatkan kita peristiwa perayaan Nabi Nuh dan pengikutnya bersatu, bermuafakat, menggunakan bahtera Nuh bagi mengelakkan baginda dan pengikutnya daripada tenggelam. Satu kejayaan atau hasil permuafakatan dan perpaduan ummah di masa itu. Asyura hanya layak dirayakan oleh ummah yang mementingkan perpaduan dan ia tidak layak untuk golongan yang memecahkan perpaduan.

Islam sentiasa memberikan penekanan kepada konsep hidup bermasyarakat. Untuk hidup bermasyarakat, Islam memberikan ruang yang luas bagi setiap orang agar mengamalkan toleransi dan menghargai kebebasan. Demikian juga al-Quran adalah kitab suci yang menonjol dalam pengakuan terhadap keabsahan agama-agama selain Islam.

Islam tidak menafikan semangat pluralisme (kemajmukan). Pluralisme ialah masyarakat pelbagai jenis etnik, agama dan budaya hidup damai dan berdampingan dalam satu bangsa. Daripada definisi ini, apakah Islam menafikan semangat pluralisme di mana masyarakat kita dapat hidup damai dengan berlatar belakang agama, budaya dan etnik yang berbeza?

Di dalam banyak ayat al-Quran dan hadis, kita menemui semangat pluralisme, di antaranya kebebasan beragama, hidup damai berdampingan walau pun berbeza bangsa, keturunan, agama, dan budaya.

Pluralisme agama sebenarnya bermaksud bahawa setiap pemeluk agama bukan sahaja dituntut untuk mengakui keberadaan dan hak agama lain, tetapi turut terlibat dalam usaha memahami perbezaan dan persamaan untuk mencapai kerukunan dalam perbezaan itu.

Al-Quran dengan jelas memberi gambaran semangat ini melalui firman-Nya yang bermaksud: tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam)dan(Surah Al-Baqarah ayat 256). Ini bererti Islam memberikan kebebasan sepenuhnya dalam beragama.

Kemudian Allah SWT kembali menegaskan dalam al-Quran Surah Yunus ayat 99 yang bermaksud: Dan jikalau Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang di muka bumi seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya?"

Ayat-ayat ini secara tegas mengatakan bahawa seandainya Allah hendak menjadikan manusia seluruhnya Muslim, Allah pasti dapat melakukannya. Tetapi Allah tidak berkehendak, sebab kalau pun manusia di bumi ini menjadi Muslim, mereka tetap bermusuhan dan berbeza pendapat. Oleh kerana itu, Allah menciptakan manusia berpuak-puak, bersuku-suku dan bermacam ras untuk saling mengenal dan membangun kerjasama atas dasar kebaikan.

Formula yang dilakukan Rasulullah SAW setelah menyatukan umat Islam di Madinah yang terdiri dari Muhajirin dan Ansar, Nabi mengadakan perjanjian atas dasar kesatuan dan kebebasan beragama dalam piagam Madinah. Di dalam piagam ini terdapat nilai-nilai persamaan, kebebasan beragama, hak asasi manusia, musyawarah dan demokrasi.

Pada masa pemerintahan Khalifah Umar Abd Aziz, baginda bersungguh-sungguh mengembangkan sikap keterbukaan dalam beragama dengan melarang meruntuhkan gereja dan memberi peluang mereka berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan.

Mengingati persamaan motif dan tujuan perjuangan Rasulullah dengan Nabi-Nabi yang terdahulu, tidak lain adalah untuk sama-sama menegakkan tauhid, maka Nabi Muhammad telah menetapkan tanggal 10 Muharam menjadi salah satu rangkaian Sunah Nabi. Ia dilakukan dengan tatacara yang sesuai dengan ajaran Islam.

Mohd. Shauki Abd. Majid ialah Pengurus Besar Analisa Dan Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Utusan Malaysia Online Rencana 20131108

Tags: asyura, perpaduan
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments