mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Hijrah, transformasi dan pendekatan wasatiyyah: Suatu sinergi

KENYATAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam blog www. 1 Malaysia.com.my sempena Maal hijrah mengenai Islam dan umat Islam menarik untuk diteliti.

Sebagai ketua kerajaan beliau menjunjung tinggi Perlembagaan dan Islam sebagai agama Persekutuan dan sentiasa istiqamah dalam mendaulatkan kedudukan Islam di negara ini berlandaskan kepada maqasid syariyyah.

Maqasid syariyyah antara lain menjaga kepentingan agama. Apabila isu kalimah Allah berbangkit, beliau mengambil sikap berdiri teguh mempertahankan kalimah ini. Kalimah ini bukan sekadar suatu istilah, ia inklusif mendukung konsep tauhid yang mengesakan Allah. Ia terkandung makna dan hakikat bahawa Allah itu tidak dua dan tidak tiga.

Memartabat Islam dilakukan secara berhemah melalui konsep wasatiyyah (kesederhanaan) yang merupakan asas kepada kemakmuran dan kesejahteraan Malaysia.

Malaysia memilih pendekatan bertahap-tahap untuk melaksanakan Islam dalam realiti masyarakat majmuk. Memberi kefahaman mengenai kebaikan Islam dalam sistem kepada orang Islam dan bukan Islam adalah suatu proses yang menuntut kesabaran dan kebijaksanaan. Ia adalah proses wasatiyyah.

Apabila pendekatan Bank Islam diperkenalkan pada 1983, terdapat orang Islam yang ragu dengannya dan bukan Islam yang curiga. Hari ini Bank Rakyat berjaya memikat hati orang bukan Islam melabur dan meminjam kerana pendekatan patuh syariah menghasilkan kestabilan dan keuntungan.

Istiqamah untuk melaksanakan cita-cita Islami dalam sistem tidak hanya terlihat dalam membangunkan syiar Islam seperti pembinaan masjid dan acara-acara keIslaman tetapi ia sedang membangun dalam tradisi keilmuan dan pendidikan, ekonomi dan undang-undang dan bentuk bantuan yang menyantuni golongan miskin untuk maju dalam kehidupan.

Tambah Perdana Menteri, “Dengan melakukan hijrah bersifat semasa, ia mampu melepaskan kita daripada belenggu kebekuan yang bersifat tradisional, melahirkan umat Islam yang berfikiran kreatif dan berinovasi serta relevan dengan zaman dan cabaran arus".

Pemikiran transformatif atau tajdidi ini amat penting bagi Malaysia kerana kebekuan dan kejumudan adalah bercanggah dengan maksud wasatiyyah itu sendiri. Wasatiyyah menunjuk jalan ke arah kecemerlangan dan menghasilkan kesan berimbang.

Dalam tradisi Islam asas-asas seperti amanah, adil, bijaksana, telus dan tulus perlu diperkukuhkan secara strategik. Inilah yang terjadi kepada hijratul Rasul yang memiliki maslahah tinggi dan menyebabkan Islam berkembang sehingga ke hari ini.

Amat malang sekali di kebanyakan negara umat Islam kini dalam keadaan krisis yang parah, konflik yang berlarutan, aliran kefahaman yang bersimpang siur dan menyebabkan umat Islam terus menjadi pengguna kepada kekuatan orang lain.

Umat Islam ghairah melakukan retorik dan melabel serta mencari kelemahan orang lain tanpa suatu perancangan strategik bagaimana maslahah perbezaaan diraikan dengan perancangan yang baik supaya Islam itu tertampil tidak saja sebagai suatu sistem kepercayaan tetapi juga sebagai cara hidup.

Hijrah adalah suatu keperluan. Ia berlaku sepanjang zaman. Transformasi adalah suatu tuntutan kerana perkembangan terkini terutama dalam bidang keilmuan dan kepakaran terus berlaku. Wasatiyyah adalah suatu pendekatan bagaimana hijrah boleh berlaku dan transformasi mengambil tempat secara berhemah dan bijaksana.

Inilah yang melahirkan Malaysia sebagai sebuah negara contoh apabila muncul satu-satunya negara Islam yang berada dalam kedudukan 10 negara terbaik di dunia.

Pendekatan Malaysia sekian lama adalah menjadikan pembangunan modal insan berkualiti sebagai keutamaan. Mengukuh pendidikan Islam berketamadunan sebagai suatu jalur tumpuan dan memanfaatkan faedah berbanding dari budaya dan tamadun lain dijadikan suatu agenda.

Penubuhan Kolej Universiti al-Quran Malaysia oleh kerajaan adalah suatu manifestasi bagaimana kebijaksanaan itu dikembangkan dalam jalur wasatiyyah supaya transformasi keilmuan dan pendidikan terjadi. Graduan yang bakal lahir nanti tidak saja memahami al-Quran secara harfiah tapi mampu membangunkan tamadun.



Jendela Tok ki Utusan Malaysia Online Rencana 20131108
Tags: hijrah, transformasi, wasatiyyah
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments