mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Fasakh melalui tekanan mental

PEMBINAAN sesebuah rumah tangga tentunya dengan hasrat untuk meneruskan kehidupan bersama pasangan dengan rasa kasih dan suasana harmoni. Suami isteri yang hidup dengan sejahtera tentunya akan memungkinkan tujuan Syariah (maqasid al-Shariah) lebih mudah untuk dicapai.

Walau bagaimanapun tidak dinafikan wujudnya suasana perkahwinan yang tidak memberikan kedamaian. Amatlah malang sekiranya pernikahan yang termeterai rupa- rupanya tidak memberikan kebahagiaan tetapi penderitaan. Ada jiwa malang yang terpenjara di sebalik mahligai perkahwinan yang indah. Umpamanya wanita yang dipaksa berkahwin dengan lelaki yang tidak mampu dicintainya. Ada juga wanita yang meronta-ronta untuk keluar dari kemelut perkahwinan tetapi tidak menemui jalan keluar.

Ada juga kalangan wanita yang mati akal kerana sukar untuk menyediakan bukti dalam tuntutan pembubaran perkahwinannya melalui fasakh. Bertambah malang lagi bukan semua lelaki bersikap budiman dan mempunyai rasa simpati atau empati. Malah ada kalangan suami yang menjadikan fasakh sebagai gelanggang untuk menyeksa jiwa isteri. Bagai satu kepuasan melihat isteri turun naik mahkamah dengan tempoh yang lama dan mentalnya berterusan terdera. Siapa yang tahu kalau suami itu yang sebenarnya “psycho", dan bukan isterinya?

Tekanan mental dalam rumah tangga akan berlaku dalam krisis rumah tangga yang berpanjangan, walau apa pun puncanya. Selagi ia tidak diselesaikan atau dileraikan maka tekanan mental akan terus berlaku dan menjadi lebih buruk.

Tekanan mental sememangnya bertentangan dengan tujuan Syariah yang antaranya adalah bagi pemeliharaan akal. Ia merupakan sebahagian daripada darar iaitu mudarat. Al-Syatibi mendefinisikan darar dalam perkahwinan sebagai penganiayaan suami terhadap isteri melibatkan lima perkara asas yang wajib dijaga-maslahah daruriyyah-agama, nyawa, keturunan, harta benda dan termasuklah akal isteri.

Imam al-Dardir pula menerangkan darar (dalam perkahwinan) sebagai perlakuan suami yang tidak diharuskan oleh syarak terhadap isterinya seperti meninggalkan isteri secara sewenang-wenangnya, memukul tanpa sebab, menghina isteri atau keluarga isteri. Tanggungjawab suami bukan sahaja menyediakan tempat tinggal, makan minum atau pakaian semata-mata, malahan juga bertanggungjawab memelihara kesejahteraan emosi isteri sebagai amanah Allah SWT.

Pada ketika agama Islam mengiktiraf maslahah akal, The American Institute of Stress-AIS pula menyenaraikan sekurang-kurangnya 50 simptom biasa stres. Kesan tekanan mental atau stres terhadap kesihatan seseorang adalah pelbagai. Dengan erti kata lain, walaupun penderaan oleh mana-mana suami terhadap isteri masing-masing dengan bentuk yang sama, tetapi mangsa mungkin mengalami simptom atau tanda yang berbeza.

Sesetengah mangsa akan sentiasa rasa berdebar-debar, sementara yang lain mengalami hipertensi, ciri-birit atau gatal-gatal kulit. Kesan terhadap otot badan (musculoskeletal effects) seperti kejang otot atau sakit belakang juga merupakan antara kesan tekanan mental.

Reaksi juga boleh berlaku dalam bentuk fisiologi atau neurofisiologi termasuklah perubahan dalam sistem hormon tubuh badan, neurotransmitters otak dan saraf serta sistem imunisasi. Oleh yang demikian, tidak menghairankan jika ada kalangan mangsa yang menghadapi masalah ingatan. Jika tekanan mental mereka lebih berat, mereka tidak akan mampu untuk melalui perbicaraan di mahkamah sebagaimana kalangan yang sihat mental dan emosinya.

Jika tuntutan mereka dibantu oleh peguam, mungkin mangsa mendapat sedikit kelegaan. Malang bagi mereka yang berjuang sendirian untuk mendapatkan kebebasan, apatah lagi ketika berhadapan dengan soalan-soalan yang berbentuk provokatif daripada pihak satu lagi. Dalam keadaan mereka kehilangan daya tumpuan dan ingatan, tidak berupaya untuk membuat keputusan secara konkrit, perbicaraan di dalam mahkamah hanyalah penyeksaan.

Perbicaraan yang mengambil masa juga akan memburukkan keadaan mental mereka. Situasi ini disebut sebagai faktor pengekal (perpetuating). Sudah tentu mustahil tekanan mental akan menyusut, sekurang-kurangnya tahap tekanan mental itu adalah kekal dan biasanya ia boleh meningkat, iaitu menjadi lebih buruk.

Banyak tuntutan pembubaran perkahwinan melalui fasakh menyertakan tekanan mental sebagai alasan sama ada sebagai alasan tunggal ataupun menyertakan alasan lain. Walau bagaimanapun, pada lebih 20 kes fasakh dengan alasan berkenaan yang pernah disemak, hanya satu menyertakan dokumen daripada Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental yang terdapat di hospital- hospital kerajaan. Sekiranya mereka menjalani kaunseling dan rawatan dengan pihak yang mempunyai autoriti, ia lebih memudahkan hakim bicara untuk membuat pertimbangan.

Sehubungan dengan perkara ini, pengamal-pengamal perundangan seperti pihak hakim dan peguam, perlu mempunyai serba-sedikit pengetahuan berkaitan kesihatan mental. Penuntut yang membuat permohonan fasakh dengan alasan tekanan mental sekali gus merupakan mangsa deraan mental. Tentunya kalangan ini perlu lebih dibantu ketika mendapatkan perkhidmatan di mahkamah.

Hakim bicara juga harus sensitif melihat sikap dan tingkah laku pihak penuntut. Keengganan menjawab soalan umpamanya, tidak seharusnya cepat ditafsir sebagai enggan bekerjasama dengan mahkamah, tetapi individu berkenaan kemungkinan mengalami kekeliruan untuk menjawab ataupun tidak mempunyai keupayaan untuk menjawab soalan-soalan tertentu.

Dalam satu kes yang hanya diputuskan selepas beberapa tahun tuntutan dibuat, mangsa telah pun menjalani sesi kaunseling selama beberapa tahun sebelum membuat tuntutan di mahkamah. Ketika sesi kaunseling berlangsung, mangsa telah menyatakan ketidaksanggupannya untuk meneruskan perkahwinan dan berasa amat terseksa, merayu supaya ada pihak yang boleh membebaskannya daripada kemelut perkahwinan tersebut. Andaian saya terhadap senario ini, dia barangkali boleh dikategorikan sebagai orang yang tidak upaya.

Secara konsepnya, orang kurang upaya atau orang tidak upaya perlu dibantu supaya berupaya untuk menjalani kehidupan seperti orang normal yang lain. Dalam kes ini, apa yang ingin dicapai adalah untuk hidup sebagai orang yang merdeka sedangkan ia merupakan hak asasi seorang manusia. Yang lebih menyayukan, perkara ini dihadapi oleh individu saudara baharu.

Alangkah baiknya sekiranya pihak kaunselor yang menyediakan kaunseling kepada mangsa bertindak dengan membantu mangsa mendapatkan rawatan di hospital. Tahap tekanan mental mangsa boleh didiagnosis dan pegawai perubatan boleh menyediakan dokumen yang relevan. Malahan, pegawai berkenaan boleh dijadikan sebagai saksi yang berotoriti dalam perbicaraan.

Tekanan mental sebenarnya boleh dijadikan sebagai alasan tunggal bagi pembubaran perkahwinan melalui fasakh jika pihak penuntut dibantu dengan bantuan yang sewajarnya. Inisiatif yang boleh disediakan oleh pihak mahkamah dan mereka yang relevan dengan situasi ini.



Siti Shamsiah Md. Supi ialah Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Pandangan IKIM Utusan Malaysia Online Rencana 20131115

Tags: fasakh, stress
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments