mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Haram berjual beli setelah azan Jumaat dilaungkan

Apabila sesuatu itu diharamkan dalam Islam, ia juga akan menyebabkan pengharaman perkara yang boleh mendorong terjadinya perkara haram itu. Maka, Islam menutup pintu atau perkara yang boleh membawa kepada haram.

Dr Yusuf alQaradhawi dalam bukunya, Al-Halal Wal Haram Fil Islam, menegaskan perkara ini dengan mengemukakan kaedah yang dipersetujui ulama Fiqh iaitu perkara yang boleh menyebabkan berlakunya sesuatu yang haram, maka perkara itu juga adalah haram.

Maka, kaedah ini boleh dilihat berlaku kepada pengharaman jalan ke arah perzinaan, riba, judi dan sebagainya. Demikian juga yang berlaku kepada solat Jumaat. Haram bagi umat Islam melalaikan diri dengan berlengahlengah untuk menunaikan solat Jumaat di masjid.

Haram ke atas lelaki

Rentetan daripada itu, Allah SWT mengharamkan berjual beli ketika azan Jumaat. Pengharaman ini adalah berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” (Surah AlJumuah, ayat 9)

Ulama sepakat merumuskan, haram melakukan urusan jual beli setelah azan Jumaat dikumandangkan.

Walau bagaimanapun, pengharaman ini hanya dikenakan ke atas lelaki saja kerana hukum menunaikan solat Jumaat hanya wajib ke atas lelaki.

Justeru, jika urus niaga berlaku antara wanita dengan wanita, maka ia tidak termasuk dalam pengharaman itu. Tidak termasuk juga dalam pengharaman ini ialah kaum lelaki yang gugur syarat wajib menunaikan solat Jumaat seperti kanak-kanak belum baligh, orang gila dan orang yang uzur.

Namun, ulama berbeza pandangan dalam membincangkan masa bermulanya pengharaman itu, sama ada pada azan pertama atau yang kedua. Pada zaman Uthman bin Affan, beliau telah memperkenalkan azan sebanyak dua kali.

Azan sebanyak dua kali ini agak berlainan dengan kaedah azan Jumaat pada zaman Rasulullah SAW, Abu Bakar dan Umar bin AlKhattab kerana pada zaman Khalifah Uthman berlaku perluasan kuasa dan umat Islam bertambah ramai sehingga menyukarkan mereka untuk berpusu-pusu ke masjid dan meninggalkan urusan mereka dengan segera.

Justeru,bagi memudahkan umat Islam bersedia dan tidak tergesa-gesa ke masjid, maka diperkenalkan azan yang kedua berdasarkan ijtihad Uthman dan sahabat lain.

Ulama telah melakukan ijtihad sama ada pengharaman jualbeli itu untuk azan pertama atau kedua. Semua bersepakat mengatakan adalah haram untuk meneruskan urus niaga apabila dikumandangkan azan kedua.

Imam AtTohawi AlHanafi menegaskan, azan yang terpakai (dalam hal ini) adalah yang ketika keluar imam di atas mimbar, maka itulah yang asal seperti mana Jumaat pada zaman Baginda Nabi SAW.

Namun, mereka berbeza pandangan berkenaan urus niaga pada azan pertama. Jumhur ulama mengharuskan urus niaga ketika azan pertama. Tetapi, majoriti dalam mazhab Hanafi berpandangan pengharaman itu bermula ketika azan pertama.

Maka, adalah lebih baik mereka yang terbabit dengan urus niaga, menghentikan urusannya apabila dikumandangkan azan pertama sebagai langkah berjagajaga (ihtiyat). Janganlah kerana asyik berniaga sehingga sanggup mengetepikan hukum Allah SWT.

Urusan merangkumi seluruh aspek muamalat

Ulama juga turut membahaskan apakah hukum ini hanya merangkumi urusan jual beli saja tanpa membabitkan urusan lain? Kebanyakan ulama melihat pengharaman ini bukan untuk urusan jual beli saja, bahkan merangkumi seluruh aspek muamalat yang menyentuh hubungan manusia dalam kehidupan.

Ini termasuklah aktiviti pinjaman, sewaan, gadaian, pelaburan dan sebagainya kerana semua aktiviti dan urusan ini mempunyai illah atau sebab yang sama iaitu boleh melalaikan daripada menunaikan solat fardu Jumaat.

Ini perlu dijadikan pedoman untuk mengelakkan diri daripada terbabit urusan yang boleh menjejaskan kesempurnaan solat Jumaat. Jangan sampai ada golongan peniaga yang mengambil kesempatan dengan kehadiran jemaah yang ramai ke masjid sehingga menyebabkannya lupa tanggungjawabnya terhadap Allah SWT.


Wan Jemizan W Deraman Dan Ahmad Termizi Mohamed Din Berita Harian Online Agama 15/11/2013
Tags: azan, haram, jumaat, muamalat
Subscribe

  • Friday Sermon Text Simplify Marriages

    Friday Sermon Text 16 December 2016AD / 16 Rabiulawal 1438H JAWI Simplify Marriages Marriage has been prescribed by Allah SWT to enable a person…

  • Daftar cerai online

    IKATAN pernikahan dijalinkan dengan impian untuk hidup bahagia seumur hidup. Daripada perkahwinan maka akan lahirlah zuriat yang diharap membesar…

  • Jangan campur urusan Allah

    APABILA berjumpa kawan lama, soalan seperti, “kawan-kawan kita semua dah kahwin, engkau bila lagi?”, merupakan antara pertanyaan panas…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments