mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Alasan tiada kerja ciptaan orang malas

Peluang mencari rezeki terbuka luas jika buang sikap memilih

Kerajaan menyediakan pelbagai program latihan dan bantuan untuk membuka peluang pekerjaan kepada golongan kurang berkemampuan. Antara bantuan itu ialah Bantuan Akhiri Zaman Miskin (1AZAM), Pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).


Bantuan itu membolehkan golongan miskin atau mereka yang mahu menceburi bidang perniagaan mengubah kehidupan menjadi lebih baik.

Apakah kaitannya bantuan ini dengan Islam pula? Pada dasarnya, Islam menggalakkan umatnya mencari kekayaan dan kemewahan hidup. Galakan ini membuktikan Islam tidak menolak kekayaan dan kemewahan seperti didakwa sesetengah pihak yang tidak memahami ajaran Islam.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan carilah kebahagiaan di akhirat yang telah Allah janjikan kepada kamu. Tetapi, janganlah pula kamu lupa akan habuan kamu di dunia.” (Surah al-Qasas, ayat 77).

Islam tak hina orang miskin

Dalam Islam orang miskin tidak dihina, bahkan dilayan sama rata dalam masyarakat, namun itu tidak bermakna kemiskinan adalah perkara yang baik. Sebab itulah, setiap orang perlu berusaha untuk mencari rezeki dan mengelak diri terus berada dalam keadaan miskin sehingga terpaksa meminta sedekah atau bantuan orang lain.

Amalan meminta sedekah untuk memenuhi keperluan hidup seharian sebenarnya amat ditegah dalam Islam, melainkan dalam keadaan terpaksa. Alasan tidak bekerja disebabkan tiada peluang pekerjaan sengaja dicipta oleh orang malas.

Kewujudan bantuan kerajaan dan sumbangan golongan kaya kepada golongan miskin tidak patut dijadikan alasan golongan miskin sekadar menanti bantuan diserahkan kepada mereka. Mereka sepatutnya mencari jalan bagaimana untuk meningkatkan usaha mencari rezeki halal mengikut keupayaan dimiliki.

Ketua keluarga atau suami pula bertanggungjawab mencari rezeki untuk memenuhi keperluan sendiri dan ahli keluarga di bawah tanggungannya. Sebab itu kedudukan suami dilebihkan dalam hierarki keluarga.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Lelaki adalah pemimpin bagi perempuan oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana lelaki telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.” (Surah an-Nisa, ayat 34)

Sementara itu, pada hakikatnya, dalam Islam tidak ada istilah pengangguran. Di negara kita peluang pekerjaan terbuka luas dalam pelbagai sektor yang boleh diceburi mengikut kelulusan akademik, minat dan kemampuan masing-masing.

Jika diperhatikan senario semasa, Malaysia masih mengalami masalah kekurangan tenaga kerja untuk sektor tertentu sehingga terpaksa mengharapkan tenaga kerja asing. Alangkah baiknya jika jawatan itu diisi rakyat Malaysia sendiri, sekali gus mengelak pengangguran dan masalah sosial.

Sikap pilih pekerjaan

Sikap rakyat kita terlalu memilih pekerjaan sehingga memberi kesan sosial yang buruk. Mereka bukan saja tidak mendatangkan produktiviti kepada ekonomi negara, tetapi lebih mudah terdorong melakukan perbuatan tidak berfaedah yang kadangkala mengundang perbuatan jenayah seperti ragut.

Dalam hal ini, umat Islam dan masyarakat perlu menyedari bahawa Islam amat menggalakkan umatnya berusaha mencari rezeki bagi keperluan diri sendiri dan orang di bawah tanggungan.

Malah, Allah SWT menjanjikan ganjaran besar kepada mereka yang mencari rezeki memenuhi keperluan diri dan keluarga. Perkara ini membuktikan tugas mencari rezeki bukan setakat untuk memenuhi keperluan hidup, tetapi satu tuntutan agama.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa mencari rezeki halal untuk menjaga dirinya supaya tidak meminta-minta dan berusaha memenuhi keperluan hidup keluarganya, serta dapat pula membantu tetangganya, maka di akhirat kelak dia akan menemui Allah dengan wajah berseri-seri bagaikan bulan purnama.” (Riwayat Thabrani).

Rasulullah SAW mengajar sahabat yang miskin bagaimana cara berusaha mendapatkan rezeki secara berterusan. Hal ini bertepatan dengan pepatah, jika ingin memberikan makanan kepada seseorang, jangan diberikan ikan kepadanya. Sebaliknya, berikan dia pancing dan ajarkan dia cara bagaimana untuk mendapatkan bekalan ikan yang berterusan baginya.

Setiap individu mesti berusaha sendiri mencari rezeki dengan kudrat yang dikurniakan Allah SWT. Mereka yang tidak mahu berkerja dianggap mempersia-siakan nikmat fikiran, tenaga, masa, kemahiran dan peluang yang dianugerahkan Allah SWT.


Lokman Ismail Berita Harian Online Agama 19/11/2013
Tags: malas, miskin, rezeki, sikap
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments