mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Prespektif IKIM: Utama pendidikan alam sekitar

Mata pelajaran khusus patut diperkenal tingkat keprihatinan terhadap ciptaan Tuhan


Alam sekitar adalah anugerah yang sangat berharga dalam kehidupan manusia dan diciptakan sebagai simbol kekuasaan dan kebesaran Allah SWT.


Dari perspektif Islam, alam sekitar adalah berasaskan kepada ajaran tauhid yakni terdapatnya penyatuan atau perhubungan yang erat di antara manusia, alam dan juga Pencipta (Allah SWT).

Dalam konteks hubungan ini, semua makhluk yang diciptakan di atas muka bumi adalah saling berkait rapat dan berkesinambungan antara satu sama lain.

Misalnya, terdapat hubung kait yang erat antara satu spesies dengan spesies yang lain, haiwan dengan tumbuh-tumbuhan, spesies dengan ekosistem, manusia dengan alam sekitar, manusia dengan Pencipta dan pelbagai hubung kait lagi.

Hubung kait di antara setiap penciptaan di atas muka bumi ini dinukilkan dengan jelas melalui firman Allah SWT di dalam surah Ibrahim, ayat 32 yang bermaksud: “Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu; dan Dia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintah-Nya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat daripadanya).

Akhlak sebagai teras

Dalam konteks menjaga keseimbangan dan keharmonian ini, Islam menggariskan akhlak sebagai teras hubungan antara manusia, alam dan Pencipta.

Justeru, dalam segala hal yang bersangkut paut dengan alam sekitar, manusia diamanahkan untuk mengurus, melindungi serta memakmurkannya dengan sebaik mungkin agar keseimbangan alam dapat dikekalkan.

Dalam menggalas tanggungjawab ini, ia memerlukan kerjasama dan sokongan padu daripada semua pihak baik secara individu, organisasi, mahupun melalui institusi pendidikan.

Tidak dapat dinafikan banyak usaha ke arah ini dilaksanakan baik oleh kerajaan mahupun badan bukan kerajaan dari masa ke semasa.

Namun, ia dilihat seolah-olah kurang memberi impak terhadap kesedaran masyarakat mengenai aspek pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Ini terbukti apabila pelbagai isu dan permasalahan alam sekitar masih lagi berleluasa dan tiada tanda bahawa ia semakin berkurangan.

Ini sedikit sebanyak menimbulkan keraguan kepada kita, adakah program kesedaran alam sekitar dan kurikulum pendidikan sedia ada belum memadai dan cukup lemah sehinggakan ia tidak memberi impak yang sewajarnya kepada masyarakat?

Modul pendidikan alam sekitar

Jika benar, maka kajian dan penelitian secara terperinci perlu dilakukan bagi memberi nilai tambah dalam memantapkan lagi modul dan kurikulum pendidikan alam sekitar sedia ada.

Melalui penelitian secara sepintas lalu, didapati bahawa kurikulum pendidikan sedia ada masih belum memberi tumpuan sepenuhnya kepada pendidikan alam sekitar sebagai agenda utama dalam sistem pendidikan formal negara.

Misalnya, dalam kurikulum pendidikan sedia ada, baik di peringkat sekolah rendah mahupun menengah, mata pelajaran berkaitan pemuliharaan alam sekitar tidak diajar secara khusus atau secara berasingan.

Adakah ia mencukupi dan mampu memberi pendedahan secara menyeluruh berhubung kepentingan menjaga alam sekitar jika ia hanya sekadar tempelan semata-mata di dalam mata pelajaran lain?

Tidakkah ini secara jelas memperlihatkan bahawa dasar pendidikan negara tidak serius dalam memartabatkan pendidikan alam sekitar ke tahap yang sewajarnya?

Begitu juga di peringkat institusi pengajian tinggi, hanya pelajar yang mengambil ijazah atau program khusus berkaitan alam sekitar saja terdedah dan mengetahui mengenai isu serta cara untuk menguruskan alam sekitar dengan baik.

Justeru, satu transformasi perlu dilakukan dalam usaha memantapkan lagi modul dan kurikulum pendidikan alam sekitar sedia ada agar pengisian dalam sesebuah modul dan kurikulum pendidikan alam sekitar adalah lebih lengkap dan komprehensif.

Sudah tiba masanya untuk kita melakukan penambahbaikan ke atas modul dan kurikulum pendidikan alam sekitar sedia ada agar ia lebih memberi kesan dalam meningkatkan tahap kesedaran masyarakat ke tahap paling maksimum terhadap aspek pemuliharaan alam sekitar.

Mata pelajaran pemuliharaan alam sekitar

Mata pelajaran berkaitan pemuliharaan alam sekitar perlu diperkenalkan dan dijadikan sebagai satu mata pelajaran yang berasingan daripada mata pelajaran lain.

Selain itu, ia juga mesti dijadikan sebagai mata pelajaran teras yang wajib diambil oleh pelajar semasa peperiksaan besar seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), serta syarat wajib lulus perlu diletakkan ke atas mata pelajaran ini bagi membolehkan para pelajar layak dianugerahkan sijil.

Begitu juga di peringkat universiti, yang mana mata pelajaran berkaitan alam sekitar mesti dijadikan sebagai mata pelajaran teras universiti yang wajib diambil oleh setiap pelajar dalam semua jurusan.

Namun, teknik dan bentuk penyampaian dalam usaha memberi pendidikan dan kesedaran alam sekitar yang mantap dan berkesan perlulah disesuaikan mengikut peringkat usia agar ia mudah diterima dan difahami untuk dipraktikkan mengikut kesesuaian umur.

Rosmidzatul Azila Mat Yamin ialah Pegawai Penyelidik Kanan Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, IKIM. Berita Harian Online Agama 21/11/2013
Tags: akhlak, alam sekitar, persekitaran
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments