mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Tegas tangani ajaran sesat

KEWUJUDAN kumpulan ajaran sesat di negara ini bukanlah perkara baharu kerana masalah berkenaan telah lama berlaku sejak sebelum merdeka dengan kemasukan pengaruh dari luar seperti Qadiani dan Bahai.

Kumpulan ini dikategorikan sebagai pengamal ajaran sesat kerana berpegang kepada fahaman yang menyimpang daripada Islam.

Pengikutnya menganggap setiap perkataan yang keluar daripada mulut pemimpin mereka sebagai benar walaupun tidak masuk akal.

Qadiani misalnya yang diasaskan oleh Mirza Ghulam Ahmad di India mendakwa Nabi Isa meninggal dunia dan dimakamkan di Srinagar, India.

Fahaman yang turut dikenali dengan nama Ahmadiyah di Indonesia dibawa masuk ke negara ini pada 1949 oleh Maulana Muhammad Sadiq Barakatullah.

Mereka beriktikad bahawa Mirza Ghulam adalah Imam Mahdi, nabi dan jelmaan Krisna (tuhan mengikut kepercayaan Hindu).

Bahai yang diasaskan oleh beberapa individu termasuk Mirza Ali Muhammad di Iran pula dibawa masuk ke negara ini oleh kartunis kaum Cina, Yan Kee Leong pada 1953.

Ajaran Bahai disebarkan dalam kalangan Orang Asli dan juga kepada penduduk di Seremban, bandar Melaka, Kuala Lumpur dan Sarawak.

Kumpulan ini beriktikad bahawa kitab agama mereka iaitu Al-Bayan memansuhkan semua kitab suci agama lain, mendakwa terdapat kod 19 dalam al-Quran, berpuasa selama 19 hari, solat sebanyak sembilan rakaat dan dikerjakan tiga kali sehari serta berwuduk dengan air mawar.

Dalam pada itu, antara kumpulan ajaran sesat tertua yang berasal dari dalam negara adalah ajaran Taslim yang diasaskan oleh Muhammad Syafie atau lebih dikenali dengan panggilan Haji Muhammad Matahari yang berasal dari Sumatera, Indonesia.

Ajaran ini mula dikesan sekitar 1870-an di Kampung Seronok, Bayan Lepas, Pulau Pinang dan kemudiannya berkembang ke Kampung Tasik, Segamat dan Kampung Telok Sari, Mersing, Johor pada 1940-an.

Ciri-ciri kesesatan ajaran Taslim yang diamalkan secara rahsia sehingga sukar dikesan pihak berkuasa adalah beriktikad bahawa Allah berada dalam diri setiap manusia manakala solat lima waktu dan berpuasa boleh dikerjakan secara niat sahaja.

Kumpulan berkenaan turut mengharuskan perzinaan melalui konsep nikah batin bagi menarik pengikut.

Selepas itu, muncul banyak lagi kumpulan ajaran sesat seperti Nasrul Haq, Ilmu Tajalli Ahmad Laksamana, Hassan Anak Rimau, Tarikat Aurad Ismailiah dan Kumpulan Anti Hadis.

Antara yang mendapat publisiti meluas adalah kumpulan yang diketuai oleh Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Mohamad, yang mengaku dirinya adalah tuhan di perkampungan 'Kerajaan Langit' di Batu 13, Hulu Besut, Terengganu.

Antara fahaman kumpulan berkenaan adalah sembahyang lima waktu boleh digantikan dengan berzikir serta kiamat tidak akan berlaku kerana Allah tidak bodoh menjadikan alam dan merosakkannya kembali.

Pengaruh kumpulan itu mula lemah setelah pihak berkuasa merobohkan replika cerek dan payung gergasi serta dewan perhimpunan di perkampungan itu pada 2005 serta mendakwa pengikutnya di mahkamah. Ayah Pin pula telah menghilangkan diri bersama-sama empat isterinya.

Terdapat juga kumpulan ajaran sesat yang mengambil masa lama untuk dibanteras kerana mempunyai latar belakang ekonomi kukuh, beroperasi atas nama syarikat dan bijak menggunakan pelbagai kaedah bagi menyebarkan dakyah.

Antaranya, adalah Al-Arqam yang diasaskan oleh Ashaari Muhammad yang juga dikenali sebagai Jamaah Aurad Muhammadiah pada 1968. Ketika waktu kemuncaknya, ia dikatakan mempunyai 6,000 pengikut tegar.

Ajaran ini difatwakan sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1994 kerana pengikutnya percaya pengasas Aurad Muhammadiah, Syeikh Muhammad As-Suhaimi yang telah meninggal dunia pada 1925 tidak mati, sebaliknya masih hidup.

Mereka percaya Syeikh Muhammad adalah Imam Mahdi yang ghaib buat seketika sebelum kembali untuk memimpin umat Islam dan beliau juga dikatakan boleh datang menolong apabila diseru namanya.

Setelah kematian Ashaari pada 2010, balu beliau, Hatijah Aam atau lebih dikenali dengan gelaran Ummu Jah cuba meluaskan pengaruh kumpulan itu ke luar negara khususnya di Mekah dengan membuka perniagaan restoran dan rumah rehat.

Bagaimanapun, pada 8 November lalu, Hatijah telah melafazkan taubat nasuha bersama-sama 400 pengikutnya dengan janji tidak mengulangi perbuatan mengamalkan ajaran Aurad Muhammadiah.

Modus operandi sama digunakan oleh kumpulan ajaran sesat Tuhan Harun yang yang diasaskan oleh Harun Mat Saat, 47.

Selain mengaku dirinya adalah tuhan dan Imam Mahdi, Harun turut mendakwa berkuasa mengalih posisi bulan, bintang dan matahari.

Kumpulan ajaran sesat berkenaan memperoleh dana dengan menganjurkan skim cepat kaya dan mengutip deposit secara haram yang dianggarkan sebanyak RM200 juta daripada orang ramai.

Mereka juga pernah menganjurkan konsert rock yang disertai ramai artis terkenal tempatan pada 2009 dan menerbitkan album lagu berunsur dakwah bagi mengembangkan pengaruh.

Sementara itu, yang cukup membimbangkan adalah apabila kumpulan ajaran sesat terbabit turut berubah menjadi militan.

Dalam sejarah Malaysia, antara kumpulan ajaran sesat bercorak militan adalah Kumpulan Mohd. Nasir Ismail dari Kemboja yang mengaku dirinya Imam Mahdi dan mendakwa tidak perlu solat Jumaat.

Kemuncak aktiviti kumpulan itu adalah apabila Mohd. Nasir dan 14 pengikutnya yang memakai jubah putih menyerang balai polis, pejabat kadi dan mahkamah rendah di Batu Pahat dengan menggunakan pedang pada 1980.

Dalam kejadian itu, 23 orang termasuk 14 anggota polis cedera parah manakala lapan pengikut kumpulan itu ditembak mati.

Satu lagi contoh kumpulan ajaran sesat bercorak sedemikian adalah Al-Maunah Malaysia yang diketuai oleh Mohammad Amin Razali.

Antara fahaman kumpulan itu adalah orang telah mati boleh menjadi perantara, percaya kepada konsep angka-angka tertentu pada ayat-ayat al-Quran dan mempercayai tangkal boleh memberi kesan.

Pada tahun 2000, kumpulan berkenaan telah merompak lebih 100 senjata api, 9,000 peluru, 26 benet dan 60 bom tangan dari Kem Batalion 304 Rejimen Askar Wataniah di Gerik.

Peristiwa itu berakhir apabila 27 anggota kumpulan tersebut termasuk 15 yang merompak senjata api berkenaan menyerah diri kepada pasukan keselamatan di tempat persembunyian di Hutan Bukit Jenalek, Sauk, Perak.



NIZAM YATIM nizam.yatim@utusan.com.my Utusan Malaysia Online Rencana 20131123
Tags: ajaran, bahai, nasrul haq, sesat
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments