mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ajaran sesat membentuk pemikiran radikal

AJARAN sesat merupakan virus yang boleh merosakkan jiwa dan pemikiran umat Islam. Penularan ajaran sesat di Malaysia adalah berkaitan dengan beberapa faktor yang kurang disedari oleh masyarakat Islam.

Pertama, sikap umat Islam yang terlalu memuja pemimpin agama yang bertopengkan Islam tanpa mengkaji latar belakang pendidikan agama dan keperibadian pemimpin tersebut. Kejahilan dalam konteks ajaran Islam menyebabkan umat Islam mudah tunduk kepada individu yang sering menonjolkan perwatakan sebagai orang alim dan bertakwa.

Umat Islam yang tergolong dalam kumpulan ini sering menjadi orang yang fanatik kepada ketua dan berfikiran sempit. Mereka akan mentaati setiap arahan daripada ketua mereka tanpa mempersoalkan arahan tersebut bertentangan dengan ajaran Islam atau nilai kemanusiaan.

Sikap taqlid (menganuti ajaran secara membuta tuli) begini boleh menyebabkan umat Islam hilang pertimbangan akal apabila mereka diarahkan oleh ketua kumpulan bertindak terhadap individu-individu yang dianggap musuh kepada pergerakan mereka.

Faktor kedua yang boleh menyebabkan umat Islam terjebak dalam ajaran sesat ialah sikap terlalu ghairah ingin menjadi jaguh dalam bidang ilmu Islam sedangkan ilmu Islam yang dimiliki oleh mereka tidak mencukupi untuk meletakkan diri mereka sebagai sarjana dalam ilmu wahyu.

Apabila individu-individu begini menampilkan diri mereka sebagai sarjana Islam atau tokoh ilmuwan Islam maka pelbagai kekeliruan dan salah tafsir ayat-ayat al-Quran dan hadis akan dipertontonkan kepada masyarakat.

Mereka mudah mempengaruhi umat Islam dengan pelbagai idea yang bertentangan dengan konteks ajaran Islam. Umat Islam yang dipengaruhi oleh golongan ini sering mengeluarkan idea-idea yang terlalu liberal sehingga mengetepikan asas atau fundamental ajaran Islam seperti akidah dan syariah.

Faktor ketiga yang mudah mendorongkan umat Islam terjebak dalam ajaran sesat ialah berkaitan dengan kekosongan jiwa di kalangan umat Islam. Umat Islam yang berada dalam suasana begini sering terumbang ambing dalam arus kehidupan yang liar dan hedonisme kerana ingin mencapai kepuasan hidup yang berbentuk material dan hawa nafsu.

Dalam suasana begini kumpulan ajaran sesat begitu aktif menggunakan pendekatan dakwah secara berkesan mendekati kumpulan yang dahagakan kerohanian. Hasil daripada kegigihan berdakwah secara mendekati remaja begini maka mereka berjaya menambahkan ahli kumpulan mereka.

Sikap perihatin, tolong menolong dan kasih sayang yang dipertonjolkan kepada ahli kumpulan maka mereka berjaya membentuk sifat taat setia dan patuh kepada arahan kumpulan.

Pengalaman penulis menemu bual dan melawat salah satu pusat pemulihan ajaran sesat memberi satu gambaran yang jelas bahawa antara pergerakan sesat di Malaysia adalah dikuasai oleh golongan profesional yang berkelulusan ijazah dari universiti tempatan dan luar negara.

Malah mereka juga berjaya mempengaruhi umat Islam dari negara Barat menyertai kumpulan mereka terutamanya dari Australia. Keperibadian dan sifat tawaduk serta pengorbanan wang dan masa dalam kalangan ahli-ahli kumpulan bagi memperkukuhkan kekuatan organisasi dan menambahkan bilangan ahli amat dikagumi.

Hubungan persaudaraan dan kasih sayang sesama ahli kumpulan berteraskan kepada prinsip saudara sesama Islam tanpa mengira perbezaan keturunan merupakan salah satu faktor kejayaan mereka menarik remaja yang dahagakan kerohanian menyertai kumpulan mereka.

Oleh itu apabila pergerakan mereka diharamkan maka ia merupakan satu tamparan yang hebat kerana pergerakan mereka dianggap sebagai pusat perlindungan dan keprihatinan remaja yang terbiar dan terumbang ambing dalam arus kekosongan jiwa.

Berdasarkan kepada pemantauan begini maka kerajaan Malaysia perlu mempertingkatkan pendidikan agama dan kerohanian kepada kanak-kanak dan remaja Islam negara ini. Pelajaran agama perlu dijadikan salah satu mata pelajaran yang diwajibkan kepada pelajar Islam dalam peperiksaan dari peringkat sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi.

Melalui peperiksaan ini kanak-kanak dan remaja Islam akan membaca dan mempelajari agama Islam secara tekun melalui guru-guru agama yang bertauliah.

Mengetepikan pelajaran agama seperti tidak mewajibkan para pelajar lulus dalam peperiksaan merupakan satu tindakan yang kurang bijak dalam sistem pendidikan dan syiar Islam.

Sebagai negara Islam kerajaan sepatutnya menumpukan perhatian kepada aspek keagamaan dan kerohanian seiringan dengan pendidikan konvensional.

Pengabaian dalam aspek ini memberi peluang yang paling baik kepada pergerakan sesat mempengaruhi jiwa dan pemikiran remaja Islam menyertai pergerakan mereka.

Pemantauan penulis terhadap pergerakan sesat dalam negara ini menunjukkan pergerakan tersebut amat gigih menyebarkan ajaran mereka melalui media elektronik dan bahan-bahan penerbitan berkaitan dengan agama yang boleh menarik perhatian para pembaca dan penonton sama ada kanak-kanak atau remaja.

Tidak kesemua ajaran sesat dalam negara ini menggunakan kekerasan bagi melindungi pergerakan mereka. Kesesatan mereka adalah berkaitan dengan salah faham terhadap akidah dan syariah Islam. Dalam aspek keperibadian dan akhlak tidak dinafikan bahawa mereka memiliki nilai akhlak yang tinggi terutama berkaitan dengan hubungan manusia sesama manusia.

Keperibadian dan pengorbanan wang dan tenaga yang diamalkan oleh pemimpin dan ahli-ahli pergerakan ajaran sesat sukar untuk dibandingkan dengan sebahagian golongan pendakwah yang memiliki ilmu agama yang tinggi.

Realiti yang wujud dalam masyarakat Islam hari ini ialah kejaguhan pendakwah Islam berbicara di khalayak ramai sering dinilai dengan wang ringgit dan layanan istimewa.

Hakikatnya, umat Islam lebih tertarik kepada keperibadian para pendakwah yang mempunyai keterampilan yang sederhana dan tawaduk bukan perwatakan yang terlalu gemar kepada kemewahan dunia dan gaya hidup yang bertentangan dengan etika pendakwah Islam yang sebenar.

Masyarakat Islam terutamanya yang jahil terhadap ilmu wahyu mudah tertarik kepada keperibadian dan akhlak para pemimpin dan ahli pergerakan ajaran sesat. Oleh itu pengaruh ajaran sesat semakin hari kian bertambah walaupun pelbagai usaha kerajaan dilakukan untuk membanteras kegiatan ini.

Bagi mengatasi permasalahan ini kerajaan dan umat Islam sepatutnya mengkaji kelemahan dalaman umat Islam sebelum membuat tindakan yang keras terhadap ajaran sesat yang menular dalam negara ini. Dalam era globalisasi setiap individu mempunyai kebebasan tanpa batasan dalam penyebaran maklumat melalui media elektronik.

Jika pergerakan ajaran sesat diharamkan dan tindakan kekerasan dilakukan maka pergerakan mereka tetap beroperasi melalui saluran elektronik yang lebih pantas menyebarkan maklumat melangkaui sempadan geografi.

Oleh itu penekanan terhadap pendidikan agama Islam secara serius perlu dijadikan agenda utama kerajaan yang menerajui negara Islam. Pengabaian terhadap pendidikan agama dan penekanan terhadap ilmu konvensional semata-mata bukan sahaja boleh menyebabkan umat kian hilang ilmu akidah Islam malah ia juga boleh menjadikan negara Islam sebuah negara sekular walaupun dihuni oleh majoriti umat Islam.



PROF. MADYA DR. SAODAH ABD RAHMAN, Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Utusan Malaysia Online Rencana 20131127
Tags: radikal, sesat
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments