mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Bergurau biar berpada

MANUSIA bukan mesin yang boleh melakukan perkara yang sama secara berterusan. Sesekali kita ingin berehat dan berhibur untuk meringankan tekanan dan melepaskan keletihan.

Sebagai agama fitrah, Islam tidak melarang kita bergurau senda. Bahkan Rasulullah SAW dan para sahabat pun bergurau dan tertawa bersama-sama. Islam hanya melarang gurauan melampau yang berpotensi melahirkan dendam dan permusuhan.

Berkata Imam al-Nawawi dalam al-Azkar: “Gurauan yang dilarang ialah yang dilakukan secara melampau dan terlalu sering. Perbuatan ini akan melahirkan tertawa, mengeraskan hati dan melalaikan daripada mengingat Allah SWT dan memikirkan perkara penting dalam agama. Perbuatan ini juga sering kali mengesalkan, melahirkan dendam dan menghilangkan wibawa.”

Gurauan melampau

Mengikut pandangan Imam al-Nawawi tadi, gurauan melampau hukumnya makruh. Perbuatan itu boleh menjadi haram apabila mengakibatkan kemudaratan seperti histeria, kerugian material dan sebagainya.

Salah satu bentuk gurauan melampau ialah yang sengaja direka untuk mengejut dan menakutkan orang lain. Contoh gurauan sebegini terkadang dapat kita lihat dalam sebahagian rancangan televisyen dan radio. Bentuk gurauan ini sangat dibenci dan seboleh mungkin mesti dihindari.

Suatu hari Nabi dan para sahabat berada dalam satu perjalanan. Tiba-tiba salah seorang daripada mereka tertidur. Seorang sahabat yang lain mengambil anak panah milik orang yang tertidur itu untuk bergurau. Apabila terbangun daripada tidurnya, sahabat itu terkejut dan mencari-cari barang miliknya. Semua sahabat yang melihatnya menjadi tertawa-tawa.

Rasulullah bertanya kepada mereka: “Mengapa kalian tertawa?”

Apabila diceritakan apa yang baru sahaja berlaku itu, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak halal bagi bagi seorang Muslim menakutkan Muslim yang lain.” (riwayat Abu Dawud)

Termasuk dalam kategori gurauan yang melampau ialah apabila mempersendakan salah satu agama yang menjadi ikutan masyarakat, sama ada Islam ataupun selainnya.

Begitu juga gurauan yang mempersendakan bangsa dan warna kulit seseorang. Gurauan seperti ini sangat buruk dan tidak melucukan.

Malah ia mampu melahirkan kebencian dan menyemai perpecahan di kalangan anggota masyarakat.

Jaga pertuturan

Di samping itu, guruan dusta juga tergolong dalam bentuk-bentuk gurauan yang melampau. Sebagai seorang Muslim yang selalu menjaga kata-katanya, dusta tidak patut dilakukan walaupun dalam gurauan. Sebab sekali kita berdusta, maka berkuranglah kepercayaan orang lain kepada kita.

Kita tentu ingat kisah serigala dan penggembala biri-biri yang sarat pengajaran itu.

Rasulullah SAW pernah bersabda: “Celakalah bagi seseorang yang berdusta untuk membuat manusia tertawa. Celaka baginya, celaka baginya.” (Abu Dawud)

Juga termasuk gurauan melampau ialah apabila kita bergurau tanpa memperhatikan konteks dan suasana orang yang kita guraukan. Seseorang yang sedang dalam situasi kesakitan dan kemalangan tidak patut kita jadikan ia satu gurauan. Orang yang tengah galau (kacau) dan susah hati, juga tidak patut kita jadikan itu gurauan. Sebab pada saat itu mereka memerlukan bantuan dan nasihat, bukan gurauan.

Pendek kata, kita mesti pandai menempatkan diri dan ucapan. Pada masa-masa serius, kita mesti serius. Dan pada kondisi santai, bolehlah kita bergurau. Sungguh tepat ucapan orang tua-tua kita dahulu: “Kalaupun bergurau, biarlah berpada-pada.” Wallahu a’lam.

UMAR MUHAMMAD NOOR kini sedang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM). Sebarang kemusykilan berkaitan ibadah harian boleh diajukan di www.facebook.com/ umarmuhammadnoor Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131126

Tags: gurau
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments