mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Mencari keberkatan dalam majlis walimatulurus

SETIBANYA musim cuti sekolah bermulalah pesta majlis keraian di seluruh negara. Baik majlis kesyukuran sempena kecemerlangan anak-anak dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) ataupun majlis meraikan kenaikan pangkat atau tidak ketinggalan juga majlis walimatulurus.

Boleh dikatakan setiap minggu majlis walimatulurus ini diadakan. Penulis sendiri turut mendapat jemputan daripada saudara mara, rakan-rakan dan jiran tetangga. Tidak menang tangan dibuatnya.

Bercakap soal majlis walimatulurus, penulis sering mendapat rungutan dalam kalangan sesetengah masyarakat yang tidak berpuas hati. Bagi mereka, kebanyakan majlis kenduri yang diadakan adalah sia-sia dan membazir. Hal ini berlaku sama ada secara disedari ataupun tidak.

Sebagai contoh yang dikatakan sia-sia adalah sikap pengantin, ibu bapa pengantin dan ahli keluarga yang terdekat. Pengantin sejak dari pagi lagi mengenakan 'make-up' yang tebal-tebal yang agak keterlaluan sehinggakan agak sukar bagi mereka untuk menanggalkannya ketika mahu bersolat. Akibatnya mereka terlepas solat Zohor dan Asar.

Begitu juga halnya dengan ibu bapa pengantin dan ahli keluarga yang terdekat. Kesibukan melayan tetamu yang datang dari dekat dan jauh kadangkala melalaikan mereka. Pendek kata terlepas juga mereka untuk solat Zohor dan Asar pada hari tersebut.

Majlis kenduri yang keterlaluan besarnya juga membawa kepada pembaziran. Sebagai contoh hiasan rumah atau pelamin pengantin yang keterlaluan adalah membazir. Manfaat dalam menceriakan majlis kenduri adalah sangat sedikit berbanding kos yang terpaksa dikeluarkan untuk membuat perhiasan tersebut.

Itu baru saja soal hiasan pelamin tidak termasuk lagi soal jurukamera, persembahan silat, kumpulan kompang, sewa juru acara dan lain-lain. Malah kadangkala ia boleh mendatangkan ketidakselesaan kepada tetamu yang hadir.

Sebagai contoh, juruacara di majlis kenduri adalah daripada kalangan semi profesional yang mana diberi tanggungjawab oleh tuan kenduri bagi mengacara majlis. Muzik yang dimainkan selalunya terlalu kuat sehingga menganggu orang ramai. Yang lebih sedih lagi semasa azan sedang berkumandang muzik tetap dimainkan tanpa henti. Lagu-lagu yang diputarkan juga agak keterlaluan. Tidak kena langsung dengan majlis kenduri yang diadakan.

Apabila dijemput juruacara, persembahan silat, kumpulan kompang dan sebagainya sudah pasti ia memerlukan kos yang banyak. Jika majlis ini diadakan di rumah orang kaya mungkin masyarakat tidak kisah kerana mereka mampu menanggung kos tersebut.

Yang menjadi masalahnya ialah orang biasa di kampung-kampung atau taman perumahan turut hendak melakukan perkara yang sama. Malah yang lebih teruk hutang terpaksa dibuat bagi membayar kumpulan-kumpulan tersebut. Berbaloikah semua ini hanya untuk mengadakan majlis kenduri satu hari sahaja? Sedangkan hutang terpaksa ditanggung dalam tempoh waktu yang agak lama.

Satu lagi trend yang agak membimbangkan adalah soal jurukamera dan bergambar. Memang betul majlis ini hanya diadakan sekali seumur hidup. Maka saat-saat ini harus dirakamkan dan digambarkan semahu-mahunya. Biasanya jurukamera akan datang seawal pagi dan merekodkan setiap detik sepanjang majlis berlangsung. Tiada salahnya dalam hal ini.

Namun, kegilaan pengantin untuk bergambar kadang kala agak keterlaluan. Selepas waktu persandingan diarahnya pula jurugambar untuk ke sawah bendang atau gunung-ganang bagi merakamkan gambar-gambar mereka. Sesi bergambar biasanya boleh membawa sehingga ke waktu Maghrib.

Dalam hal ini, tidakkah mereka terfikir untuk memperuntukkan sedikit masa melayan tetamu sama ada yang dekat atau jauh? Adakah mereka terfikir untuk beramah mesra dengan tetamu yang datang? Adakalanya tetamu yang datang merupakan saudara mara terdekat yang sanggup datang semata-mata untuk meraikan pengantin.

Isu lain pula ialah mengenai pakaian pengantin terutamanya pengantin perempuan yang tidak selari dengan kehendak agama. Peliknya sewaktu majlis akad nikah diadakan di masjid boleh pula mereka menutup aurat seperti bertudung dan tidak mengenakan pakaian seksi. Namun, ia hanya bertahan di situ sahaja.

Semasa majlis kenduri lain pula jadinya. Adab-adab pakaian Islam telah dilupakan. Bukan setakat mendedah rambut tetapi pakaian ketat yang tidak sesuai turut dikenakan. Di manakah kewajaran perkara ini dilakukan? Walaupun pengantin merupakan raja sehari, namun etika dan adab Melayu Islam wajar dijaga dan dipelihara.

Bagi menjadikan majlis yang dianjurkan itu mendapat keberkatan, soal pantang larang dalam agama haruslah dititik beratkan. Perkara yang dianggap biasa bagi sesetengah pihak seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, bersalam-salaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram wajib dielakkan.

Dalam hal ini, ibu bapa mahupun masyarakat setempat haruslah sama-sama memainkan peranan agar majlis yang baik ini tidak dicemari dengan anasir-anasir yang boleh merosakkan.

Tambahkan sedikit ilmu berkaitan majlis kenduri agar majlis yang diadakan mendapat reda Allah SWT. Ambil tahulah perkara-perkara asas mengenai hukum bersanding, menjauhi unsur-unsur khurafat dalam persandingan seperti penggunaan jampi, berandam dan berhias untuk dipamerkan (tabarruj). Semoga keberkatan dalam majlis walimatulurus dapat dicapai.


RAM AL JAFFRI SAAD ialah Pensyarah Kanan Perakaunan Islam dan Penyelidik Utama Institut Penyelidikan dan Pengurusan, Universiti Utara Malaysia. Utusan Malaysia Online Rencana 20131129
Tags: kahwin, walimah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments