mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: Bendung penularan ajaran Syiah seleweng akidah

Keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengenai ajaran Syiah pada 1996 menetapkan umat Islam di negara ini hendaklah hanya mengikut ajaran Islam berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.

Kedua, memperakukan pindaan kepada semua undang-undang negeri berhubung hukum syarak bagi menyelaraskan takrif hukum syarak atau undang-undang Islam yang berasaskan kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.


Penetapan dasar ini selaras konsep maqasid syariah yang meletakkan objektif pertama memelihara agama. Dalam konteks negara, sememangnya tanggungjawab memelihara keluhuran dan kesucian agama terletak di bahu pemerintah.

Pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah

Justeru, sebagai umat Islam di negara ini yang berpegang dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, kita seharusnya memahami penetapan mazhab rasmi negara bertujuan memastikan kesucian akidah dan syariah Islam dipertahankan, dibela serta dipelihara.

Yakin dan percayalah asas akidah ialah beriman kepada Allah SWT iaitu kepercayaan kepada keesaan-Nya dan kepercayaan di atas kebenaran risalah Nabi Muhammad SAW. Islam amat mengambil berat dan menyeru kepada mentauhidkan Allah SWT secara ilmu dan amal.

Hanya Islamlah agama yang diiktiraf di sisi Allah SWT, iaitu agama yang menjamin umat Islam kepada kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih kecuali selepas sampai kepada mereka pengetahuan kerana hasad dengki di kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya. (Surah Ali-Imran, ayat 19)

Namun, akhir-akhir ini ajaran Syiah yang dibawa masuk ke Nusantara semakin berkembang di negara kita. Ajaran Syiah yang bertapak di Malaysia adalah ajaran Syiah Imamiyyah Ithna Asyariyyah (Jafariyyah).

Fahaman Syiah ini semakin meruncing apabila ada kalangan mereka yang berpendidikan tinggi dan berlatar belakang agama memainkan peranan menyebarkan fahaman ini secara serius terutama kepada pelajar di universiti serta menular kepada masyarakat awam.

Banyak penyelewengan telah dilakukan golongan ini yang menyentuh sama ada dari sudut akidah, syariah dan kepentingan umum. Umat Islam diingatkan, gerakan mereka termasuk penyebaran kitab utama Syiah dalam bahasa Melayu ke seluruh pelusuk tempat di negara ini.

Ini bermakna dakyah Syiah kini disebarkan oleh rakyat Malaysia berbangsa Melayu, yang melanjutkan pelajaran ke negara berfahaman Syiah.

Antara pegangan akidah Syiah ialah mendakwa imamah sebagai rukun Islam pertama dan termasuk dalam perkara usuluddin. Kedua, menafikan kekhalifahan Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidina Uthman.

Mengkafir dan memfasikkan sahabat, mendakwa al-Quran telah diubah, berdoa supaya dihapuskan penentang Syiah termasuk pihak berkuasa, mengharuskan perbuatan meliwat, menyambut hari Karbala pada setiap 10 Muharam.

Mempertahan amalan nikah mutaah, mempertikai kesahihan dan keutuhan mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah, mendakwa Syiah adalah pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar dan mencabar pihak berkuasa.

Justeru, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 2 dan 3 Mei 1996 di Langkawi, Kedah, telah membuat keputusan mengharamkan ajaran Syiah di Malaysia dan menetapkan umat Islam mengikuti ajaran Islam berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi aqidah, syariat dan akhlak.

Bersedia pertahan kesucian akidah Islam

Umat Islam dinasihat sentiasa berwaspada dan bersedia mempertahankan kesucian akidah Islam daripada sebarang bentuk penyelewengan serta pencemaran yang boleh menggugat akidah, perpaduan ummah dan keharmonian.

Marilah bersama mengambil langkah sewajarnya untuk membendung gejala penyebaran ajaran Syiah sebelum menjadi lebih parah. Waspadalah kerana virus Syiah sudah mula meresap dalam aliran fikiran dan merebak dalam jiwa segelintir umat Islam hingga mereka sanggup meracuni umat Islam melalui pelbagai gerakan yang tersembunyi.

Umat Islam berkewajipan membuat laporan kepada pihak berkuasa agama di tempat masing-masing jika mengesyaki, menyedari atau melihat sendiri terdapat mana-mana pihak yang berusaha menyebar ajaran Syiah yang sesat ini.

Ibu bapa kita juga hendaklah berperanan mendidik anak-anak dengan ajaran Islam yang sebenar.


Berita Harian Online Agama 29/112013
Tags: akidah, islam, sunnah, syiah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments