mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Zakat duit pemberian suami

SAYA merupakan seorang isteri yang berkelulusan tinggi tetapi atas kehendak suami saya tidak bekerja dan diminta menguruskan keluarga. Setiap bulan, suami saya hanya mengambil RM1,000 sebulan dari gajinya dan dan telah menyerahkan seluruh baki gajinya kepada saya untuk tujuan perbelanjaan keluarga seperti membayar bil utiliti, pinjaman rumah, kereta dan keperluan rumah lainnya. Soalan saya, bolehkah saya menggunakan wang itu untuk diberikan kepada ibu bapa dan juga bersedekah kepada orang tertentu dan juga berzakat? Ini kerana, saya rasa seperti tidak amanah pula jika saya melakukannya?

Jawapan:

Segala puji bagi Allah SWT yang telah memberikan kita nikmat yang begitu banyak. Tahniah saya ucapkan kepada puan, justeru telah mendapat seorang suami yang begitu baik, kerana telah meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada puan dalam urusan kewangan. Saya berdoa semoga rumah tangga puan kekal aman hingga ke hujung usia, amin.

Baiklah, apabila membaca soalan puan, maka suka saya nyatakan bahawa suami puan sebenarnya memahami peranan seorang isteri di dalam rumah tangganya. Ini kerana, secara dasarnya memang menjadi peranan si suami untuk bekerja di luar rumah untuk mencari rezeki, demi menafkahi anak-anak dan isterinya.

Manakala di sisi isteri pula, memang menjadi peranannya untuk bekerja di dalam rumahnya, menguruskan segala keperluan keluarga termasuklah yang paling utama mendidik anak-anak. Atas sebab itulah, kita akan berjumpa dengan banyak hadis yang memerihalkan dua kondisi yang berbeza bagi suami dan isteri ini.

Hakim bin Mu’awiyyah bin Hidah al-Qusyairi r.a pernah mendengar yang ayahnya berkata bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri kami ke atas suami?” Rasulullah bersabda: “Memberinya makan apabila kamu makan, memberinya pakaian apabila kamu berpakaian.” (riwayat Abu Daud)

Manakala dalam hadis yang lain pula, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu sekalian akan ditanya perihal kepimpinan kamu. Seorang lelaki adalah pemimpin keluarganya dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Isteri adalah pemimpin dalam rumah tangga suaminya dan dia akan ditanya mengenai tanggungjawab kepimpinannya." (riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Kedua-dua hadis di atas menjelaskan bidang tugas lelaki dan perempuan dalam rumah tangga, sesuai dengan fitrah kejadian mereka.

Amanah

Maka, apabila puan diamanahkan menguruskan keluarga, ia bukanlah satu tanggungjawab yang mudah. Malah, dengan kecekapan puan menguruskan keluarga maka membolehkan suami untuk mencari rezeki dengan senang dan mudah. Rumah tangga yang aman dan bahagia, menjadi motivasi terbaik buat suami bekerja. Sebaliknya, jika rumah tangga porak peranda, ia akan menjejaskan kualiti kerja suami di luar.

Maka, atas dasar itulah Islam tidak memandang sebelah mata akan peranan seorang ibu dan isteri. Malah, di Malaysia pihak berkuasa agama Islam telah mewujudkan sebuah undang-undang yang mengiktiraf pekerjaan seorang suri rumah apabila pada 1982 Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah memperkenalkan konsep Harta Sepencarian.

Dengan adanya peruntukan ini, maka biarpun si isteri hanya menguruskan keluarga di rumah, namun dia masih berhak mendapat sebahagian daripada harta yang diperoleh selama mana usia perkahwinannya itu didirikan jika ditakdirkan berlaku perceraian.

Sekarang, saya ingin mengaitkan isu pemberian harta suami puan ini dengan niat puan sendiri yang mahu menafkahkannya kepada jalan-jalan yang baik, sama ada diberikan kepada ibu bapa, bersedekah dan berzakat.

Hakikatnya, semuanya adalah baik di sisi Islam. Memberikan kepada ibu bapa itu lebih dituntut dalam Islam, apatah lagi jika mereka memang termasuk dalam kalangan orang yang memerlukan. Demikian jugalah dalam urusan memberikan sedekah dan zakat, ia adalah suatu suruhan Allah SWT kepada semua orang yang mengaku beriman.

Maka, di sini sebenarnya wang itu biarpun asalnya milik suami puan, namun di satu sisi yang lain, ia telah pun diserahkan kepada puan. Ia bermakna, corak penggunaannya adalah terserah pulalah kepada kebijaksanaan puan dalam mengagihkannya, sama ada untuk keperluan asasi mahupun memberi sedekah dan zakat.



Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131129
Tags: amanah, zakat
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments