mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ujian hijrah

ALHAMDULILLAH pada ruangan tafsir kali ini, saya akan mengemukakan sebuah nas al-Quran berkaitan dengan ujian hijrah. Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain. Dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikit pun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah. (al-Anfal: 72)

Ibnu Jarir berkata: "Dua kumpulan ini, Muhajirin dan Ansar antara satu sama lain saling membantu dan bekerjasama dalam menentang golongan musyrikin."

Ibnu Kathir berkata: "Allah SWT menyebut golongan yang beriman dan membahagikan mereka kepada Muhajirin yang keluar dari rumah dan kampung halaman serta harta benda mereka. Mereka datang untuk menolong Allah dan Rasul-Nya. Begitu juga dalam membelanjakan harta mereka. Seterusnya golongan Ansar yang berada di Madinah menyambut kedatangan Muhajirin dengan menawarkan rumah mereka serta berkorban harta mereka."

Sayyid Quthub berkata: “Hukum ini merupakan suatu hukum yang logikal yang sesuai dengan tabiat agama ini dan dengan metodologi pergerakannya yang realistik kerana individu-individu ini bukan warga-warga dalam masyarakat Islam. Oleh sebab itu, tidak ada tanggungjawab perlindungan di antara mereka dengannya, walaupun di sana ada hubungan akidah namun begitu hubungan sahaja tidak mengakibatkan tanggungjawab-tanggungjawab ke atas masyarakat Islam terhadap mereka kecuali mereka dicerobohi kerana agama mereka. "

Misalannya mereka ditindas kerana agama mereka dan dalam kes ini apabila mereka meminta pertolongan kaum Muslimin yang berada di dalam negara Islam, maka wajiblah mereka menolong dalam perkara itu sahaja. Malah pertolongan itu juga bersyarat iaitu ia tidak merosakkan mana-mana perjanjian kaum Muslimin dengan pihak lain.

Sunggupun pihak ini menceroboh individu-individu yang beriman itu kerana agama mereka, namun yang menjadi dasar yang perlu dipelihara di sini ialah kepentingan masyarakat Islam dan rancangan pergerakannya yang melahirkan hubungan dan perjanjian yang harus diutamakan.

Ayat ini menyatakan kepada kita sejauh mana kepentingan yang diletakkan oleh agama ini ke atas tatacara pergerakan yang menggambarkan kewujudannya yang hakiki.

Menekuni peristiwa hijrah

Pada ruangan kali ini, saya ingin mengajak para pembaca untuk menekuni peristiwa dengan disekalikan fikah hijrah dalam episod tersebut.

Rasulullah SAW meninggalkan rumahnya pada malam 27 Safar tahun 14 kenabian bersamaan 12/13 September 622 (M).

Baginda terus menuju ke rumah sahabatnya Abu Bakar r.a. Kemudian mereka berdua meninggalkan rumah Abu Bakar menggunakan pintu belakang menuju ke Mekah secara segera dan bersembuni sebelum fajar menyinsing.

Nabi SAW menyedari bahawa orang-orang Quraisy akan berusaha keras mencarinya dan jalan yang akan menjadi tumpuan ramai ialah jalan utama ke Madinah menuju ke utara, maka Baginda mengambil jalan yang bertentangan sama sekali daripada pandangan pihak Quraisy iaitu memilih memilih laluan di selatan Mekah yang menuju ke arah Yaman.

Lantas, Baginda terpaksa merentasi jalan ini sejauh lima batu sehingga sampai ke sebuah bukit yang dikenali sebagai Bukit Thur. Bukit ini agak tinggi dengan batu-batuan yang keras serta laluan yang sukar untuk didaki sehingga kaki Baginda SAW melecet.

Dikatakan bahawa Nabi SAW sengaja berjalan menggunakan hujung kaki sepanjang perjalanan untuk menghilangkan kesan tapak kakinya. Abu Bakar memapah Rasulullah SAW dengan bersusah payah hingga sampai ke puncak bukit yang terdapat sebuah gua yang dikenali Gua Thur. (rujuk Rahmah Li al-Alamin 1/95. Abdullah al-Najdi hal. 167)



Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131129
Tags: hijrah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments