mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Rasulullah, Khadijah nikah pada bulan Safar

Peristiwa besar dalam sejarah Islam bukti tanggapan masyarakat salah


Safar adalah bulan kedua dalam kalendar Islam yang bermaksud kosong. Sudah menjadi kebiasaan orang Arab, pada bulan Safar, mereka akan meninggalkan rumah dan kampung halaman kerana melaksanakan tugas penting seperti berperang, menuntut bela kematian dan berdagang.


Bulan Safar juga mencatatkan pelbagai peristiwa besar penting yang sewajarnya menjadi bahan renungan bersama setiap Muslim dalam kehidupan seharian. Antara peristiwa penting itu ialah pernikahan Rasulullah dengan Khadijah binti Khuwailid.


Ia berlaku sebelum Nabi dilantik menjadi Rasul. Safar juga menyaksikan kebenaran berperang yang berlaku pada tahun ke-2 hijrah. Peperangan pertama disertai Rasulullah adalah Wudan atau Abwa’ bagi menentang kekufuran.

Seterusnya, peperangan Bi’r Ma’unah juga berlaku pada tahun ke-4 hijrah di bawah pimpinan al-Munzir bin ‘Amr As Sa’idi yang ditugaskan untuk berdakwah dan mengajar agama Islam serta al-Quran kepada Bani ‘Amir. Peperangan ini disertai 40 sahabat Rasulullah SAW.

Tragedi al-Raji’

Selain itu, bulan Safar mencatatkan tragedi al-Raji’, peristiwa membabitkan tujuh sahabat Baginda yang diutus bagi mengajar agama Islam kepada kaum ‘Udal dan al-Qarah, tetapi mereka mengkhianati perutusan itu dengan melakukan serangan hendap di tempat persinggahan bernama al-Raji’ di daerah ‘Usfan (kawasan antara Makkah dan Madinah).

Antara sahabat menyertai perutusan itu adalah Khubaib bin ‘Adi, Marthad bin Abi Marthad al-Ghanawiy, ‘Asim bin Thabit dan Zaid bin al-Dathanah. Semua sahabat dibunuh di tempat serangan kecuali Khubaib bin ‘Adi yang dibawa ke Makkah dan dibunuh di situ.

Beliau adalah orang yang pertama menunaikan solat dua rakaat sunat sebelum dibunuh yang kemudiannya menjadi ikutan sunnah.

Pembukaan Khaibar (kubu Yahudi) juga berlaku pada Safar tahun ke-7 hijrah yang turut disertai 20 sahabat wanita antaranya Ummu Salamah, Safiyah binti Abd Mutallib dan Ummu Aiman. Pada peperangan itu, seramai 15 sahabat gugur syahid, manakala 73 Yahudi terbunuh.

Demikianlah antara peristiwa penting yang berlaku pada bulan Safar dirakamkan oleh sejarawan untuk dijadikan pengajaran kepada umat Islam. Walaupun begitu, masih ada sebahagian umat Islam terutama yang lemah akidah, mempunyai prasangka buruk terhadap bulan Safar.

Lebih malang lagi, mereka percaya pada bulan ini Allah SWT akan menurunkan puluhan ribu bala yang akan menimpa umat manusia, sedangkan bala sentiasa berada di mana-mana dan pada bila-bila masa saja yang dikehendaki Allah SWT.

Justeru, berdasarkan kepercayaan karut itu, ada umat Islam yang telah menulis ayat wifiq pada kertas dan pinggan mangkuk yang kemudiannya diletakkan di dalam tempayan, kolam, perigi atau seumpamanya untuk diminum serta bermandi manda untuk mengelak bala.

Perlu ditegaskan bahawa kepercayaan karut seumpama itu berpunca daripada amalan atau kepercayaan jahiliah yang dilarang Islam.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada penyakit berjangkit, tidak ada sempena (baik atau buruk) melalui burung-burung berterbangan, tidak ada sial pada burung hantu dan tidak ada nahas dalam bulan Safar. Hendaklah setiap daripada kamu melarikan diri daripada pesakit kusta sebagaimana kamu melarikan diri daripada singa yang bengis.” (Riwayat Bukhari)

Pada masa sama, Rasulullah SAW juga berpesan kepada setiap Muslim supaya mengambil langkah berwaspada ketika berhadapan musibah dan jangan meletakkan diri ke kancah bahaya atau kemusnahan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Belanjakanlah (apa yang ada padamu) kerana (menegakkan) agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan perelokkanlah perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 195)

Kepercayaan Safar, bulan nahas

Maka jelaskan yang dipercayai dan diamalkan sebahagian umat Islam selama ini iaitu kepercayaan Safar adalah bulan nahas atau sial, burung hantu, burung sial dan seumpamanya adalah kepercayaan karut yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Ada sesetengah orang tua yang tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan atau keramaian pada bulan Safar kerana dikhuatiri pengantin tidak akan mendapat zuriat atau tidak bahagia. Kepercayaan itu jelas bercanggah dengan syariat Islam serta boleh menyebabkan rosaknya akidah.

Dalam keadaan tertentu, ia boleh menyebabkan seseorang menjadi syirik kerana percaya kepada bulan, bukannya pada kuasa Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad), tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jugalah hendaknya orang yang beriman bertawakal.” (Surah at-Taubah, ayat 51)


Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi Berita Harian Online Agama 05/12/2013
Tags: al-raji', khadijah, rasulullah, safar
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments