mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Wajah Islam Liberal

PADA hari ini, ketika suatu wacana baharu dilemparkan telah menjadi kebiasaan seorang pemikir akan melihat momentum keperluan semasa dan keberhasilannya bukan sahaja ditentukan oleh faktor dalaman tetapi juga faktor luaran dan tidak terkecuali political correctness di mata kuasa besar dunia.

Wacana modernisme di Indonesia, khususnya dan di dunia Islam umumnya adalah salah satunya, ia telah memanfaatkan momentum merebaknya wabak sekularisasi dunia dan meluasnya neocolonialisme kuasa besar. Wacana yang menentang arus sekularisasi dan liberalisasi secara tabi’inya akan dianggap ketinggalan zaman.

Namun, seseorang yang berfikir dengan cerdas akan mengerti bahawa kebenaran tidak ditentukan oleh kekuasaan, ia harus tumbuh daripada kesedaran diri dan hati nurani yang suci.

Mungkin ramai yang masih tertanya-tanya tentang hakikat sebenar Islam Liberal. Ramai yang bingung ketika melihat wajah Islam Liberal, ada yang melihat ia sebagai pembawa obor pembaharuan malah tidak sedikit yang menganggap golongan ini jujur dan ikhlas memperjuangkan kebaikan bagi masyarakat Islam.

Ketika menyemak apa yang mereka suarakan timbul persoalan apakah benar mereka ini golongan pembaharu Islam (reformis)? Apakah mereka memiliki autoriti keilmuan untuk memberi pandangan tentang hakikat ajaran Islam? Di sinilah inti persoalannya.

Suatu persepsi telah dibina untuk mengaburi mata masyarakat awam, mereka mendapat liputan di media massa dengan menggunakan bahasa akademik. Orang yang tidak mengerti akan mudah tertipu dan menyangka mereka adalah golongan bijak pandai yang layak untuk berijtihad. Sememangnya ada di antara mereka berkelulusan tinggi dalam bidang pengajian Islam.

Kita ambil dua orang tokoh Islam Liberal sebagai contoh, Irshad Manji dan Amina Wadud. Kedua-duanya mengejutkan dunia Islam, apabila yang pertama menghalalkan homoseksual dan yang kedua menjadi imam dan khatib solat Jumaat.

Irshad Manji, tidak memiliki ijazah dalam bidang agama, pekerjaannya selama lebih 20 tahun adalah bidang kewartawanan. Namun begitu Irshad mengaku sebagai seorang reformis atau mujaddid Islam.

Tentunya Irshad banyak membaca tentang Islam dan belajar sendiri melalui kuliah umum, seminar dan pergaulan dengan beberapa intelektual, namun persoalan yang timbul adalah bagaimana kita dapat memastikan bahawa kefahamannya terhadap Islam adalah benar, khususnya apabila tiada pernah menimba ilmu Islam di sebuah institusi pengajian Islam atau daripada ilmuwan Islam yang berwibawa.

Tidak seperti Irshad Manji, beberapa aktivis Islam Liberal memiliki ijazah yang cukup tinggi dalam bidang agama, Amina Wadud pula memiliki ijazah doktor falsafah (Ph.D) dari Universiti Michigan dalam pengajian Islam dan pernah menuntut ilmu di Mesir. Kerana itu Amina dan beberapa tokoh liberal sepertinya dapat membaca dan merujuk karya-karya turath berhujah dengan baik dengan menggunakan dalil-dalil al-Quran dan sunnah.

Bahkan dengan rasa penuh yakin dan bangga, dengan segulung ijazah yang dimilikinya dari universiti di Barat itu ia merasa mampu untuk mentafsir semula al-Quran mengikut perspektif feminisme dan menuduh para ulama mufassirin selama ini sebagai pembenci perempuan atau misogynists dan bias dalam pentafsiran mereka.

Hakikatnya berkelulusan dalam bidang agama tidak menjadikan seseorang itu berilmu agama. Ijazah boleh diperoleh di mana saja dan kini semakin banyak institusi yang menawarkan pengajian Islam. Namun demikian perlu disedari bahawa ketika ijazah semakin mudah diperoleh, ilmu semakin sulit dicari, walaupun teknologi telah mempermudah penyampaian maklumat justeru teknologi maklumat seringkali menyebabkan ramai orang semakin bingung kerana tidak tahu bagaimana menilai dan menyaring maklumat yang diterima.

Bahkan ada yang tertipu dalam menganggap dirinya berilmu hanya dengan bersandarkan maklumat yang diterimanya itu. Kesulitan mencari ilmu yang benar berhubungkait dengan hakikat bahawa ulama yang benar-benar alim, di akhir zaman ini semakin sedikit, semakin sulit dicari, sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis, “sedikit ulamanya, ramai penceramahnya” dan ini adalah salah satu petanda akhir zaman.

Jadi apabila bukan ilmu yang mereka dapat ketika di pusat pengajian Islam dan mendapatkan ijazah dalam pengajian Islam, maka apakah sebenarnya yang mereka dapat? Pencarian ilmu sebenarnya tidak mudah kerana sebagaimana ditegaskan oleh al-Attas, ia melibatkan ketibaan makna, sesuatu yang bukan material. Ketika sistem pendidikan banyak menumpukan pada maklumat dan fakta-fakta tentang Islam yang sebahagiannya benar dan daripada sumber-sumber yang benar tetapi kemudian dicampuradukkan, disalahertikan, disalahtafsirkan, sama ada sengaja ataupun tidak, untuk sampai kepada kesimpulan-kesimpulan yang sesuai dengan semangat zaman yang telah dicorakkan oleh sekularisme dan liberalisme.

Dengan adanya niat yang tidak murni dan ketiadaan sikap beradab dan adil serta hak-hak yang tidak ditunaikan, maka seseorang itu berkemungkinan telah terhijab daripada mencapai ilmu yang benar. Ketika sesuatu perkara difahami dengan makna yang salah maka ia akan memberi ilmu yang keliru, walaupun tujuan dan niat seseorang itu baik tetapi kekeliruan ini hanya akan mendatangkan keburukan dan kerosakan kepada diri mahupun masyarakat.

Lebih daripada itu, demi mencapai agenda sekularisasi dan liberalisasi Islam, terdapat kecenderungan golongan liberal untuk meningkatkan keupayaan dan kemahiran memanipulasi fakta dan maklumat yang benar untuk tujuan yang salah, dan ini telah menjadi ciri utama golongan liberal sekarang ini.

Fakta-fakta terpilih diletakkan secara tidak benar untuk menjadi premis-premis yang bukan pada tempatnya supaya memberi makna, kesimpulan dan penafsiran yang menyimpang daripada yang diinginkan oleh Islam. Hal ini dilakukan sama ada dengan sengaja, dengan niat jahat ataupun kerana kekeliruan yang menyebabkannya menyangka apa yang dilakukannya benar dan baik.

Guru kami telah mengingatkan bahawa terdapat sebahagian manusia yang berusaha melakukan perkara yang mereka anggap baik dengan bermodalkan kejahilan. Mereka adalah sejenis manusia yang tidak tahu siapa diri mereka sebenarnya, tempat yang selayaknya bagi mereka, tidak mahu menerima hakikat bahawa diri mereka jahil atau keliru.

Mereka tidak menerima keterbatasan diri mereka dan menolak untuk diberitahu atau mengakui kelebihan ilmu yang diberikan kepada orang lain. Kerana itu ciri seorang ilmuwan adalah sifat tawaduk dan beradab dalam menyikapi perbezaan, khususnya perbezaan di kalangan ilmuwan, ini tidak termasuk perbezaan dengan orang yang jahil atau keliru.

Akibat daripada kejahilan dan sikap tidak beradab ini mereka keliru dan mengelirukan orang lain. Tujuan yang mungkin baik seringkali menjadi buruk bahkan menyesatkan. Mereka boleh sahaja mengutip ayat dan hadis, bahkan kata-kata ulama muktabar, namun tanpa penjelasan yang baik dan benar, bagi membenarkan idea dan pandangan mereka.

Di sini semua itu hanya menjadi alat dan bahan permainan dan bukannya ukuran dan rujukan yang dijunjung tinggi. Mereka kononnya ingin melakukan pembaharuan dan reformasi bagi memungkinkan umat Islam berubah dan maju. Bagaimana mungkin tujuan ini akan terlaksana jika pemikiran, teori dan falsafah yang mereka sanjung adalah daripada pemikir-pemikir Barat yang keliru, agnostik dan ateis. Yang mereka mahukan sebenarnya adalah perubahan pada Islam itu sendiri, bagi mereka Islam yang perlu diubah agar sesuai dengan moderniti Barat, maka mereka menawarkan ‘Islam yang baru’ versi liberal dan sekular.



DR. KHALIF MUAMMAR Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131204
Tags: islam, liberal
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments