mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Islam dan hak asasi

SOAL hak asasi sejak kebelakangan kini hangat diperkatakan oleh masyarakat dunia yang sering kali membangkitkan perkara itu jika hak mereka dinafikan oleh beberapa pihak, sekali gus mewujudkan perbahasan dalam kalangan pejuang hak asasi.

Namun begitu, sekalipun hak asasi diketengahkan tetapi biarlah ia berlandaskan ukuran wahyu agar soal diperjuangkan tidak mengabaikan warga lain dan menyeimbangkan antara satu sama lain.

Misalnya, hak asasi kaum wanita. Walaupun perjuangan memartabatkan kaum hawa adalah suatu perkara positif tetapi jangan sehingga mengabaikan nasib golongan Adam. Kesimpulannya adalah kedua-duanya perlu diseimbangi antara satu sama lain.

Namun di dalam Islam, agama itu mengiktiraf hak asasi seperti mana digariskan dalam al-Quran dan al-Sunnah selain ditekankan oleh Maqasid Syariah (Matlamat Syariah), lalu menyebabkan hak setiap umat Islam terjaga dan terpelihara.

Walaupun hak asasi yang telah digariskan oleh agama Islam mempunyai struktur sempurna tetapi masih ramai lagi tidak mengetahui penekanan menerusi kaca mata wahyu Allah.

Sehubungan itu, Naib Presiden (Antarabangsa) Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Azril Mohd. Amin berkata, penerangan berkenaan soal hak asasi mengikut pandangan agama Islam kepada umum perlu diperhebatkan dan diperbanyakkan agar semua tidak berterusan meletakkan tohmahan negatif.

Beliau berkata lagi, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam sewajarnya mengalas cabaran dan tanggungjawab dalam memberi kefahaman berkenaan soal hak asasi dalam Islam dalam mendepani cabaran akan datang.

Azril mengambil contoh, kewujudan beberapa deklarasi hak asasi bertentangan dengan Islam seperti perkahwinan sejenis dan lain-lain digubal oleh beberapa pihak yang tidak memahami acuan wahyu lalu mendakwa agama itu menolak kebebasan manusia.

“Mereka perlu tahu agama kita bagaimana dan begitu juga kepercayaan lain. Jika mewujudkan deklarasi tanpa pandangan betul, maka akhirnya wujud konflik antara sesama manusia.

“Hal ini seperti mana berlaku menerusi beberapa tuntutan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) baru-baru ini kerana seharusnya mereka diberikan perspektif sebenarnya mengenai Perlembagaan Persekutuan dan agama Islam.

“Niat kita bukan untuk memusuhi mereka sebab individu yang menuntut itu merupakan kawan-kawan kita. Tetapi mungkin mereka kurang memahami apakah erti hak asasi menurut pandangan agama Islam,” ujar Azril.

Azril berkata demikian dalam forum khas bertajuk 'Amalan Hak Asasi di Malaysia: Pengajaran Silam, Hakikat Sesama dan Hala Tuju Masa Depan’ dalam Seminar Hak Asasi Manusia dan Islam di Malaysia anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) baru-baru ini.

Selain itu, Azril memberitahu dalam memperjuangkan hak asasi, seharusnya setiap masyarakat perlu berhati-hati latar belakang ideologi golongan yang mendraf sesuatu deklarasi. Hal demikian dibuktikan oleh seorang pengubal deklarasi hak asasi yang terlibat dalam tragedi pembunuhan beramai-ramai Sabra dan Shatila di Palestin.

"Tanpa mengetahui pihak yang terlibat mengubal deklarasi hak asasi adalah wajar bagi kita menyelidiknya selain menerangkan berkenaan keperluan memandunya mengikut acuan tradisi Islam,” terang Azril.

ISLAM mengiktiraf hak asasi manusia seperti mana dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran yang menyatakan `Dijadikan manusia sebaik-baik kejadian.

“Tetapi perkara utama hak asasi menurut Islam ialah apa yang seharusnya kita beri kepada orang selain menunaikan hak Allah."

Felo Kanan, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan IKIM, Dr. Mohd. Farid Mohd. Shahran.

WALAUPUN kita menandatangani beberapa deklarasi hak asasi dunia, tetapi pencapaian hak asasi negara bertambah baik khususnya beberapa inisiatif kerajaan.

"Hal ini boleh dibuktikan menerusi beberapa pencapaian yang diraih oleh golongan wanita dan kanak-kanak negara ini."

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Prof. Datuk. Dr. Aishah Bidin.

Hak Allah, merujuk kepada solat, puasa, zakat dan sebagainya.

Hak manusia bermaksud meliputi urusan sesama mereka.

Hak Allah dan manusia iaitu gabungan antara kedua-duanya seperti hak nafkah kepada isteri.

Ancaman Islamophobia

Walaupun ramai yang mengatakan perjuangan hak asasi meliputi soal gender, kaum dan sebagainya tetapi ancaman Islamophobia kepada umat Islam merupakan salah satu perkara yang perlu diutarakan dalam dunia hari ini.

Menurut Pesuruhjaya Suruhanjaya Bebas dan Tetap Hak Asasi Manusia (IPHRC), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Prof. Madya. Dr. Raihanah Abdullah, ancaman berkenaan merupakan agenda organisasi itu sejak diwujudkan beberapa tahun lalu khususnya di negara di mana umat Islam merupakan golongan minoriti.

Oleh demikian, tanggapan mengenai hak asasi manusia perlu diperluas termasuklah soal ancaman Islamophobia agar dunia mengetahui bahawa perkara itu tidak terbatas kepada sesuatu golongan sahaja.

Mengenai penubuhan IPHRC, beliau berkata, walaupun baru ditubuhkan tetapi tidak bermakna negara-negara Islam baru menyedari kepentingan hak asasi tetapi perlu dilihat daripada sudut misi dan matlamat kewujudannya.

“Sebab itu, penekanan daripada segi wanita, kanak-kanak dan pendidikan dalam kalangan negara anggota OIC merupakan keutamaan IPHRC dengan meneliti setiap layanan terhadap golongan berkenaan.

“Bagaimanapun, dalam mendepani amanah itu, kami menghadapi cabaran apabila setiap anggota berlainan cara hidup dan kebudayaan seperti contoh perkahwinan kanak-kanak. Tetapi ia tidak menghalang kami memperjuangkan hak asasi,” terang Raihanah.

Tetapi kata Raihanah, walaupun begitu dalam kalangan negara Islam soal-soal tuntutan perkahwinan sejenis, hak menukar agama dan sebagainya tidak menjadi keutamaan tetapi isu fundamental seperti kezaliman rumah tangga merupakan topik perbincangan.

Berhubungan ancaman Islamophobia, Raihanah mencadangkan supaya dialog diadakan untuk menerangkan kepada masyarakat dunia tentang wajah Islam sebenarnya yang membawa misi keamanan dan sejagat kepada seluruh umat.



JUANI MUNIR ABU BAKARUtusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131205
Tags: islam
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments