mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Dosa al-Arqam

KEYAKINAN pemimpin dan pengikut kumpulan al-Arqam bahawa Imam Mahdi akan muncul pada 2009 tidak menjadi kenyataan. Tahun tersebut adalah tarikh genapnya usia al-Arqam ke-40 tahun semenjak penubuhannya pada 1969.

Tahun yang dianggap sebagai tahun sangat keramat, sebaliknya menjadi tahun yang sangat mengecewakan. Kini usia al-Arqam sudah 43 tahun.

Empat dekad sudah berlalu dan masuk dekad kelima, al-Arqam terus diselubungi oleh pelbagai ramalan, di samping berbagai-bagai masalah kepercayaan yang bercanggah dengan akidah Islam.

Masyarakat mungkin beranggapan faktor utama kesesatan dan penyelewengan jemaah al-Arqam ialah amalan tarekat yang dikenali sebagai “Awrad Muhammadiyyah”.

Secara zahirnya, pandangan ini mungkin benar. Tetapi pada hakikatnya, ada faktor lain yang lebih tepat iaitu peranan syaitan yang sentiasa membayangi dan menguasai gerakan itu.

Khadam jin

Bekas Timbalan Syeikh Al-Arqam, almarhum ustaz Mokhtar Yaacob adalah kawan penulis semasa belajar di Sekolah Arab, Batu Satu, Jalan Mersing, Kluang, Johor sekitar tahun 50an.

Begitu juga ketika sama-sama belajar di Kolej Islam Malaya, Jalan Kampung Jawa, Klang awal tahun 60an. Hubungan tersebut semakin erat apabila kami bersama belajar tasawuf dengan guru yang sama. Walaupun beliau adalah timbalan syeikh al-Arqam, beliau tidak terlibat sama sekali dengan amalan Awrad Muhammadiyyah dan silat sunda.

Almarhum pernah menceritakan kepada penulis bahawa Ashaari Muhammad sendiri secara terus-terang mengaku bahawa dia mempunyai khadam jin. Pengakuan tersebut dibuat dua kali di lokasi yang berasingan.

Kali pertama ialah di hadapan sebuah masjid di Bidor, Perak. Almarhum bertanya kepada Ashaari Muhammad, siapakah orang yang berbual-bual bersamanya di tepi masjid itu. Ashaari menjawab, itulah khadam jinnya.

Kali kedua, ketika berada di sebuah hotel ketika mengadakan lawatan ke sebuah negara Arab. Almarhum bertanya, berapa ramai khadam jin yang membantunya? Ashaari Muhammad menjawab, khadam jinnya berjumlah berbelas-belas ekor.

Jelmaan syaitan

Ketika sesi soal jawab dalam satu majlis dakwah al-Arqam yang diadakan di Kampung Baru, Kuala Lumpur, pertengahan tahun 90an, penulis sempat bertanya kepada ustaz yang memberikan kuliah, bagaimana jemaah al-Arqam yakin syeikh Suhaimi adalah imam Mahdi?

Ustaz tersebut menegaskan, Syeikh Suhaimi selalu datang menemui mereka dan berbual-bual bersama mereka.

Bila penulis bertanya kemungkinan yang datang menjelma dan terus berbual-bual itu syaitan, maka ustaz itu menjawab: “Mungkin ia syaitan tetapi kami yakin itu bukan syaitan. Itulah Syeikh Suhaimi sebenar, sebab ia selalu datang sehingga kami kenal sangat.”

Tidak syak sedikit pun, itulah syaitan yang telah berjaya memperdaya jemaah al-Arqam yang mengaku sebagai syeikh Suhaimi yang telah pun meninggal dunia.

Almarhum Mokhtar Yaacob mengisytiharkan dirinya keluar daripada pertubuhan al-Arqam pada 1986 adalah didasarkan keyakinannya bahawa syaitan telah menguasai semua asas pemikiran jemaah al-Arqam, sama ada yang berkaitan dengan akidah mahupun syariah.

Beliau mengharapkan supaya jemaah al-Arqam kembali ke jalan yang benar tetapi berjaya mengajak keluar sebahagian kecil sahaja pengikut al-Arqam.

Kira-kira setahun setengah kemudian, almarhum meninggal dunia. Jemaah al-Arqam berasa lega dan meyakini kewafatan almarhum kerana dosanya melawan wali Allah iaitu Ashaari Muhammad yang dianggap sebagai pemimpin yang paling ajaib di zamannya.

*Dr Jahid Sidek  ialah Pengasas Pusat Rawatan Islam Manarah. Utusan malaysia Online Bicara_Agama 20131205

Tags: arqam, dosa, jin, khadam, syaitan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments