mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Tarik remaja cintai surau

TAK kenal maka tak cinta. Begitulah bidalan Melayu yang menggambarkan bahawa kita tidak akan menyukai sesuatu dan mendekati perkara tersebut jika tidak memahami atau mengenalinya.

Sebagai contoh apabila kita dilahirkan ke alam yang fana ini, kedua ibu bapa merupakan orang yang paling kita kenal dan sayangi maka hubungan tersebut kekal istiqamah hingga ke akhir hayat.

Begitu juga konsepnya untuk menggalakkan anak-anak yang masih hijau untuk menyintai surau malahan masjid dan tempat-tempat ibadah yang lain.

Anak-anak ini perlu diperkenalkan dengan surau seawal umur lima hingga enam tahun, sama ada untuk solat berjemaah mahupun majlis keagamaan.

Menyedari akan tanggungjawab untuk menjadikan generasi hari ini menyintai surau, pihak Jawatankuasa Surau Al-Ma’muriah Seri Pristana telah mengadakan program Daurah Remaja sempena penganjuran Karnival Surau Al-Ma’muriah, Seri Pristana, Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Surau Al-Ma’muriah, Ismail Isak, 43, program Daurah Remaja Islam yang diadakan sempena karnival tersebut bertujuan mendekatkan golongan tersebut dengan aktiviti-aktivti keagamaan di surau sejak di bangku sekolah lagi.

"Sempena program Daurah Remaja Islam kita kumpulkan anak-anak kita hampir 80 orang untuk belajar tentang ilmu agama yang bermanfaat bagi diri mereka.

"Kesemua anak-anak ini kita kumpulkan bersama rakan-rakan sebaya mereka bagi belajar ilmu dalam suasana santai dan menggembirakan mereka," katanya.

Ismail berkata, sudah menjadi resmi manusia suka melakukan sesuatu dengan rakan-rakan daripada kelompok mereka dan pihak surau mengambil pendekatan menjadikan golongan remaja sebagai sasaran pada karnival tersebut.

Katanya, sepanjang program berlangsung remaja-remaja yang terlibat kelihatan gembira dan pensyarah jemputan juga berjaya mewujudkan interaksi dua hala yang mantap.

"Kita turut memberi sijil kepada peserta Daurah Remaja Islam sebagai galakan untuk mereka datang lagi ke surau untuk menuntut ilmu.

"Apa yang lebih penting bukan sijil tersebut tetapi sebagai wadah mendekatkan diri remaja dengan surau mahupun masjid sebagai tempat beriibadah dan menuntut ilmu sehingga ke akhir hayat mereka,"katanya.

Karnival tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa negeri, Salehen Mukhyi.

Selain program daurah tersebut, pihak penganjur turut membuka gerai jualan, konsert artis nasyid dan program bual bicara bersama artis seperti Diana Amir yang dipengerusikan Ustaz Mohd. Zamri Mohd. Zainuldin.



Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131206
Tags: remaja, surau
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments