mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Bersatu tangani isu jejas maruah ummah

Pertubuhan Islam perlu berani bersuara perjuangkan hak Mukmin


Pada zaman moden ini, kita sering menatap paparan media yang melaporkan berkenaan penderitaan umat Islam di di banyak negara. Ini berlaku lantaran umat Islam adalah penduduk minoriti berbanding penganut agama lain. Layanan tidak sama rata dan penuh dengan unsur diskriminasi menjadi igauan ngeri buat umat Islam.


Hal demikian dapat kita saksikan menerusi keperitan dan penderitaan yang dialami penduduk Islam Rohingya di Myanmar dan terbaru, umat Islam sedang dihimpit masalah yang begitu dahsyat di Angola, Afrika Selatan.


Masjid dirobohkan dan kitab al-Quran dibakar. Malah, Angola secara terang-terangan mengisytihar pengharaman ke atas agama Islam. Begitulah senario semasa yang menimpa masyarakat Islam yang menjadi umat minoriti di negara luar.

Sewajarnya negara Islam bersatu hati dalam bertindak menyuarakan secara tegas terhadap polisi yang amat prejudis terhadap anutan agama, malah ia dianggap bertentangan dengan etika bersosial dan beragama menurut Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Gerakkan suara menerusi OIC

Tibalah masanya, Malaysia perlu menggerakkan suara yang lantang menerusi Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC) menyatakan rasa tidak senang terhadap amalan yang jelas bertentangan nilai tamadun. manusia.

Jelas, masyarakat dunia masih tidak menghayati bagaimana sikap umat Islam yang tidak sedikit mengganggu penganut agama lain dan hakikat ini terakam kemas dalam rakaman sejarah.

Kita ambil misalnya, sikap Salahuddin al-Ayyubi tatkala tentera pimpinannya berjaya menewaskan tentera salib sekali gus menawan kembali Baitulmaqdis.

Dikatakan ada dalam kalangan saudara mara yang pernah menjadi mangsa kezaliman tentera salib sebelum itu pergi menghadap Salahuddin dan meminta agar tawanan itu diperlakukan seperti mana yang pernah dilakukan terhadap saudara mara mereka dulu.

Namun, dengan sikap yang cukup tenang selepas mendengar saranan itu beliau berkata “Kita perangi golongan kuffar kerana mereka melakukan kezaliman. Kita yang mendakwa berada di dalam al-Haq tidak boleh berbuat seperti apa yang pernah dilakukan oleh orang yang zalim.”.

Jelas menerusi kata-kata Salahuddin itu terpancar personaliti seorang Islam yang sejati yang berpegang teguh dengan al-Quran dan sunnah.

Kehebatan sikap luhur Salahuddin itu dipuji oleh beberapa tokoh Barat yang kebanyakannya memberikan kredit tinggi terhadap watak dan perwatakan Salahuddin yang tidak mengambil tindakan membalas kezaliman dengan kezaliman sebaliknya dia mempamerkan suatu sikap sebenar seorang Mukmin.

Sikapnya dan ketokohannya bertepatan dengan apa yang dituntut Islam seperti yang difirmankan Allah dalam Surah an Nahl ayat 127 bermaksud, “Bersabarlah (Hai Muhammad) dan tiadalah kesabaran itu melainkan dengan pertolongan Allah dan janganlah kamu bersedih hati terhadap (kekafiran) mereka dan janganlah kamu bersempit dada terhadap tipu daya mereka,”.

Ketika penaklukan itu, tiada seorang Kristian yang dibunuh dan tiada rampasan terhadap harta benda milik penduduk Jerusalem.

Umat Islam yang seharus celik minda masyarakat anutan agama lain di dunia bahawa Islam menyebarkan erti kasih sayang terhadap semua ummah.

Tiada istilah diskriminasi dalam Islam

Tiada istilah diskriminasi dan buruk sangka terhadap anutan agama lain. Benarlah seperti apa yang dipegang oleh Salahuddin menepati apa yang dianjurkan oleh Islam dan hal itu dapat kita temui menerusi firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 193 hingga 194 yang mana Allah menegaskan, “Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi dan (sehingga) ketaatan itu hanya semata-mata untuk Allah. Jika mereka berhenti (daripada memusuhi kamu), maka tidak ada permusuhan (lagi), kecuali terhadap orang-orang yang zalim .’

Seharusnya isu yang menimpa ummah mesti ditangani dengan lebih tegas dan dalam satu tindakan. Kini, seolah-olah masyarakat Islam yang menjadi masyarakat minoriti tidak mendapat simpati dan bantuan yang sepatutnya seluruh ummah peka dengan permasalahan mereka.

Mungkin masing-masing terlalu sibuk dengan urusan duniawi sendiri sehingga kini masih kebuntuan untuk berpegang tangan secara berpadu untuk saling membantu sesama ummah.

Kita ada badan yang menyatukan negara Islam, namun ia semakin ‘kerdil’ dilihat oleh masyarakat dunia. Di mana silapnya sehingga begitu sekali jadinya kepada umat Islam masa kini.

Benarlah seperti yang pernah diumpamakan Rasulullah bahawa umat Islam pada akhir zaman umpama buih. Banyak jumlahnya, namun, tidak kuat dan kukuh bersatu menampilkan watak luhur yang bersatu padu.

Seperti buih, nampak banyak, tetapi tatkala dihanyutkan oleh arus deras, ia akan hilang begitu saja. Begitulah kita pada zaman mutakhir ini yang hanyut dan hilang kekuatan seperti buih juga.


Wan Mohd Ruzlan Wan Omar Berita Harian Online Agama 18/12/2013
Tags: bersatu, islam, maruah, perang, ummah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments