mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kealimannya jadi sebutan

NAMA penuh Imam Ibnu al-Jazari ialah Muhamad bin Muhammad bin Muhammad Ibn Ali Ibnu Yusuf al-Jazari. Beliau dilahirkan di Damsyik pada 751 Hijrah. Ayahnya amat mengambil berat tentang pendidikan agamanya dan mula memberi pendidikan sejak kecil lagi.

Pada usia 13 tahun, beliau telah berjaya menghafaz seluruh al-Quran. Seterusnya beliau mendalami ilmu syariat, ilmu lughah dan mendalaminya daripada beberapa tokoh ulama tersohor ketika itu. Begitu pun Imam Ibnu al-Jazari lebih cenderung mendalami ilmu Qiraat dan masyhur dengan sumbanganya dalam ilmu tersebut.

Menyelusuri guru-guru yang pernah Ibnu al-Jazari bertalaqqi sudah pasti akan terjawab kenapakah beliau menjadi amat masyhur sehingga ke hari ini. Di Damsyik, Ibnu al-Jazari bertalaqqi dengan beberapa guru yang terkenal. Antaranya ialah Syeikh Abu Muhammad Abdul Wahhab ibn al-Sallar, Syeikh Ibrahim al-Humawi, Abi al-Muali Muhammad Ibnu Ahmad al-Lubban.

Pada 768 Hijrah, Ibnu al-Jazari pergi ke Mekah bagi menunaikan haji. Ketika berziarah di Madinah, Ibnu al-Jazari telah berjumpa dengan Imam Masjid Nabi iaitu Abi Abdillah Muhammad Ibn Salih al-Khatib dan bertalaqqi denganya. Pada tahun berikutnya, Ibnu al-Jazari pergi ke Mesir dan mendalami ilmu Qiraat dengan guru-guru yang masyhur di sana. Antaranya ialah Syeikh Abi Bakr Abdullah al-Jundi, Abi Abdillah Muhammad Ibnu al-Saigh dan Abi Muhammad Abdul Rahman Ibnu al-Baghdadi.

Ibnu al-Saigh dan Ibnu al-Baghdadi mengajar kepada Ibnu al-Jazari kitab-kitab Qiraat seperti al-‘Unwan, al-Taisir dan al-Syatibiyyah. Selepas khatam dengan dua guru yang hebat ini, beliau kembali ke Damsyik. Kali kedua ke Mesir, Ibnu al-Jazari masih mendalami Qiraat dengan Ibnu al-Saigh menerusi beberapa kitab lain seperti al-Mustanir, al-Tazkirah, al-Irsyadain dan al-Tajrid. Manakala melalui gurunya, Ibnu al-Baghdadi, Ibn al-Jazari mendalami Qiraat 14 kecuali al-Yazidi.

Sememangnya, Mesir kaya dengan ilmu Qiraat. Ramai ulama yang mahir dan menguasai ilmu tersebut dengan cara talaqqi dan musyafahah daripada ulama terdahulu dan bersambung sanad hingga Rasulullah SAW.

Sebab berkembangnya Qiraat di Mesir ialah usaha dan sumbangan besar yang dilakukan Imam Syatibiy yang mewariskan kitabnya, al-Syatibiyyah kepada segologan muridnya yang menjadi ulama. Mereka aktif dalam pengajaran dan secara langsung kitabnya itu terus menjadi rujukan sehingga ke hari ini.

Kali ketiga Ibnu al-Jazari ke Mesir, beliau membaca beberapa kitab Qiraat yang lain seperti al-I’lan kepada gurunya, Syeikh Abdul Wahhab al-Qurawi dan beberapa guru yang lain. Selain Qiraat, Ibnu al-Jazari juga mendalami ilmu fikah. Beliau mendapat ijazah untuk berfatwa daripada gurunya, Abu al-Fida Ismail ibnu Kathir iaitu pada 774 Hijrah. Syeikh al-Islam al-Bulqini juga memberikan ijazah kepada Ibnu al-Jazari iaitu pada 785 Hijrah.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20131218

Tags: alim, tokoh, ulama
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments