mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Pencegahan jenayah syariah

SAYA berpeluang menghadiri Seminar Kebangsaan Pencegahan Jenayah Syariah (SKPJS 2013) pada 16 Disember lalu di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, Selangor. SKPS 2013 adalah anjuran bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan telah dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pada majlis yang sama, Jamil Khir turut melancarkan Pelan Pencegahan Jenayah Syariah Malaysia yang mengandungi tujuh teras strategik iaitu, Peningkatan Penghayatan Agama, Penyelidikan Terencana, Penyelarasan Maklumat Jenayah Syariah, Pemerkasaan Pendidikan, Pemantapan Institusi Keluarga, Pengukuhan Undang-Undang dan Kolaborasi Strategik Inter Agensi.

Namun di dalam ruangan ini saya tidak berhasrat untuk memperincikan teras-teras strategik tersebut kerana ia boleh dibaca oleh pembaca. Apa yang saya ingin paparkan di dalam ruangan ini adalah berkaitan dengan tanggungjawab mencegah jenayah dan persepsi salah golongan liberal terhadap usaha mencegah jenayah syariah yang dilaksanakan oleh agensi agama seluruh negara selama ini.

Saya tertarik dengan ucaputama yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Shamrahayu A. Aziz yang bertajuk, Mencegah Jenayah Mengislah Ummah. Di dalam ucaputamanya, Shamrahayu memperkatakan tentang prinsip al hisbah yang dirangkumi di dalam frasa al amr bi al maaruf wa al nahy an al munkar yang bermakna menyuruh melakukan perbuatan baik dan mencegah daripada melakukan kemungkaran.

Menyeru kepada berbuat baik dan mencegah kepada kemungkaran adalah dua elemen yang tidak dapat dipisahkan. Ia mestilah seiring bagi membentuk ummah yang sejahtera.

Prinsip mencegah kepada kemungkaran ini dapatlah dilihat di dalam aspek undang-undang jenayah dan penguatkuasaannya. Menjenayahkan sesuatu perbuatan yang tidak bermoral atau kesalahan yang melibatkan hak orang lain ataupun hak Allah adalah juga salah satu bentuk pencegahan.

Oleh itu, terdapat banyak undang-undang jenayah yang digubal oleh pihak kerajaan sebagai langkah pencegahan kerana prinsip mencegah adalah lebih baik daripada mengubati atau memperbaiki sesuatu kerosakan.

Segala bentuk pencegahan ini sebenarnya berpaksikan kepada maqasid al shariah ataupun objektif syariah itu sendiri iaitu melindungi agama, nyawa, akal, kehormatan serta keturunan dan harta benda. Maqasid al shariah ini tidak boleh dilunturkan kerana ia adalah tujuan ataupun matlamat syariah itu sendiri walaupun keadaan atau masa berubah. Maqasid al shariah akan kekal utuh dan mantap walaupun keadaan masyarakat menjadi lebih kompleks berbanding sebelum ini.

Sama ada sesuatu masyarakat itu menjenayahkan atau menyahjenayahkan sesuatu perbuatan atau tindakan itu sebenarnya banyak bergantung kepada maqasid al syariah itu sendiri. Ujian yang paling utama ketika ingin memutuskan sesuatu tindakan atau perbuatan itu adalah suatu jenayah yang memerlukan pencegahan adalah bergantung kepada maqasid al shariah sebagaimana yang dinyatakan di atas.

Walaupun ada sebahagian daripada golongan yang agak liberal tidak mahu kesalahan moral dikawal oleh pemerintah, namun hakikatnya, kesalahan-kesalahan moral tersebut adalah tidak selari dengan maqasid al shariah itu. Malah prinsip kepentingan umum perlu lebih diberi keutamaan berbanding kepentingan peribadi. Pun begitu hal kedua ini juga hendaklah diambil kira kerana kehendak atau kemahuan masyarakat ataupun grundnorm of the society ini seharusnya menjadi tanda aras kepada kemajuan dan kesejahteraan masyarakat itu sendiri.

Jika kehendak individu yang diberikan keutamaan akan muncul suatu ketika nanti segala bentuk kehendak dan kemahuan individu ini akan bercanggah antara satu sama lain dan masyarakat sudah tidak dapat berperanan di dalam strukturnya sendiri.

Oleh hal yang demikian, di dalam Islam mencegah jenayah sama ada besar atau kecil adalah untuk kebaikan dan kesejahteraan ummah. Ia merupakan tanggungjawab setiap orang mukmin selaras dengan hadis nabi yang bermaksud: “Barang siapa yang melihat kemungkaran hendaklah ia mencegahnya dengan tangannya jika dia tidak berupaya maka hendaklah dia mencegahnya dengan mulutnya dan sekiranya masih tidak berupaya hendaklah ia mencegahnya dengan hatinya. Dan itulah selemah-lemah iman.”

ZAINUL RIJAL ABU BAKAR  ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi melalui emel di zainul.rijal@abubakar.my. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20131219

Tags: jenayah, syariah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments