mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Tiada kerugian bagi yang berhijrah

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui. (al-Nahl: 41)

Ibnu Jarir berkata: "Mereka yang berpisah dengan kaumnya dan meninggalkan tanah watan kerana permusuhan semata-mata kerana Allah SWT nescaya akan ditempatkan Allah di dunia di mana mereka reda dengannya."

Ibnu Kathir berkata: "Balasan bagi golongan Muhajirin semata-mata kerana mengharapkan pahala dan balasan Allah SWT."

Sayyid Quthub berkata: "Kemudian di sini pula Allah SWT bentangkan perihal golongan yang menjadi lawan kepada golongan pengingkar yang tidak beriman. Manakala golongan para Mukminin yang yakin dan percaya kepada Allah SWT dan hari akhirat itulah yang telah mendorong mereka selain sanggup meninggalkan kampung halaman dan harta benda semata-mata kerana Allah SWT dan kerana Sabilullah."

Orang yang telah meninggalkan kampung halaman dan harta benda mereka, melucutkan milik mereka daripada segala sesuatu yang dimiliki dan disayangi mereka, mengorbankan rumah kediaman, hubungan kekeluargaan yang rapat dan hubungan kasih sayang daripada kenangan mereka, dengan harapan mendapat ganti rugi di akhirat kelak. Malah mereka telah menderita kerana kezaliman, penindasan dan telah kehilangan serta kerugian atas meninggalkan kampung halaman mereka."

Kelebihan hijrah

Saya suka menyebut beberapa kelebihan orang yang berhijrah berdasarkan nas hadis antaranya.

Sabda Rasulullah SAW kepada Abi Fatimah al-Dhumari r.a yang bermaksud: "Hendaklah kamu berhijrah kerana ia tiada tandingannnya." (riwayat al-Nasaie 7/465)

Ini menunjukkan betapa kedudukan hijrah diangkat oleh baginda seolah-olah tiada tandingannya. Hal ini jelas membuktikan pengorbanan yang terpaksa dilalui oleh golongan yang melakukan hijrah.

Di samping itu, Rasulullah SAW juga ada bersabda yang bermaksud: Yang menjadi imam dalam kalangan kamu ialah yang paling baik bacaan Quran dan didahulukan yang banyak mengingatnya, jika ingatan atau bacaannnya sama, maka yang jadi imam dalam kalangan mereka yang dahulu berhijrah, jika hijrah pun sama, maka yang layak menjadi imam ialah yang paling tua dalam kalangan mereka. (riwayat Muslim 673)

Berdasarkan kedudukan kelayakan dan keutamaan imam, baginda meletakkan salah satu cirinya golongan yang perlu dikedepankan, antaranya orang yang terdahulu berhijrah.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Maka siapa yang melakukan demikian itu di kalangan mereka iaitu yang Islam berhijrah dan berjihad kemudian mati, menjadi hak ke atas Allah memasukkannya ke dalam syurga atau dibunuh ke atas Allah memasukkannya ke dalam syurga. Jika sekiranya dia lemas, maka menjadi hak ke atas Allah memasukkannya ke dalam syurga atau dipijak oleh binatang maka menjadi hak ke atas Allah memasukkannya ke dalam syurga." (riwayat Ahmad 3/483 dan al-Nasaie 6/21)

Rombongan baginda disambut meriah

PENULIS cuba membayangkan bertapa indahnya hijrah Rasulullah SAW. Dalam buku fiqh al-Hijrah antara lain menyebut sambutan yang meriah ditunjukkan oleh penduduk Madinah menunjukkan cinta mereka kepada Rasulullah SAW tidak kira lelaki mahupun wanita, tua dan muda, dewasa dan kanak-kanak kepada Rasulullah SAW.

Menunggu kehadiran rombongan Muhajirin tanpa menghiraukan menunggu lama di bawah panahan cahaya matahari. Apabila terbenam matahari mereka pulang dengan harapan keesokan hari pula dapat bertemu Rasulullah SAW.

Apabila Rasulullah SAW dan para sahabat Muhajirin tiba, perasaan penduduk Madinah begitu gembira. Rombongan Nabi SAW disambut dengan lagu-lagu dan qasidah yang menggambarkan kegembiraan mereka menerima ketibaan baginda. Nabi Muhammad SAW dengan senyum bertanya kepada wanita Bani al-Najjar yang mengalunkan nasyid dan lagu-lagu menyambut kedatangan Baginda: "Apakah kamu cintakan aku? Demi Tuhan sesungguhnya hatiku cintakan kamu sekalian." Segalanya membuktikan bahawa kasih Rasulullah SAW bukanlah semata-mata mengikutnya, tetapi perasaan cinta itu adalah asas dan motif ke arah mentaati segala suruhan yang lain.

Andai kata tanpa perasaan cinta yang berakar umbi daripada dasar hati maka tidak akan timbul keinginan untuk menjalankan suruhan yang lain. Alangkah sesatnya golongan yang menganggap apa yang dikatakan cinta Rasulullah SAW itu semata-mata mengikut dan berpandu dengan ajaran atau amalan Baginda SAW sahaja dengan tidak disertai satu perkataan pun.

Sebenarnya, mereka sudah terlupa bahawa mengikut dan mentaati yang sebenarnya tidak akan wujud tanpa didorong perasaan atau didesak tekanan, maka tidak akan wujud keinginan untuk mematuhi suruhan tanpa cinta yang menggoncang seluruh perasaan.

Oleh itu Rasulullah SAW memperkenalkan kita satu sukatan atau ukuran keimanan dengan Allah ialah kasih dan cinta-Nya itu mengatasi segala cinta, mengatasi cinta terhadap anak, ibu bapa dan manusia lain.



DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20131220
Tags: hijrah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments