mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Musim masuk jawi

KELAZIMANNYA dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia setiap kali tibanya musim cuti sekolah pasti akan diadakan majlis berkhatan berama-ramai bagi para pelajar sekolah. Malah ada juga ibu bapa yang memilih untuk melakukan khatan anak mereka secara bersendirian dengan pergi ke hospital atau klinik yang menyediakan perkhidmatan tersebut.

Berkhatan dalam bahasa Arab bererti tindakan memotong kulit yang menutupi hujung alat kelamin lelaki.

Dalam bahasa Arab disebut sebagai qulfah dan dalam bahasa Latin disebut praeputium glandis atau dalam bahasa kita disebut sebagai bersunat. Dalam bahasa kampung di Kelantan disebut sebagai ‘jawi’.

Berkhitan merupakan ajaran warisan Nabi Ibrahim a.s, namun agama-agama Samawi selain Islam, Nasrani dan Yahudi sebenarnya juga mengajarkan penganutnya untuk melaksanakan berkhatan tersebut.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dinyatakan: Nabi Ibrahim melaksanakan berkhatan ketika berumur 80 tahun menggunakan kapak. Dalam Islam, berkhatan berlaku untuk lelaki dan perempuan. Namun para ulama berbeza pendapat akan perkara ini.

Masuk Jawi ... Potong Anu ...


Berkhatan

Menurut mazhab Hanafi, Maliki, salah satu pendapat Imam Syafie dan salah satu riwayat Hanbali mengatakan bahawa berkhatan hukumnya sunat bagi lelaki dan keutamaan bagi perempuan. Pendapat ini didasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Berkhatan itu sunat bagi lelaki dan keutamaan bagi wanita. (riwayat Baihaqi)

Manakala pendapat lainnya, mazhab Syafie dan Hanbali serta ulama Malikiyah mengatakan bahawa berkhatan hukumnya wajib bagi lelaki dan perempuan. Pendapat ini dilandaskan kepada ayat yang memerintahkan Nabi Muhammad SAW agar mengikuti ajaran Nabi Ibrahim a.s. Pendapat ketiga, diriwayatkan oleh Ibnu Qudamah dalam kitab Al-Mughni bahawa berkhitan hukumnya wajib bagi lelaki dan sunat bagi perempuan.

Adapun waktu berkhatan bagi mazhab Syafie dan Hanbali adalah ketika baligh, kerana kegunaan berkhatan adalah menyempurnakan taharah (bersuci) dalam beribadat. Namun disunatkan ketika berumur tujuh hari, kerana Rasulullah SAW telah melaksanakan akikah dan berkhatan untuk kedua-dua cucunya, Hasan dan Husain di hari ketujuh (riwayat Baihaqi). Pendapat lain menyatakan, berkhatan dilakukan ketika berumur antara tujuh hingga 10 tahun.

Selaras dengan perkembangan semasa dan ilmu pengetahuan sains dan teknologi, metodologi (kaedah/cara) berkhatan juga mengalami perkembangan moden. Kalau dahulu berkhatan dengan menggunakan bilah bambu yang tajam untuk memotongnya dan pengkaedahan sekarang sudah semakin canggih iaitu dengan menggunakan laser serta dikenalikan prosedur tersebut oleh doktor di hospital. Teknik paling tua (lama) adalah guilotine atau sayatan pancung.

BERKHATAN bermanfaat untuk menjaga kebersihan dan kesihatan organ kemaluan. Setelah berkhatan akan menjadi lebih mudah untuk membersihkan kotoran putih (smegma) yang sering berada di leher kemaluan. Bahkan pada 2006 lalu, suatu penelitian menunjukkan, lelaki yang berkhatan terbukti jarang terkena jangkitan penyakit berbahaya. Dalam persidangan antarabangsa ke-25 tentang AIDS di Bangkok, dilaporkan hasil penelitian, berkhatan boleh mengurangi peningkatan HIV dan siplis pada alat kelamin.

Prof. Brian Morris dari Universiti Sydney, Australia dalam kajiannya menyatakan, berkhatan sangat bermanfaat bagi kesihatan.

"Lelaki yang berkhatan, risiko HIV dan virus lain termasuk beberapa infeksi menular seksual bakteria jauh lebih rendah dibandingkan dengan lelaki yang tidak berkhatan. berkhatan juga dapat menurunkan risiko kanser kemaluan dan kemungkinan kanser prostat," kata Brian.

Brian turut mengungkapkan, manfaat berkhatan tidak hanya untuk lelaki tetapi juga untuk wanita yang pasangannya 'berkhatan' dan risiko terkena kanser dan jangkitan seperti HPV jauh lebih rendah serta mencegah daripada bahaya penyakit.

Suatu kajian lain secara signifikan menyebutkan, bahawa berkhatan dapat memberikan kepuasan. Dalam masa kajian selama 24 bulan, 99.9 peratus mereka yang berkhatan merasa kepuasan, bahkan 72 peratus mengatakan sensitiviti meningkat.

Selain itu, kemudahan mencapai orgasme (kemuncak) juga lebih meningkat pada mereka yang berkhatan mencapai 63 peratus, berbanding mereka yang tidak berkhatan yang hanya mencapai orgasme sekadar 22 peratus.

Sebelum ini, kelompok doktor kanak-kanak Amerika Syarikat yang berpengaruh mengatakan, berkhatan terhadap bayi yang baharu lahir memberi manfaat kesihatan yang jauh lebih baik berbanding risikonya.



IBRAHIM ABDULLAH Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20131220
Tags: jawi, khatan, sunat
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments