mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Dunia perniagaan Bumiputera terus daif

Kunta Kinte sangat seronok dan naik semangat bila jumpa orang Melayu yang Hang Tuah iktiraf – Melayu yang tak hilang di dunia. Baru-baru ini Kunta Kinte jumpa seorang lagi Melayu macam itu di perantauan. Peniaga dalam usia 40-an itu belajar di Grenoble, Perancis dan selama 15 tahun jadi peniaga minyak dengan tiga syarikat minyak antarabangsa. Dia jual beli minyak mentah di pasaran antarabangsa.

Sekarang dia berniaga sendiri dalam bidang pembekalan maritim. Dia bekalkan minyak dan apa saja keperluan perkapalan. Dalam bahasa Inggeris dipanggil bunkering. Dia juga ambil kontrak cuci tangki kapal.


Dia tubuh syarikat maritimnya pada 2006 dan sekarang ada tiga kapal pembekalan yang beroperasi di Malaysia, Singapura dan laut di sekitarnya. Pejabat utama di Pelabuhan Pasir Gudang dengan pejabat lain di Singapura dan Shah Alam.


Tapi macam majoriti peniaga Melayu yang pernah berniaga atau cuba berniaga dengan agensi kerajaan, dia juga hadapi masalah yang sepatutnya tak timbul.

Elak kebergantungan

Kunta Kinte kata sepatutnya tak timbul pasal memang dasar dan janji kerajaan nak bantu Bumiputera berniaga. Tapi itulah hakikat bila kita berniaga atau cuba berniaga dengan agensi kerajaan. Macam-macam halangan birokrasi timbul. Tak cukup dengan itu, ada pegawai yang tak segan silu minta habuan.

Zaman dulu, kalau minta pun kepada tauke bukan Melayu dan bukan Islam. Sama-sama Melayu dan Islam malu alah. Tapi sekarang kepada sesama Melayu dan Islam pun gasak juga.
Jadi untuk elak bergantung pada kerajaan dan hadapi kemungkinan tutup kedai bila kontrak tak dibayar atau lambat dibayar, usahawan dari Kedah itu ikut perintah Allah – tunai solat dan bertaburan di muka bumi cari kejayaan. Dia pun berniaga di luar negara.

Dia bagi tahu Kunta Kinte, walaupun pangkalan operasi dia di Pasir Gudang, dia terpaksa bergantung pada pasaran Singapura. Dia kata, lebih murah beli minyak dan bekalan di Singapura.

Kunta Kinte bagi tahu dia, memanglah harga barang pukal macam minyak, murah di Singapura pasal negara itu pelabuhan tukar barang (entreport) dan bahan-bahan asas macam minyak dihasilkan dengan banyak. Bila dihasilkan dengan banyak, harga lebih murah.

Masih tak berjaya

Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata sekali lagi, cerita nak wujudkan masyarakat perniagaan dan perindustrian Bumiputera masih tak berjaya.

Bila badan bukan kerajaan (NGO), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) kata PETRONAS buat peniaga Bumiputera macam anak tiri, PETRONAS kata ia bagi kontrak RM52.48 bilion kepada syarikat milik majoriti Bumiputera tahun lalu, naik daripada RM29.35 bilion pada 2011.

Betullah kot. Tapi Bumiputera macam mana yang dapat? Bila peniaga Melayu bersungut, banyak pihak tuduh kata mereka manja dan bergantung sangat pada kerajaan.

Kunta Kinte tahu bukan semua Melayu dan Bumiputera macam tu. Yang di bawah-bawah tu mana kenal menteri atau orang besar. Jadi macam mana nak manja?

Antara kerja tak dapat gaji yang Kunta Kinte buat ialah bantu mana-mana NGO Melayu yang perlukan khidmat Kunta Kinte.

Masa Kunta Kinte bantu Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Kunta Kinte dapat tahu 80 peratus peniaga Melayu adalah orang miskin yang pendapatan purata mereka hanya RM2,000 sebulan.

Kalau Gabungan Dewan-Dewan Perniagaan Cina Malaysia (ACCCM) wakili peniaga kaya dan berjaya, DPMM adalah wakil peniaga miskin.

Harap PEB berjaya

Macam mana pun Kunta Kinte tumpang seronok tengok beberapa kerat orang Melayu yang berjaya di merata dunia walaupun majoriti suku sakat mereka di tanah air sendiri daif dan miskin.

Minta ampun kalau Kunta Kinte terus guna frasa Bumiputera warga ekonomi kelas tiga selepas Cina dan India. Itu adalah kenyataan.

Jadi Kunta Kinte harap sangatlah pelan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (PEB) bukan satu lagi pelan yang jalan perlahan-lahan, kesudahannya hilang ditelan zaman.

Akhir kalam, Kunta Kinte nak ambil peluang ucap selamat tahun baru 2014 kepada semua. Dalam bahasa Inggeris kata happy (gembira). Kunta Kinte rasa selamat lebih tepat daripada gembira. Lagipun kita belum tahu tahun baru ini akan bawa kegembiraan.

Wallahualam.

Kunta Kinte Berita Harian Online Rencana 28/12/2013
Tags: bumiputera, daif, perniagaan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments