mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Perhimpunan menangguk di air keruh

Tahun ini kita sudah menyaksikan bukan sedikit demonstrasi anjuran pihak pembangkang atas alasan yang kita semua sedia maklum. Rasa tidak puas hati dan kecewa tidak dapat menakluki Putrajaya dalam Pilihan Raya Ke-13 lalu menyebabkan mereka mengambil tindakan drastik dengan mengajak rakyat berhimpun untuk menentang kerajaan.

Sesetengah daripada mereka yang menyertai perhimpunan dan demonstrasi berasa terpedaya. Adakah setiap kali rakyat tidak berpuas hati tentang sesuatu, setiap kali juga mereka perlu berdemonstrasi? Adakah kita mahu demonstrasi sebagai amalan dalam sistem demokrasi kita?


Ketika kita bersedia menyambut tahun baru 2014, tindakan pihak tertentu hendak menganjurkan perhimpunan pada akhir tahun ini boleh dianggap tidak wajar. Rakyat yang cinta keamanan dan keharmonian perlu mengelak terbabit dalam aktiviti yang dikatakan hendak menggulingkan kerajaan melalui cara yang tidak sah.


Beri kesan buruk

Golongan ini sengaja memilih 31 Disember kerana menyedari bahawa pada waktu itu warga kota biasanya berhimpun di ibu kota untuk meraikan tahun baru. Dengan itu, mereka berharap untuk memaksimumkan kesan aktiviti itu. Walhal sepatutnya tahun baru disambut dengan rasa syukur dan rasa riang gembira.

Mengapakah aktiviti itu perlu ditolak? Mengapakah kita tidak boleh membiarkan mereka ini meneruskan agenda mereka? Perhimpunan sedemikian tidak banyak membawa kesan baik kepada rakyat dan negara. Tunjuk perasaan di jalanan bukan sekadar menimbulkan masalah kepada peniaga dan warga kota, tetapi menimbulkan banyak kesan negatif kepada negara. Buktinya, lihat sahaja kejadian di Thailand dan di Mesir atau di 12 negara Islam yang sedang dan pernah bergolak. Adakah kita mahu melihat keadaan huru-hara berlaku di negara ini? Apabila rakyat menunjuk perasaan, kedua-dua pihak bertelagah akan mengheret rakyat ke jalan raya.

Pergolakan sosiopolitik pasti berlaku dan krisis berlarutan. Adakah keadaan ini yang dimahukan oleh golongan yang bermotif jahat itu? Adakah mereka mahu menangguk di air yang keruh dengan membakar sentimen kemarahan rakyat. Apabila sentimen dan emosi rakyat terbakar, mudahlah golongan ini memenuhi agenda mereka.

Rosakkan masa depan negara

Rakyat yang marah tidak akan lagi rasional dan menggunakan kebijaksanaan. Apabila rakyat sudah marah, pelbagai kemungkinan boleh berlaku, termasuk menyerang pihak berkuasa, merosakkan harta benda awam, malah membunuh pihak yang menjadi lawan mereka. Semua itu tentu tidak baik untuk imej dan masa depan negara ketika kita berusaha keras untuk meletakkan negara ini sebagai negara maju menjelang 2020.

Sebaliknya, mereka akan menyalahkan kerajaan kerana kononnya tidak mengendahkan kebajikan dan kepentingan mereka. Mereka akan menuduh kerajaan tidak prihatin dengan nasib mereka. Mereka akan menuduh kerajaan mengingkari janji dengan menaikkan harga barang keperluan, tarif elektrik dan tol.

Memang, tidak ada kerajaan di dunia yang mahu menaikkan semua itu kerana sedar akan bebannya kepada rakyat. Tidak ada rakyat yang mahu kerajaan menaikkan harga barang, tol dan tarif elektrik, apatah lagi jika semua itu dilakukan secara berturutan. Kenaikan kos barangan dan perkhidmatan pasti membebankan dan mencengkam golongan berpendapatan rendah.

Elak konflik memuncak

Pendapatan yang tidak meningkat sejajar kenaikan kos sara hidup sudah pasti mencekik kehidupan rakyat. Keadaan ini menimbulkan keresahan, dan jika dieksploitasikan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, sudah tentu ia akan bagai api marak yang disiram dengan minyak. Jika tidak dikawal, demonstrasi besar-besaran boleh mengakibatkan kesan dan implikasi mendalam terhadap keamanan dan perpaduan rakyat.

Justeru, tindakan tegas perlu diambil terhadap dalang dan perancang utama agar tidak merebak. Tindakan mereka itu bercanggah dengan Akta Hasutan 1948 dan Akta Kesalahan Keselamatan (SOSMA) 2012. Mereka boleh dianggap menghasut kerana menimbulkan kebencian atau merangsang ketidakpuasan hati terhadap kerajaan, malah, merangsang rakyat melakukan perubahan selain daripada cara mengikut undang-undang.

Orang ramai tidak harus mudah terpedaya dengan helah golongan itu dengan menggunakan akal sihat. Jika perubahan hendak dilakukan, golongan ini perlu melakukannya melalui cara yang betul. Cara yang betul ialah melakukannya melalui pilihan raya kerana menggulingkan kerajaan melalui tindakan keras ala revolusi adalah bercanggah dengan Perlembagaan dan undang-undang negara.

Jeniri Amir  ialah pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak. Berita Harian Online Rencana 29/12/2013
Tags: demonstrasi, konflik, perhimpunan
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Khutbah Jumaat Bahtera Kasih Menuju Bahagia

    Petikan Khutbah Jumaat 22 Oktober 2021M/ 15 Rabiulawal 1443H JAWI Bahtera Kasih Menuju Bahagia Islam melihat institusi kekeluargaan adalah sangat…

  • Khutbah Jumaat: Maulidur Rasul SAW

    Petikan Khutbah Jumaat 22 Okt 2021M / 15 Rabi’ul Awwal 1443H: JAIS Maulidur Rasul SAW Alhamdulillah, kita rafakkan pujian dan kesyukuran ke…

  • Khutbah Jumaat Semarak Cinta Rasul

    Petikan Khutbah Jumaat 15 Oktober 2021M/ 8 Rabiulawal 1443H JAWI Semarak Cinta Rasul Bulan Rabiulawal kembali mengingatkan kita akan kelahiran…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments