mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Wajarkah denda isteri curang?

Kemajuan masyarakat hari ini telah membawa pelbagai bentuk perubahan kepada cara hidup dan tahap kesedaran manusia terhadap sesuatu perkara.

Perubahan yang berlaku itu boleh membawa kepada dua kemungkinanan implikasi terhadap masyarakat iaitu perubahan ke arah kebaikan dan perubahan ke arah keburukan.

Perubahan yang baik amat diraikan, sebaliknya perubahan ke arah yang lebih buruk perlu disekat dan ditangani dengan tegas.

Dewasa ini, kes curang dalam kalangan isteri begitu banyak dilaporkan media. Majoriti yang membaca kes seumpama itu akan terkejut dan mengutuk tindakan tersebut.

Ada juga yang lebih suka bersikap menyalahkan pihak suami dengan pelbagai alasan dan hujah.

Mengikuti kes sebegini sebenarnya akan membawa pembaca untuk menyelami betapa pasrahnya hati dan perasaan seorang suami apabila menyedari kecurangan isterinya.

Apalagi, dalam kebanyakan kes, kecurangan itu dapat disaksikan serta dibuktikan sendiri oleh pihak suami.

Bayangkan, bagaimana luluhnya hati seorang suami apabila menyedari kecurangan isterinya setelah siang dan malam mereka bekerja mencari nafkah untuk keluarga.

Ada yang terpaksa meninggalkan rumah dan keluarga beberapa hari atau minggu kerana tuntutan tugas dan kerja.

Malangnya, keadaan itu dinilai pula oleh isteri-isteri derhaka ini sebagai peluang untuk mencurangi suami mereka.

Ada yang skeptikal dengan kes-kes sebegini dengan mendakwa tidak kurang juga suami yang curang kepada isterinya, lantas mewajarkan tindakan yang sama ke atas pihak suami pula.

Hujah sebegini menunjukkan betapa mereka ini adalah orang yang suka mencari alasan dalam menghalalkan dosa sendiri.

Dalam Islam, sebenarnya tiada istilah kecurangan bagi pihak suami dalam soal kesetiaan kepada isterinya, selagi mana mereka mampu untuk berkahwin lebih daripada satu.

Persoalan mampu itu pula adalah persoalan yang subjektif serta memerlukan pemahaman yang mendalam bagi setiap kes yang berbeza mengikut pengadilan mahkamah.

Sebagai satu cadangan dalam membasmi kes sebegini daripada terus meningkat, disyorkan agar digubal satu peruntukan dalam Undang-Undang Keluarga Islam di semua negeri mahupun di negeri-negeri yang mencatatkan rekod kes curang sebegini yang tinggi, agar segala bentuk nafkah yang telah dibelanjakan suami ke atas isterinya sepanjang tempoh kecurangan tersebut perlu dibayar balik oleh pesalah.

Ini kerana, hakikat kewajipan nafkah seorang suami kepada isterinya adalah atas dasar kesetiaan serta kasih sayang yang dicurahkan isteri kepada suaminya.

Kewajipan nafkah itu sebenarnya telah terbatal jika ketidaksetiaan, apalagi kecurangan di pihak isteri itu berlaku dan dapat dibuktikan mahkamah.

Denda ini bukan soal sedikit atau banyak wang yang terlibat, tetapi ia persoalan asas dalam pembentukan institusi kekeluargaan dan masyarakat Islam di mana-mana negara pun.

Cadangan ini difikirkan berbaloi, walaupun pada asasnya, ia masih lagi dianggap sebagai hukuman yang ringan kepada pesalahnya.

Jika dinilai semula ke atas peruntukan undang-undang sedia ada, beban nafkah yang ditanggung suami ke atas isteri sahaja pun cukup besar.

Menurut satu kajian yang pernah dibuat, dalam institusi kekeluargaan Islam, seorang isteri mempunyai hak sebanyak 63 peratus ke atas suaminya dalam bentuk nafkah, seorang suami pula hanya memiliki 32 peratus kuasa ataupun hak terhadap isteri mereka.

Dapatan ini jelas menunjukkan betapa beban menjaga dan melindungi seorang isteri oleh suaminya itu adalah cukup besar.

Andai kata kesetiaan, ketaatan serta kasih sayang yang dituntut balas oleh suami ke atas isterinya gagal dilaksanakan, maka secara automatik kewajipan nafkah itu akan gugur.

Segala perbelanjaan dalam tempoh kecurangan itu wajar dituntut, kerana ia tidak lagi berstatus satu bentuk tanggungjawab atau kewajipan ke atas suami.

Sebaliknya ia boleh dianggap sebagai wang hasil daripada penipuan yang mana suami boleh dikira dayus jika masih membenarkannya, melainkan atas dasar kemanusiaan suami itu sendiri.



WAN MOHD. AIDIL Bangsar, Kuala Lumpur Utusan Malaysia Online Forum 20131226
Tags: curang, isteri, suami
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments