mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Larangan Qiraat Syazah

PADA minggu lepas, penulis menerima klip video melalui khidmat pesanan ringkas whatsApp berkaitan bacaan al-Quran daripada seorang qari. Beliau membaca surah al-Fatihah dengan secara bertarannum dan berqiraat. Tetapi yang peliknya, wajah khilaf Qiraat yang dibacanya adalah bukan daripada Qiraat mutawatirah yang sepuluh.

Pengirimnya bertanya adakah boleh membaca al-Quran selain Qiraat mutawatirah kerana beliau berhujah belum pernah mendengar mana-mana qari yang masyhur di Tanah Arab yang membaca al-Quran dengan Qiraat Syazah.

Pada hemat penulis, cerita ini mungkin akan habis begitu sahaja dan tidak perlu kepada ulasan. Namun beberapa hari selepas itu, rakan penulis yang lain pula menerima klip yang serupa dan mahukan jawapan yang lengkap berkaitan hal ini.

Justeru, penulis membuat rujukan kepada beberapa kitab Qiraat yang mengulas isu Qiraat Syazah.

Pada asasnya, perlu difahami bahawa ilmu Qiraat adalah antara ilmu yang dijaga dengan teliti hingga ke hari ini. Cara penerimaan ilmu ini hendaklah bertalaqqi, iaitu membacanya di hadapan guru bukan dengan hanya faham dan mentelaah seorang diri sahaja. Jika seseorang mengkaji ilmu Qiraat dan menguasainya tanpa berguru maka ilmunya di sisi ahli ilmu seperti tidak mempunyai ilmu.

Rukun Qiraat

Ulama membahagikan Qiraat kepada dua iaitu mutawatirah dan syazah. Bagi menentukan sesuatu Qiraat itu mutawatirah atau syazah, ulama telah menilai melalui tiga rukun Qiraat. Pertama, Qiraat tersebut mestilah menepati bahasa Arab yang fasih. Kedua, Qiraat tersebut hendaklah mempunyai sanad yang sah. Ketiga, menepati salah satu rasm mushaf Uthmani.

Selepas mengkaji semua Qiraat yang wujud melalui tiga rukun tersebut, Imam Ibnu Mujahid (meninggal pada 324 Hijrah) telah memilih tujuh Qiraat yang masyhur dan diamalkan di kota utama umat Islam ketika itu sebagai Qiraat Mutawatirah. Tujuh Qiraat tersebut ialah Nafei dari Madinah, Ibnu Kathir dari Mekah, Abu Amru dari Basrah, Ibnu Amir dari Damsyik, Asim, Hamzah dan al-Kisai dari Kufah.

Pengkajian terhadap Qiraat dan penilaianya tidak pernah berhenti dengan apa yang dibuat oleh Ibnu Mujahid. Imam Ibnu al-Jazari (meninggal pada 833 Hijrah) terkenal dengan kealimannya dalam ilmu Qiraat daripada sudut riwayat dan dirayah telah menghasilkan banyak karya dalam bidang Qiraat dan sehingga ke hari ini, menjadi rujukan telah melakukan ijtihad yang diterima pakai oleh semua ulama.

Beliau menilai bahawa tiga Qiraat yang lain iaitu Abu Ja’far, Ya’qub dan Khalaf adalah di kalangan Qiraat Mutawatirah kerana menepati tiga rukun Qiraat. Serentak dengan itu, beliau telah menghasilkan satu kitab yang dinamakan al-Durrah al-Mudhiyyah, di mana kandunganya ialah semua khilaf 30 juzuk al-Quran usul tiga Qiraat berserta farsynya.

Tujuh Qiraat yang dipilih oleh Imam Ibnu Mujahid dicampur dengan Tiga Qiraat yang dipilih oleh Imam Ibnu al-Jazari dinamakan Sepuluh Qiraat. Kepakaran Ibnu al-Jazari diakui dan diterima ulama sezamannya hingga ke hari ini. Beliau menyatakan selain sepuluh Qiraat ini adalah Qiraat Syazah.



Dr Khairul Anuar Mohamad Utusan Malaysia Bicara_Agama 20140102
Tags: qiraat
Subscribe

  • Khutbah Jumaat Jiwa Merdeka

    Petikan Khutbah Jumaat 27 Ogos 2021M/ 18 Muharam 1443H JAKIM Jiwa Merdeka Tanggal 31 Ogos 1957 adalah detik paling bersejarah bagi negara ini.…

  • Khutbah Jumaat: Membina Kekayaan Jiwa

    Petikan Khutbah Jumaat 08 September 2017M / 17 Zulhijjah 1438H: JAIS Membina Kekayaan Jiwa Harta benda yang bertimbun dan wang ringgit yang…

  • Ilmu bersih jiwa, jadikan umat hebat

    Hari Jumaat adalah hari ilmu, di mana kita terutamanya kaum Adam akan berhimpun untuk mendengarkan ilmu daripada khatib ketika solat Jumaat. Islam…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments