mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Perbanyak amalan kebajikan pada usia tua

Usia adalah kurniaan Allah SWT dan sewajarnya akan menjadikan manusia semakin bernilai di sisi-Nya. Perubahan tahun menandakan umur yang semakin meningkat dan bagaimana umur dimanfaatkan, itulah yang perlu diberi perhatian setiap kali menyambut tahun baru.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bahkan Kami biarkan mereka dan keturunan mereka menikmati kesenangan hidup sehingga lanjut usia mereka dalam keadaan yang melalaikan.” (Surah al-Anbiya’, ayat 44)


Peringatan ini bertujuan menyedarkan kita bahawa segala perilaku di dunia tidak terlepas daripada pemantauan Allah SWT. Ia juga menunjukkan perjalanan hidup akan terus berlalu tanpa memohon persetujuan atau menunggu sambutan tahun baru yang telah diraikan tempoh hari.


Sikap alpa undang padah

Kita juga diingatkan kealpaan dan kelalaian boleh mengundang padah kepada nasib di akhirat kelak. Allah SWT menjelaskan betapa bernilai usia kita di sisi-Nya apatah lagi kepada kita yang sentiasa berdoa untuk dipanjangkan usia untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan.

Namun, perjanjian ini hanya retorik kepada semangat yang datang setahun sekali tanpa tindakan menyusul. Allah SWT menggambarkan mereka yang telah berjanji untuk melakukan kebaikan, namun apabila berada dalam kesenangan, segala janji tinggal janji.

Lupa janji buat kebaikan

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Ada antara mereka yang telah berjanji untuk melakukan kebaikan dengan menafkahkan sebahagian kurniaan mereka dan menjadi orang yang baik. Namun setelah mendapat kurniaan, maka dia berpaling. Maka Allah SWT menjelmakan kemunafikan di dalam hati mereka sehingga mereka menemui Allah SWT sebagai seorang pendusta.” (Surah at-Taubah, ayat 75-77)

Islam tidak pernah menghalang umatnya memohon dan berdoa untuk dipanjangkan usia asalkan pengisian kepada umur itu hanyalah untuk Allah SWT. Baginda SAW menjelaskan, mereka yang terbaik dalam kalangan umat-Nya adalah yang mengisi kehidupan dengan amalan kebaikan.

Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, manusia bagaimanakah yang baik sifatnya? Sabda baginda: Siapa yang panjang umurnya dan baik amalannya. Pemuda itu bertanya lagi: Manusia bagaimanakah yang buruk sifatnya? Sabda Baginda: Siapa yang panjang umurnya dan buruk amalannya.” (Riwayat Tirmizi)

Persoalan umur adalah perkara utama yang diletakkan mendepani ilmu, harta dan kesihatan yang telah dikurniakan. Justeru, dalam mendepani usia yang semakin meningkat, sikap manusia adalah berdasarkan perubahan umurnya. Berkata Saidina Osman Affan, Nabi SAW bersabda: “Allah telah berfirman: Apabila hamba-Ku telah mencapai usia 40 tahun, Aku akan jauhkan dia daripada tiga macam bencana iaitu gila, kusta dan sopak. Apabila ia mencapai usia 50 tahun, Aku akan menghisabnya dengan hisab yang ringan. Apabila dia mencapai usia 60 tahun, Aku akan mendorongnya supaya suka bertaubat.”

Maka kita boleh bertanya kepada diri masing-masing kerana hakikatnya kita telah dan akan melalui peringkat umur itu. Apa yang diharapkan adalah kebaikan dan keberkatan seperti dikurniakan kepada Nabi Isa. Kebaikan akan sentiasa bersama beliau di mana saja.

Seorang ahli sufi, Ibrahim Adham pernah menjawab persoalan umurnya: “Umurku baru 10 tahun. Mereka yang bertanya hairan kerana dalam usia sudah lanjut, beliau menjawab demikian. Dengan penuh keinsafan beliau berkata, baru 10 tahun aku benar-benar berubah dan beramal dengan penuh kesungguhan.”


Wujud kesedaran dalam jiwa

Kita sebagai manusia biasa hendaklah menyedari kesedaran yang wujud dalam jiwa akan melonjakkan kita ke tahap lebih baik di sisi Allah SWT.

Nabi Nuh hidup lebih 1,070 tahun dan apabila tiba ajalnya, malaikat bertanya: Bagaimanakah kamu melihat dunia ini dalam tempoh yang panjang ini? Jawab Nuh: Aku melihat dunia ini umpama sebuah rumah yang mempunyai dua pintu di mana aku masuk pada pintu pertama dan keluar pada pintu berikutnya.”

Nabi Salih hidup 170 tahun berkata kepada malaikat maut yang menziarahinya: “Sesungguhnya umurku adalah suatu tempoh yang pendek. Jawab malaikat: Apakah pandangan kamu jika umur satu umat antara 60 hingga 70 tahun (merujuk umat Muhammad SAW)? Jawab Nabi Salih: Jika aku ditakdirkan menjadi umat Muhammad, nescaya akan aku bina rumahku di hadapan kubur.” (Syekh Abdul Hamid Kishk)

Sesungguhnya saat paling genting dalam kehidupan adalah ketika hampirnya ajal di situlah kemuncak gangguan syaitan terhadap umat manusia. Inilah janji Allah SWT kepada syaitan ketika mereka dihalau dari syurga atau daripada kumpulan malaikat mengikut sesetengah riwayat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Keluarlah kamu kerana kamu sangat derhaka. Kutukan atas kamu sehingga hari kiamat. Iblis berkata: Berilah tempoh kepadaku sehingga hari mahsyar. Allah berfirman: Kamu diberi penangguhan sehingga hari yang ditentukan.” (Surah Hijr, ayat 34-37)

Zamanuddin Jusoh Penulis ialah Eksekutif Agama di NSTP Berita Harian Online Agama 2014/01/04 - 07:20:15 AM
Tags: kebajikan, sedekah, usia
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments