mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Pahala berhijrah

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, kemudian mereka terbunuh atau mati, sudah tentu Allah akan mengurniakan kepada mereka limpah kurnia yang baik. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi limpah kurnia. (al-Hajj: 58)

Ibnu Jarir berkata: Mereka yang berhijrah meninggalkan tanah watan dan keluarga semata-mata mencari keredaan Allah dan mentaatinya dan berjihad menentang musuhnya. Kemudian terbunuh, nescaya Allah rezekikan mereka pada hari kiamat dengan syurga dan pahala yang banyak.

Sayyid Qutub berkata: “Sama ada mereka menemui Allah sebagai para syuhada yang gugur di medan peperangan atau menemui Allah mati di tempat tidur mereka. Ini ialah kerana mereka telah keluar meninggalkan kampung halaman dan harta benda mereka demi sabilullah dengan kesanggupan menerima apa sahaja akibatnya. Mereka mencari bau mati syahid di dalam hijrah mereka di mana-mana jalan sahaja. Mereka telah mengorbankan segala kesenangan, kemewahan dan mereka berbuat demikian semata-mata ikhlas kerana Allah. Oleh sebab itulah Allah jaminkan mereka dengan pampasan yang melimpah-ruah terhadap segala sesuatu yang telah hilang daripada mereka.”

Penulis mengemukakan di sini pelbagai hukum berkaitan hijrah. Pertama: Ibnu Qudamah berkata: Hukum hijrah kekal hingga hari Kiamat mengikut pendapat ramai dalam kalangan ahli ilmu. (rujuk al-Mubdi’ oleh Ibn Muflih (3/314) dan al-Mughni oleh Ibn Qudamah (8/456)). Begitu juga dengan Sa’di Abu Jaib yang menukilkan hukum yang sama. (rujuk Mausu’ah Al-Ijma’ 3/1223).


Kedua: Hijrah dari negeri kafir

Pahala Berhijrah


SESEORANG muslim yang tinggal di negera yang menghalangnya untuk beribadah dan melaksanakan kewajipan Islam digalakkan untuk berhijrah. - Gambar hiasan

Ijmak ulama bahawa wajib hijrah dari negara kafir apabila orang Islam terpaksa melakukan maksiat. Inilah yang dinukilkan daripada Sa’di Abu Jaib dalam kitabnya, Mausu’ah al-Ijmak. Begitu juga menyatakan siapa yang tidak mampu menetap pada satu-satu tempat kecuali dengan melakukan perbuatan buruk dan keji, maka wajib baginya berhijrah tanpa khilaf.

Nada yang sama di mana Al-Qurtubi telah meriwayatkan daripada Ibnu al-Arabi katanya: “Berhijrah di zaman Rasulullah SAW adalah wajib dan fardu. Ia akan tetap kekal wajib hingga ke hari Kiamat yang putus atau dimansuhkan kerana pembukaan Mekah, semata-mata untuk Nabi SAW sahaja. Kalau seorang itu tinggal menetap di negara kafir maka dianggap derhaka.” (rujuk Tafsir al-Qurtubi)

Manakala Dr. Mustafa al-Bugha berkata: Hijrah dari bumi kafir ke negeri Islam adalah wajib ke atas seorang Muslim yang tidak dapat bertahan dalam menzahirkan agamanya. Hukum ini adalah berkekalan dan tanpa sebarang ikatan (qaid) atau syarat. Adapun hadis “tiada hijrah selepas pembukaan Mekah” itu, maksudnya ialah tiada hijrah dari Mekah selepas pembukaannya, lantaran ia telah menjadi negara Islam.

Takrifan ini sama juga di tempat-tempat lain, andai kata orang Islam tidak dapat mempraktikkan suruhan agamanya, seperti solat, puasa, solat berjemaah, azan dan sebagainya. (rujuk al-Nisaa’: 97-98)

Al-Maraghi berkata: Ayat ini mengisyaratkan bahawa seseorang yang tinggal di suatu negeri yang tidak memungkinkan dapat mengerjakan perintah-perintah agamanya kerana wujud beberapa halangan atau dia tahu bahawa di tempat lain akan lebih dapat melaksanakan kewajipan kepada Allah SWT dan beribadah dengan lebih baik, maka dia wajib berhijrah.

Bagaimanapun, seorang Muslim yang tinggal di negeri kafir, tetapi tidak mengalami rintangan untuk melaksanakan agamanya dan mengerjakan hukumnya, dia tidak wajib berhijrah. Sebagai contoh, di England sekarang yang memberikan kebebasan bagi umat Islam yang tinggal di sana untuk melaksanakan agamanya. Ini kerana kesempatan berdakwah di negara tersebut merupakan salah satu sebab tertonjolnya imej dan kebaikan Islam.

Ketiga: Hijrah dari Mekah sebelum pembukaan

Tiada khilaf dalam kalangan ulama bahawa wajib hijrah bagi penduduk Mekah sebelum pembukaan kota Mekah. Inilah yang dinukilkan daripada Qadhi ‘Iyadh.

Keempat: Meninggalkan bumi hijrah

Ijmak ulama menyifatkan haram seseorang yang berhijrah meninggalkan tempat hijrahnya dan kembali ke tanah watannya. Begitu juga kembalinya orang yang berhijrah di kalangan A’rabi (Badwi) kepada tempat asal, dianggap dosa besar. Sebahagian ulama berpendapat hijrah tersebut akan terputus. Inilah yang dinukilkan daripada Qadhi ‘Iyadh.

Kelima: Menguji perempuan yang berhijrah

Sesungguhnya hukum menguji siapa yang berhijrah dalam kalangan wanita yang beriman telah dinasakhkan dengan ijmak. (rujuk al-Mumtahanah: 10)



Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20140103
Tags: hijrah, pahala
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments