mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Hentikan polemik sakiti umat Islam

POLEMIK penyalahgunaan kalimah suci 'Allah' masih lagi berterusan pada ketika ini sejak keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 14 Oktober 2013 diumumkan. Pelbagai pihak memberi komentar positif dan negatif terhadap penghakiman tersebut dan tidak kurang juga yang mengkritik seolah-olah mereka terlibat secara langsung di dalam perbicaraan kes tersebut sama ada di peringkat Mahkamah Tinggi ataupun Mahkamah Rayuan.

Polemik ini 'diberatkan' lagi sesetengah pihak apabila Jabatan Agama Islam Selangor membuat siasatan ke atas sebuah premis di Petaling Jaya dan dilaporkan menyita 'Bible' berbahasa Melayu baru-baru ini.

Timbul pelbagai persoalan yang dibangkitkan di kalangan awam dan perkara ini perlu dijelaskan mengikut undang-undang tanpa mengambil kira faktor politik kepartian. Seharusnya di dalam isu-isu Islam, politik kepartian diketepikan demi memartabatkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan selaras dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dan sumpah Yang di-Pertuan Agong memelihara Islam pada setiap masa di dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan.


KEPUTUSAN Mahkamah Rayuan Putrajaya Pada 14 Oktober 2013 tentang larangan penggunaan kalimah Allah
menggembirakan seluruh umat Islam di negara ini tetapi polemik demi polemik sengaja ditimbulkan oleh
pihak-pihak tertentu yang sengaja mahu menimbulkan perseteruan. - Gambar hiasan



Sebagai seorang peguam yang beramal di Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah saya berasa terpanggil untuk memberi sedikit penjelasan berkaitan hal ini. Penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam bagi merujuk kepada agama bukan Islam mereka adalah dilarang melalui Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam. Setakat ini semua negeri di Malaysia telah pun meluluskan enakmen ini melainkan Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Sebenarnya enakmen-enakmen ini berakar-umbi dari Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Parlimen bagi Wilayah Persekutuan dan Dewan-Dewan Undangan Negeri bagi negeri-negeri boleh mengadakan undang-undang bagi menghad dan mengawal pengembangan agama bukan Islam di kalangan orang Islam. Dalam hal yang demikian undang-undang telah dibuat termasuklah melarang penggunaan perkataan dan istilah yang berasaskan Islam dari digunakan oleh orang bukan Islam.

Perkara yang menjadi kesalahan dan boleh diambil tindakan undang-undang ialah orang bukan Islam merujuk perkataan dan istilah tersebut seperti Allah, Kaabah, Baitullah, solat, iman dan lain-lain lagi kepada perkara yang menjadi kepercayaan mereka. Bukanlah yang dilarang itu orang Islam mengucapkan kalimah dan istilah tersebut dalam konteks yang betul iaitu mengikut jurisprudens Islam.

Berbalik kepada serbuan yang dilakukan oleh JAIS dan penyitaan Bible tersebut pelbagai pihak mempertikaikan keabsahan dan keperlembagaan serta bidangkuasa JAIS melakukan perkara tersebut. Mungkin tidak ramai yang memahami keunikan undang-undang ini. Undang-undang ini bukanlah merupakan undang-undang syariah tetapi ia undang sivil yang digubal oleh Dewan Undangan Negeri. Kesalahan-kesalahan yang wujud di dalam enakmen ini pula akan didakwa dan dibicarakan di mahkamah sivil bukan mahkamah syariah.

Namun begitu dalam melakukan siasatan dan mengambil tindakan Seksyen 10 enakmen tersebut memperuntukkan hanya 'orang yang diberi kuasa' sahaja yang boleh melakukan siasatan dan tindakan. Orang yang diberi kuasa ini mestilah orang yang diwartakan sebagai orang diberi kuasa oleh Majlis Kerja Negeri. Bagi Negeri Selangor orang yang diwartakan sebagai orang yang diberi kuasa menurut Seksyen 10 tersebut antara lainnya ialah Setiausaha Majlis Agama Islam, Ketua Penguatkuasa Agama JAIS, semua pegawai hal ehwal Islam JAIS dan pegawai polis berpangkat Inspektor ke atas.

Dengan pewartaan tersebut adalah amat jelas momokan bahawa JAIS tidak mempunyai bidangkuasa melakukan siasatan adalah tersasar dari realiti perundangan yang sebenar. Perkara ini dikuatkan lagi dengan laporan polis yang dibuat oleh JAIS melalui Mohd Shahzihan Ahmad iaitu Ketua Penguatkuasa Agama sebagaimana yang termaktub di dalam warta. Malah pihak polis turut mengiringi semasa siasatan dan sitaan dibuat.

Adalah salah jika kita mengatakan enakmen syariah digunakan kepada orang bukan Islam dalam hal ini. Sebenarnya segala undang-undang substantif dan prosedural yang terpakai adalah undang-undang sivil. Oleh itu Akta Keterangan 1956, Kanun Prosedur Jenayah dan enakmen tersebut hendaklah terpakai kepada mereka sama seperti perbicaraan kesalahan-kesalahan lain di mahkamah sivil. Enakmen Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah tidak terpakai di dalam kes sebegini.

Larangan

Dalam hal ini tidak timbul keraguan mengenakan undang-undang Islam kepada orang bukan Islam. Malah persoalan kebebasan beragama juga tidak timbul kerana orang bukan Islam tersebut mestilah membuktikan penggunaan kalimah-kalimah tersebut adalah bahagian yang mendasar (integral part) dalam agama mereka sebagaimana yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya lewat tahun lepas. Pada 14 Oktober 2013 Mahkamah Rayuan telah mengenepikan perintah yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi dan membenarkan rayuan perayu-perayu. Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa menteri tidak bertindak salah di dalam mengenakan syarat-syarat penerbitan tersebut. Larangan yang dibuat oleh menteri berkaitan penggunaan kalimah Allah bagi merujuk kepada agama Kristian juga diputuskan tidak bertentangan dengan Perlembagaan. Kalimah Allah juga bukan merupakan suatu yang mendasar di dalam agama Kristian.

Sebenarnya dalam banyak kes mahkamah adalah konsisten menentukan perkara mendasar di dalam sesebuah agama bagi melihat sama ada hak mengamalkan agama tersebut diceroboh atau sebaliknya.

Sebagai contoh di dalam kes In the State of West Bengal v Ashutosh Lahiri AIR 1995 SC 464, Mahkamah India memutuskan bahawa penyembelihan semasa Aidiladha adalah suatu yang mendasar kepada umat Islam namun menyembelih lembu bukanlah suatu yang mendasar kerana lembu tersebut boleh diganti dengan kambing atau unta. Oleh hal yang demikian melarang orang Islam menyembelih lembu di India sempena Aidiladha tidak menafikan hak beragama orang Islam. Dalam kes Meor Atiqurrahman bin Ishak v Fatimah Sihi (2006) 4AMR 577 Mahkamah Persekutuan Malaysia pula memutuskan memakai serban bukanlah suatu yang mendasar di dalam Islam kerana ia tidak diwajibkan.

Maka perkara yang sama berlaku di dalam kes kalimah Allah ini kerana Mahkamah langsung tidak diberikan bukti bahawa kalimah Allah ini wujud di dalam kitab suci agama Kristian malah terdapat paderi Kristian sendiri yang tidak bersetuju penggunaan kalimah Allah untuk orang Kristian. Ini adalah intipati asas mahkamah mencapai keputusan bahawa kalimah Allah bukanlah perkara yang mendasar di dalam agama Kristian.

Sebagai salah seorang peguam yang mengendalikan kes ini saya sering ditanya kenapa isu penyalahgunaan kalimah Allah ini diselesaikan melalui saluran undang-undang dan tidak melalui dialog dan hujah. Jawapan saya adalah mudah, semua saluran perlu digunakan oleh ahlinya. Para peguam melalui saluran perundangan, ulama melalui dakwah, pihak berkuasa melalui kekuasaannya malah setiap orang dari kita mempunyai tanggungjawab yang sama.

Saluran undang-undang adalah saluran yang terakhir dan pemfailan kes ini di mahkamah bukanlah dimulakan oleh orang Islam tetapi pihak Titular Roman Catholic Archibishop of Kuala Lumpur. Saluran perbincangan memang terbuka luas malah ia telah sedang dan akan dilakukan oleh sesetengah NGO Islam melalui beberapa wadah tertentu. Namun perbincangan sebegini biasanya tidak menarik perhatian media mungkin kerana ketiadaan nilai sensasi dan berita berbanding kes-kes di mahkamah.

Kegusaran umat Islam jika kalimah Allah ini terus digunakan oleh orang bukan Islam bagi merujuk agama mereka adalah berasas. Sudah pasti umat Islam tidak selesa melihat nama-nama suci ini diletakkan di tempat yang tidak sesuai. Kegusaran umat Islam yang merupakan majoriti warganegara di Malaysia mestilah diambil kira demi memelihara keamanan dan ketenteraman awam.



Zainul Rijal Abu Bakar Utusan Malaysia Online Rencana 20140105
Tags: islam, kalimah, polemik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments