mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Mencapai garis Mukmin

Nilai adalah ukur tara mengenai baik buruk sesuatu tindakan dilakukan sama ada melalui percakapan, perlakuan dan amalan. Nilai lazimnya bersumberkan kepada agama, budaya, tradisi, falsafah atau sesuatu kepercayaan.


Fitrah manusia memang suka mencontohi perkara baik, tetapi naluri dan dorongan nafsu boleh menjadikan mereka sebaliknya. Jika terdapat dalam kalangan manusia cenderung melakukan keburukan, ada kemungkinan nilai kepada perbuatan itu adalah hasil didikan diterima dan pengaruh.


Umumnya, setiap tindakan dan pemikiran manusia ditumpukan kepada penghayatan nilai murni akan menjamin kepada kejayaan bukan saja di dunia, tetapi mendapat kerahmatan di akhirat kelak.

Perkara ini ditegaskan Allah SWT dalam al-Quran yang memberi garis panduan kepada kerangka pembentukan domain nilai murni yang menjadi pedoman kepada manusia.

Secara fitrahnya, manusia yang mengaplikasikan nilai murni dalam ruang lingkup hidupnya digambarkan hadis Nabi Muhammad SAW: “Orang Muslim itu ialah orang yang sejahtera dalam kalangan semua orang Islam daripada bencana lidah dan tangannya. Dan orang muhajir ialah orang yang berhijrah (meninggalkan) segala larangan Allah.” (Riwayat al-Bukhari)

Ahmad ‘Abd al-‘Aziz al-Hadad, dalam karyanya ‘Akhlaq al-Nabi SAW fi al-Qur’an wa al-Sunnah’ merumuskan antara hikmah perutusan Baginda SAW di muka bumi ini ialah untuk membersihkan jiwa manusia daripada akhlak keji dan menyuburkan nilai rohaniah yang murni dalam setiap jiwa manusia.

Proses penyucian jiwa

Proses penyucian jiwa manusia ini perlu disaring dengan nilai yang luhur seperti dinyatakan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua orang yang berserah diri kepada-Mu, dan jadikanlah keturunan kami umat yang berserah diri kepada-Mu dan tunjukkanlah kepada kami cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima Taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Baqarah, ayat 129)

Menurut Ibn Kathir dalam Tafsir Ibn Kathir, ayat ini bertujuan untuk menyempurnakan doa Nabi Ibrahim kepada penduduk tanah haram Makkah, maka ia berdoa ke hadrat Allah SWT supaya diutuskan seorang Rasul yang akan memimpin manusia dengan ajaran yang diredai Allah SWT.

Sejak diciptakan, manusia tidak pernah sunyi dengan pedoman dan bimbingan daripada wahyu. Namun, apabila tamadun manusia semakin berkembang dan bertambah kompleks, maka Allah SWT mengutuskan perutusan-Nya dengan syariat yang relevan dan bersesuaian keperluan realiti semasa dan sentiasa memelihara naluri semula jadi manusia yang mengutamakan nilai luhur.

Imam al-Ghazali melalui penulisannya Mukashafah al-Qulub al-Muqarrib ila Hadrah ‘Allam al-Ghuyub menegaskan bahawa mentaati perintah dan menjauhi larangan Allah SWT adalah kemuncak kepada segala kebajikan.

Kecenderungan manusia kepada sifat itu akan mencerminkan nilai murni yang terpuji dalam dirinya iaitu nilai taat yang tinggi kepada Allah SWT. Manusia berada pada tahap itu, sentiasa kasih kepada Allah SWT melebihi segala-galanya dengan melazimkan diri mengabdi dan mengikat jiwa kepada Pencipta-Nya.

Perasaan cinta kepada Allah SWT dizahirkan dengan cara tidak pernah berputus asa mengharapkan keredaan dan mensyukuri segala nikmat yang telah dianugerahkan. Jiwa manusia yang disinari makrifat suci ini secara fitrahnya cenderung mengutamakan tingkah laku nilai terpuji dalam seluruh aspek kehidupan sama ada batiniah atau zahiriah.

Asasnya, golongan manusia yang didominasi nilai murni sentiasa menjauhkan diri daripada perbuatan yang dikategorikan sebagai dosa, sama ada bersifat lahiriah atau batiniah. Ini kerana unsur perlakuan itu boleh menjauhkan mereka daripada mencapai rahmat Allah SWT.

Oleh itu, sikap menafikan kepentingan penghayatan nilai murni dalam tingkah laku boleh mengundang kepada perbuatan menderhaka nikmat yang telah dikurniakan Allah SWT. Contohnya, menggunakan anggota tubuh badan untuk melakukan maksiat atau perkara ditegah oleh Allah SWT.

Pada hal, Allah SWT menciptakan anggota tubuh badan untuk beribadah kepada-Nya. Sebaliknya ia disalahgunakan oleh manusia untuk kepentingan hawa nafsunya semata-mata. Ia jelas berlaku pencerobohan terhadap amanah dikurniakan Allah SWT dan secara tidak langsung adalah kemuncak kepada pengkhianatan.

Garis panduan Mukmin bertakwa

Bagi memenuhi tujuan itu Imam al-Ghazali dalam kitabnya yang diterjemah Bimbingan Mencapai Insan Mukmin telah menggariskan panduan untuk mencapai tingkatan Mukmin yang bertakwa.

Beliau memberikan fokus kepada pemeliharaan anggota zahiriah dan batiniah seperti memelihara mata, telinga, lisan, perut, kemaluan, anggota dan kaki daripada melakukan perkara berunsurkan mazmumah.

Oleh kerana nilai murni terikat dengan lokus kawalan ajaran agama, sudah tentulah ia melahirkan keinsafan dalam ufuk kalbu manusia. Atas kesedaran inilah, jiwa manusia yang dikoordinasikan dengan nilai murni sentiasa berhati-hati dalam setiap tindak tanduk supaya terarah kepada perlakuan yang boleh memberi manfaat.

Keyakinan kepada unsur nilai murni inilah menjadi benteng konkrit menghapuskan fenomena al-fasad seperti rasuah penyelewengan, kerosakan, penindasan, kezaliman dan nilai negatif yang lain.

Justeru, paradigma nilai murni yang didasari prinsip Islam menjadi asas kepada pembentukan citra hati budi individu Muslim dan sekali gus dapat menghindarkan daripada sindrom penyakit yang menyumbang kepada kemuflisan moral.

Shuhairimi Abdullah Berita Harian Online 07/01/2014
Tags: jiwa, mukmin
Subscribe

  • Khutbah Jumaat Jiwa Merdeka

    Petikan Khutbah Jumaat 27 Ogos 2021M/ 18 Muharam 1443H JAKIM Jiwa Merdeka Tanggal 31 Ogos 1957 adalah detik paling bersejarah bagi negara ini.…

  • Khutbah Jumaat: Membina Kekayaan Jiwa

    Petikan Khutbah Jumaat 08 September 2017M / 17 Zulhijjah 1438H: JAIS Membina Kekayaan Jiwa Harta benda yang bertimbun dan wang ringgit yang…

  • Ilmu bersih jiwa, jadikan umat hebat

    Hari Jumaat adalah hari ilmu, di mana kita terutamanya kaum Adam akan berhimpun untuk mendengarkan ilmu daripada khatib ketika solat Jumaat. Islam…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments