mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Impian jadi kenyataan

IMPIAN jadi kenyataan. Demikian yang dirasai oleh enam sekeluarga rakyat Malaysia di United Kingdom (UK) yang berjaya melakar sejarah menamatkan perjalanan darat sejauh 25,500 kilometer (km) dari UK untuk pulang ke tanah air dalam tempoh 155 hari.

Jurutera mekanikal, Jamalullail Ismail, 44, dan isterinya, Sofinee Harun, 38, serta anak mereka, Puteri Sabeera, 17, Muhammad Syameem, 16, Sumrah, 13, dan Ahmad Seif, 10, yang menetap di Seaham, Sunderland, UK sejak 15 tahun lepas, memulakan perjalanan By Road to Malaysia itu pada 13 Julai lalu bersamaan 4 Ramadan.

Setelah mengharungi pelbagai pengalaman indah, peristiwa menarik dan saat-saat cemas serta mencabar menjelajah 26 negara, akhirnya kenderaan karavan Mercedes Sprinter 1998 yang mereka naiki tiba di sempadan Malaysia di Bukit Kayu Hitam pada pukul 12.30 tengah hari, Sabtu, 14 Disember lalu.


Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengucapkan tahniah kepada Jamalullail Ismail
yang menaiki karavan bersama keluarganya untuk pulang ke tanah air dari UK dalam majlis ringkas mengadap baginda di Kangar.

Pengembaraan jalan darat seumpama itu bersama keluarga termasuk anak-anak dan isteri belum pernah dilakukan oleh mana-mana pihak dan ternyata memberi pengalaman berharga kepada keluarga berkenaan malahan turut mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

Jamalullail berkata, di setiap negara dilawati mereka akan bergaul dengan penduduk tempatan, mempelajari budaya dan perkara berkaitan negara asing itu, menimba pengalaman baharu, memerhatikan keindahan alam dan mempromosikan Malaysia.

Bagi Jamalullail, pengembaraan adalah universiti terbaik bagi menimba pengalaman dalam keadaan sebenar depan mata, membuka minda dan pada masa yang sama mendidik dan membentuk jiwa agar hampir kepada Allah.

Lelaki berasal dari Teluk Intan, Perak itu berkata, pengembaraan mengajar sifat lebih bersyukur, sabar, tabah dan banyak bertawakal kepada Allah selain mengeratkan hubungan sesama manusia, bertukar-tukar pandangan dan ukhuwah Islam di negara asing.

"Ini memberi peluang untuk kita belajar banyak perkara dengan lebih real lagi. Kalau kita setakat membaca sahaja mungkin maklumat itu tidak seperti yang digambarkan," katanya kepada Mega di Jitra, baru-baru ini.

Dengan pemanduan sekitar kelajuan 80 km sejam, karavan seberat kira-kira empat tan itu bergerak dalam lingkungan 300 ke 400 km sehari yang mengambil masa antara enam hingga lapan jam sehari untuk meredah benua ke benua beriklim ekstrem sejuk mahu pun panas melampau.

Rata-rata di setiap tempat yang dilalui atau kawasan tempat berhenti, mereka mendapat layanan baik dan mesra daripada masyarakat setempat. Lebih-lebih lagi selepas diberitahu mereka adalah orang Islam dari Malaysia.

Lebih istimewa, tambahnya, kebesaran Allah cukup dirasai apabila menyaksikan keindahan dan keunikan sesuatu tempat sama ada pemandangan, penduduk, budaya, cuaca, situasi dan sebagainya.

"Melihat keindahan alam ciptaan Allah adalah suatu anugerah kepada kami," katanya.

Bagaimanapun, tidak dinafikan mereka turut menghadapi beberapa kesukaran seperti kesulitan kerenah birokrasi beberapa negara, perubahan cuaca yang ekstrem, pengalaman disamun dan kewangan yang terhad.

Beliau mengambil contoh, di Turmenistan ada tempat dipanggil neraka dunia. Manakala di Kyrgyzstan ada tempat minyak diesel menjadi gel akibat suhu terlalu rendah manakala musim panas di Itali mencecah 50 darjah Celsius.

"Semasa di Turki, kami membuat urusan visa untuk masuk ke China, tetapi dasar negara itu ialah visa hendaklah dibuat di negara datang iaitu di UK atau negara tanah air pemohon iaitu di Malaysia.

"Maka ia menimbulkan kesulitan kerana mustahil kami kena balik semula ke UK. Tetapi alhamdulillah Kedutaan Malaysia di sana dapat selesaikan melalui saluran diplomatik," jelasnya.

Walaupun di Iran mereka dirompak sebanyak dua kali dan hampir diculik, namun peristiwa itu dilihat memberi pengajaran berguna agar lebih berhati-hati pada masa depan.

"Kami bersyukur kepada Allah kerana memelihara keselamatan dan sebarang kesulitan yang timbul menyebabkan kami lebih bertawakal dan berserah kepada kekuasaan Allah.

"Alhamdulillah semua perkara dipermudahkan Allah. Kami belajar bahawa hanya kepada Allah tempat bergantung. Malahan kami tidak mengalami masalah kesihatan sepanjang perjalanan," katanya sambil menambah apabila masalah timbul mereka akan segera bersolat hajat, berzikir dan berdoa kepada Allah.

Suatu ketika di Kyrgyzstan, katanya, spring kiri serta kanan kenderaannya rosak. Apabila dihantar ke bengkel didapati kos membaiki terlalu mahal kerana alat ganti perlu dipesan dari Jerman dan memerlukan lebih 10 hari untuk barang sampai dan kerja pemasangan disiapkan.

"Disebabkan masalah itu kami pergi ke masjid untuk bersolat hajat dan rupa-rupanya dipertemukan dengan mekanik Islam tempatan yang kebetulan berada kawasan masjid dan dia bersedia untuk membantu.

"Mekanik itu membaiki hanya dalam tempoh empat jam dengan kos yang 10 kali ganda lebih murah," jelasnya yang menyifatkan kejayaan pengembaraan itu adalah berkat doa daripada ramai orang.

Sofinee yang berasal dari Beseri, Perlis berkata, layanan mesra penduduk setempat sebaik sahaja mengetahui mereka adalah orang Islam dari Malaysia amat menyentuh perasaan.

Katanya, pengembara Islam mempunyai banyak kelebihan kerana ikatan persaudaraan di mana-mana negara cukup erat. Ini banyak membantu memudahkan urusan.

"Kami rasa berbangga kerana di mana-mana tempat ada orang Islam dan masjid. Apabila sebut kita orang Islam dari Malaysia maka mereka sangat hormat... mereka akan peluk, cium dan jemput datang rumah menjamu makanan," katanya.

Menurutnya, bagaimanapun persiapan dan persediaan sebelum memulakan perjalanan amat penting seperti dari segi teknikal, laluan perjalanan, sistem navigasi, mempelajari birokrasi, permohonan visa negara-negara dilawati, tukaran wang asing, promosi dan sebagainya.

"Selepas semua rancangan dan persediaan dilakukan, maka kami bertawakal dan di situ lah kami dapat belajar meningkatkan keyakinan bahawa Allah berkuasa, manakala makhluk tiada kuasa," katanya.

Kisah pengembaraan mereka boleh diikuti dengan lebih lanjut di <a style="text-decoration:none' data-cke-saved-href=" http:=" href=" www.byroadtomalaysia.com"="" lj-cmd="LJLink2">http://www.byroadtomalaysia.com atau di laman Facebook, byroadtomalaysia.

<a style="text-decoration:none' data-cke-saved-href=" http:=" href=" www.byroadtomalaysia.com"="" lj-cmd="LJLink2">

SAHBULAH DARWI Gambar KAMAL BASIR Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20140107
Tags: impian, pengembaraan, tawakal
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments