mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Al-Quran jadi pendorong

SIAPA sangka ketaatan seorang paderi yang sentiasa berulang alik ke gereja untuk membaca dan mengkaji kitab panduan agama Kristian, Injil selama 13 tahun, kini merupakan Imam Besar Masjid di Pusat Kebudayaan Islam Valensia (CCIV), Sepanyol.

Selain merupakan saudara baharu yang sering diutamakan untuk menjadi imam solat, Vicente Mota Alfaro kini juga merupakan salah seorang ahli dewan pentadbiran CCIV sejak 2005.

Sehinggakan keputusan yang diambil oleh Alfaro untuk memeluk Islam mendapat pujian ramai termasuk pemimpin Muslim Valensia yang melantik bekas paderi itu sebagai imam besar masjid.

Vicente Mota Alfaro

Bukan itu sahaja, pengislaman Alfaro ternyata memberi kesan positif apabila laporan daripada beberapa media tempatan menyatakan terdapat peningkatan jumlah mualaf di negara itu, tanpa menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

Dianggarkan terdapat lebih 1.5 juta umat Islam di Sepanyol daripada jumlah keseluruhan penduduk iaitu sebanyak 40 juta orang. Ia sekali gus menjadikan, Islam agama kedua terbesar setelah Kristian sejak Julai 1967.

Ketika ditanya bagaimana Alfaro menemui hidayah Islam, dia akan memberikan jawapan yang ringkas tetapi padat.

Katanya, memahami kandungan ayat al-Quran telah mengetuk hatinya untuk mengambil keputusan meninggalkan agama lamanya dan memeluk Islam.

"Allah telah menjadikan Islam sebagai agama dan hidupku. Pada mulanya, saya adalah seorang penganut agama Kristian yang taat.

"Menjadi rutin harian saya untuk pergi ke gereja setiap minggu dan membaca kitab Injil setiap hari. Pada saat itu saya tidak tahu sama sekali mengenai Islam," katanya.

Namun, perbincangan bersama seorang jirannya yang beragama Islam pada suatu hari telah mengetuk pintu hati Alfaro untuk cuba mengenali dan mendalami agama Islam.

"Saya mempunyai seorang jiran Muslim dari Algeria. Dialah yang memperkenalkan Islam kepada saya.

"Ketika kami berbincang, dia mengatakan bahawa seluruh umat manusia adalah keturunan Nabi Adam dan Hawa dan semuanya merupakan anak daripada Nabi Ibrahim. Saya terkejut mengetahui bahawa dalam agama Islam juga mengenal Adam, Hawa dan Ibrahim," akui Alfaro yang membuat keputusan memeluk Islam pada usia 20 tahun dan bergelar pelajar pada ketika itu.

Perbincangan tersebut rupanya membuat Alfaro semakin ingin mengetahui tentang Islam.

"Sejurus itu, saya merasa tertarik untuk mengetahui mengenai agama Islam dengan lebih mendalam. Saya meminjam salinan al-Quran dari perpustakaan dan membawa pulang untuk dibaca dan difahami dengan teliti.

"Semuanya bermula apabila saya terbaca kisah mengenai Jesus (Nabi Isa) dan kejadian dia disalib. Sebelum ini apa yang saya ketahui adalah Jesus adalah anak tuhan yang diutus ke dunia untuk menebus dosa umat manusia.

"Sejujurnya hal ini sangat mengelirukan saya. Apa yang saya temui di dalam al-Quran hakikatnya adalah, Jesus atau Nabi Isa tidak pernah disiksa mahupun disalib, sebaliknya diangkat oleh Allah SWT ke langit," ujarnya.

Menurut Islam, Alfaro berkata, Nabi Isa tidak pernah disalib, tetapi diangkat ke syurga dan akan diturunkan kembali pada akhir zaman untuk memerangi Dajjal dan akan membawa kemenangan dan kejayaan kepada umat Islam.

Kejadian tersebut merubah keyakinan Alfaro untuk membuat keputusan memeluk Islam. Alfaro yang kini dikenali sebagai Mansour.

"Kini saya menyedari bahawa al-Quran adalah kitab tuhan yang sebenar-benarnya dan saya tidak pernah menyesal membuat keputusan memeluk Islam," ujarnya.


MOHD. SHAH CHE AHMAD Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20140108
Tags: al-quran, paderi
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments