mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Islam mekar di Yunnan

WALAUPUN terdapat kira-kira 40 juta penduduk Islam di negeri China, namun mereka masih dianggap golongan minoriti di Tanah Besar China itu. Realitinya, umat Islam telah mendiami satu pertiga daripada keluasan tanah di China seperti di Daerah Xin Jiang iaitu seluas 1.5 juta kilometer persegi dan Qinghai 720,000 kilometer persegi.



Felo Penyelidikan di Universiti Malaya, Yusuf Liu Baojun berkata, sejak empat sahabat datang ke China kira-kira 1,400 tahun dahulu, Islam di China mempunyai sejarah yang panjang, apa lagi dengan jumlah binaan kira-kira 40,000 buah masjid sekarang.

Menurut Yusuf, tamadun Islam Cina meninggalkan beberapa kesan sejarah yang boleh dikaji dan terbukti mereka pernah berjaya dalam bidang ekonomi, kebudayaan dan politik, meskipun hanya golongan minoriti.

Paling menarik, tidak ada konflik, peperangan dan pertelingkahan dalam kalangan masyarakat Islam Cina.




KILANG membuat bahan binaan yang terdapat di bandar Shadian, Yunnan, China.

Malah mereka sentiasa bersatu-padu dan seiring dengan perkembangan tamadun China.

"Ajaran Islam menjadikan mereka berkebolehan sejajar dengan pembangunan pesat industri di China. Islam dijadikan pegangan dan merupakan panduan penyatuan umat Islam Cina yang dapat membentuk keseimbangan pembangunan sosial, ekonomi dan pendidikan," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Yusuf berkata, menurut perspektif antropologi Melayu, terdapat segelintir nenek moyang masyarakat Melayu berasal dari Yunnan.

"Mereka berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu seterusnya berkahwin dengan masyarakat tempatan sebelum berkembang ke kepulauan Melayu Nusantara seperti di sepanjang Sungai Mekong.

"Keturunan Islam Yunnan boleh ditemui di utara Thailand seperti Chiangmai dan kawasan gunung-ganang di sempadan antara Myanmar dan Thailand, juga kawasan utara Semenanjung Tanah Melayu, terutama di negeri Kelantan dan Terengganu.

"Ini menunjukkan komuniti Yunnan amat popular dan tidak asing lagi dalam kalangan komuniti Melayu," ujar Yusuf.

Tambah Yusuf, selain keturunan Yunnan Muslim ini ada di Kelantan dan Terengganu, mereka turut memainkan peranan penting di bahagian Selatan Tanah Melayu, iaitu apabila Laksamana Cheng Ho (Islam Yunnan) datang ke Melaka melalui jalan laut dan membentuk hubungan diplomatik dengan dunia Melayu dan menyebarkan Islam sejak 600 tahun lalu.

Terang Yusuf, Yunnan mempunyai sejarah pemusatan Islam di Asia apabila keturunan Moghul menguasai barat daya China dan masyarakat Yunnan Muslim bermula pada abad ke-13.

Bandar industri

Najianying merupakan pusat bandar industri yang mempunyai penduduk Muslim yang mempunyai kemahiran tinggi dalam industri berat yang berasaskan pembuatan produk-produk besi galian seperti paip, kemudahan binaan dan bateri.

Bandar Najianying terletak berhampiran Tasik Qilu dan mempunyai sebanyak kira-kira 400 buah kilang pengeluaran paip, tiub dan bahan binaan. Kepesatan pembangunan ini, sekali gus menerima pengiktirafan sebagai komuniti Muslim komprehensif yang menjadi pembekal barangan industri ke seluruh negara itu.

Biarpun saiz bandarnya yang kecil, tetapi penduduknya berjaya menubuhkan syarikat Fangyuan Group yang diusahakan sepenuhnya oleh orang Islam dan merupakan pengeluar paip terbesar di bandar Najianying.

Dengan kilang seluas 10,000 meter persegi dan seramai 560 kakitangan, syarikat gergasi itu berjaya menghasilkan pelbagai jenis paip sebanyak 60,000 tan setiap tahun.

"Dilaporkan, pada 2011, keuntungan produksi dicatatkan sebanyak RM300 juta, dan pendapatan perkapita tahunan ialah USD$18,000, sekali gus memberi sumbangan besar kepada pendapatan di China," kata Yusuf.

KEJAYAAN masyarakat Islam Yunnan bukan sahaja dalam bidang ekonomi malah tidak kurang hebatnya sumbangan mereka dalam bidang pendidikan.

Terang Yusuf, pengajian Islam bersistematik mengikut peringkat umur telah diperkenalkan iaitu sebanyak 23 kelas yang membabitkan 1,300 pelajar yang merangkumi tahap satu hingga enam peringkat sekolah rendah.

Manakala 36 kelas menengah pula membabitkan 1,100 pelajar lelaki berusia dalam bidang ilmu hadis.

Malah kandungan pengajian membabitkan bahasa Arab, pengajaran al-Quran dan hadis, di samping ajaran Cina tradisional.

Sebelum itu, menurut Yusuf, pada 1994, Maktab Islam Najiaying mempunyai 500 pelajar dari seluruh China. Maktab itu dibina atas tajaan masyarakat Islam tempatan.

Pada 1994 hingga 2010, maktab berkenaan berjaya melahirkan 441 graduan berkelayakan iaitu 242 lelaki dan 199 perempuan.

TambahYusuf, terdapat cadangan pembinaan kampus baharu yang akan dibiaya oleh masyarakat Islam bernilai RM25 juta.

Kekukuhan ekonomi umat Islam di China turut terbukti dengan kemampuan mereka melaksanakan ibadah haji. Dari tahun 1986 hingga 2010 sejumlah 838 rakyat Islam China telah menunaikan haji iatu 363 lelaki dan 475 perempuan.

Terkini, seramai 20,000 pekerja bukan Islam bekerja di 400 kilang milik usahawan Islam.

Mereka kelihatan gembira bekerja dengan persekitaran dan faedah yang disediakan.

Sementara itu, bandar Islam Shadian terletak berhampiran Kota Kaiyuan pula mempunyai sejarah sejak 600 tahun lalu. Kira-kira 92 peratus daripada 14,000 penduduknya beragama Islam. Masjid kedua Kang Xi dibina ketika pemerintahan Dinasti Qing pada 1684.

Menurut Yusuf, Yunnan Zhenxing Industrial Group Co. adalah peneraju syarikat industri terbesar di Shadian.

"Syarikat ini mula ditubuhkan pada 1996 dengan memiliki 2,600 kakitangan dengan mengeluarkan bateri motosikal terbesar di Yunnan. Ia memiliki aset bernilai RM1 billion dan pada 2011, ia memperoleh hasil pendapatan keluaran bernilai RM2 billion," jelas Yusuf.

Syarikat berkenaan juga memiliki jenama antarabangsa Metal Brand dikenali sebagai Yunshan dan berdaftar di London Metal Exchange Stock untuk pengeluaran zinknya yang berjenama Yunshan pada 2007.

Masjid terbesar dikenali sebagi Masjid Shajin seluas 10,580 meter persegi dengan kos RM70 juta telah dibina di China yang boleh memuatkan 13,000 jemaah dalam satu-satu masa telah dibina pada 2009.

Melihat kepada kejayaan dua bandar ini, maka dapat disimpulkan bahawa pembangunan bandar Islam di Najiaying dan Shadian dapat memberi petunjuk dan bukti tentang pelaksanaan ajaran Islam dalam pembangunan diri serta masyarakat yang diterjemahkan dalam teori dan praktis.

Kedua-duanya bergerak seiringan dalam pembanguan industri dan pendidikan, di samping mereka sendiri menunjukkan sikap positif walaupun dianggap sebagai golongan minoriti.

Seharusnya, semangat dan kejayaan mereka ini menjadi contoh umat Islam terbaik di dunia, apa lagi tanpa mengharapkan bantuan luar dan pada masa sama, disegani dan dihormati oleh bukan Islam.



AZMI ABDUL MALIK Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20140108
Tags: cina, islam, yunnan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments