mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Perlu kreatif berdakwah

GERAKAN penyebaran agama lain kini bagaikana perlumbaan. Ini termasuk ajaran yang bertentangan dengan Islam yang dilihat semakin giat disebarkan di seluruh pelosok negara.

Walaupun telah termaktub dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan bahawa hak untuk mengembangkan agama lain selain Islam boleh disekat atau dikawal oleh undang-undang negeri atau undang-undang persekutuan menerusi Perkara 11(4), namun usaha mengembangkan ajaran selain Islam terus aktif terutamanya dan kawasan pedalaman.

Keistimewaan Islam sebagai Agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3 itu seperti tidak memberi kelebihan, sebaliknya realiti yang berlaku agama Islam dilihat semakin ketinggalan dalam ‘persaingan’ tersebut.

Ini berikutan pertambahan jumlah penganut agama lain menandingi agama Islam terutamanya di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.





PENYAMPAIAN dakwah secara bersahaja dan tidak langsung merupakan antara strategi dakwah yang berkesan.

Perkara itu bukan sahaja dikhuatiri menjejaskan populasi umat Islam di negara ini, malah apa yang lebih membimbangkan boleh mengelirukan akidah generasi akan datang untuk jangka masa panjang.

Justeru, pendakwah bebas, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan umat Islam tidak boleh merasa selesa dengan keistimewaan tersebut.

Sebaliknya mereka perlu lebih kreatif dalam menyampaikan usaha dakwah dengan teratur.

Katanya, ini penting bagi memastikan agama Islam terus berkembang, sekali gus memartabatkan kehidupan persekitaran Islam di negara ini.

Strategi

"Permasalahan yang berlaku bukan kerana kekurangan daie (pendakwah) atau tenaga penggerak dakwah Islam di negara ini. Sebaliknya jika kita lihat bilangan daie kita sekarang sudah mencukupi dan semakin bertambah.

"Tetapi masalahnya adalah bagaimana kita menyusun strategi dan mengatur tugasan dalam menyebarkan dakwah. Apa yang diperhatikan berlaku lambakan daie, iaitu tertumpu di sesuatu kawasan sahaja, ia berikutan kurang penelitian daripada segi pembahagian kawasan.

"Lebih-lebih lagi di kawasan pedalaman yang kebiasaan akan terabai kerana memerlukan pengorbanan daie dalam menjalani kehidupan dan situasi mencabar dakwah yang mencabar," katanya ketika ditemui dalam program Kebajikan dan Kemasyarakatan di Rumah Panjang Julin, Pakan, Sibu, Sarawak baru-baru ini.

Zulkifli berkata, kejayaan penyebaran agama lain di sesuatu kawasan dalam masa singkat menunjukkan kreativiti dan perancangan mereka yang lebih teliti.

"Mungkin mereka ini lebih sanggup berkorban meluangkan masa, tenaga dan wang ringgit dengan teliti. Contohnya bantuan yang diberikan juga tepat kepada golongan sasar membuatkan lebih mudah masyarakat mengikuti rancangan yang dibawa," ujarnya.

Usaha dakwah

Di samping itu juga tambahnya, usaha dakwah tidak boleh hanya diserahkan kepada sesuatu badan berwajib sahaja, tetapi perlu dipikul oleh setiap individu.

"Kerjasama yang erat semua pihak termasuk antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan Jabatan Agama Islam Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri perlu diperkukuhkan lagi. Malah individu juga perlu bekerjasama lakukan dakwah dengan menganggap ia adalah satu tanggungjawab sebagai umat Islam.

"Manakala pendakwah juga perlu diberikan latihan berkala, didedahkan dengan strategi dan maklumat terkini mengenai dakwah. Ini semua memberikan natijah yang baik dalam penyebaran Islam pada masa akan datang," jelasnya.

Bagaimanapun katanya, tindakan susulan merupakan usaha yang terpenting selepas proses pengIslaman agar saudara baru itu agar tidak tergantung tak bertali.

"Tidak terhenti apabila seseorang itu mengucapkan syahadah, tindakan susulan selepas pengIslaman sangat penting dan harus dipastikan agar tidak diabaikan.

"Daie bertanggungjawab memberikan panduan secara berkala dan memberikan pengisian Islam yang secukupnya kepada saudara baru tersebut agar dia dapat mengamalkan kehidupan baru selari dengan ajaran Islam.

"Kurangnya pemantauan ini membuatkan individu yang baru memeluk Islam itu hanya Islam pada nama dan tidak merasakan perbezaan dalam beragama, secara tidak langsung boleh menyebabkan mereka terus untuk mengikuti ajaran kepercayaan lama," katanya.

"MENJADI tanggungjawab sebagai umat Islam untuk menyampaikan dakwah mengikut kemampuan masing-masing. Pelbagai kaedah dan medium perlu dimanfaatkan bagi memastikan dakwah mencapai golongan sasarannya. "Namun, apa yang perlu dititikberatkan apabila seseorang itu mengucapkan syahadah adalah susulan selepas proses pengIslaman. Ini menjadi cabaran bagi pendakwah bagi mendidik individu yang berjaya diIslamkan agar patuh agama," katanya.



MOHD. SHAH CHE AHMAD Gambar Abdul Nazir Mohamed Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20140108
Tags: dakwah, kreatif, strategi
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments