mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kebangkitan al-Qaeda kerana dasar AS

BUKAN satu perkara yang pelik jika ada pihak yang mempersoalkan kaedah tadbir urus Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengendalikan sesuatu konflik kerana lazimnya keputusan yang dibuat beliau tidak membuahkan hasil seperti yang dikehendaki.

Bermula dengan konflik di Afghanistan dan Iraq yang dicetuskan oleh bekas Presiden George W. Bush dan disusuli pula oleh fenomena Arab Spring di beberapa negara Arab dan paling terkini peperangan di Syria, nampak gayanya setiap dasar luar yang diamalkan White House disifatkan sebagai tersilap langkah.

Laporan risikan (NIE) terbaru yang mengumpulkan maklumat dari 16 agensi perisikan AS antaranya Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) telah mendedahkan bahawa kumpulan Taliban di Afghanistan dengan mudah akan menawan beberapa wilayah negara tersebut sebaik sahaja tentera AS dan British berundur.

Perlu ditekankan dasar pengunduran tentera AS dari Afghanistan ini dibuat oleh pentadbiran Obama walaupun tidak dipersetujui oleh pemimpin tertinggi Pentagon.

Kepincangan tadbir urus konflik White House terserlah lagi apabila bekas Setiausaha Pertahanan AS, Robert Gates yang pernah berkhidmat selama dua tahun setengah dalam pentadbiran Obama mendedahkan bagaimana tiada keyakinan pemimpin tertinggi AS terutama sekali strategi yang melibatkan perang di Afghanistan dan Iraq.

Gates dalam buku memoir yang bertajuk Duty: Memoirs of a Secretary at War turut mempamerkan bagaimana Obama sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera AS juga tidak mempunyai keyakinan terhadap komander angkatan tentera yang terlibat dalam operasi ketenteraan di Afghanistan dan Iraq.

Kekalutan Obama mengendalikan situasi konflik mula terbukti kesahihan dan kesannya apabila dua bandar utama di Iraq di wilayah Anbar iaitu Fallujah dan Ramadi jatuh ke tangan kumpulan pengganas al-Qaeda beberapa hari lepas. Peristiwa ini dikatakan penting kerana kedua-dua bandar tersebut merupakan simbol kekuatan tentera AS ketika berjaya menggulingkan rejim Presiden Saddam Hussein pada 2003.

Kumpulan al-Qaeda dikatakan sudah hampir lumpuh bermula dengan pencerobohan tentera AS di Afghanistan pada 2001 dan selepas itu ramai pemimpin tertinggi kumpulan itu berjaya dihapuskan. Walaupun konflik di Iraq sedikit sebanyak menghidupkan kembali aktiviti kumpulan ini, tetapi ia berjaya dikekang dengan kehadiran tentera AS.

Tetapi dasar luar AS yang tidak mahu campur tangan dalam konflik di Syria dan pengunduran berkala tentera bersekutu dari Iraq yang bermula pada 2011 bagaikan telah memberi nafas baharu kepada kumpulan al-Qaeda.

Konflik di Syria yang telah berlarutan selama tiga tahun bagaikan tiada penyudah kerana kedua-dua pihak yang bertentangan iaitu tentera kerajaan Bashar al Assad dan pemberontak adalah sama kuat. Ada yang mengandaikan tanpa kuasa besar barat yang terlibat secara langsung, konflik di Syria adalah perbalahan proksi iaitu antara Arab Saudi dan Iran.

Iran adalah penyokong kuat kerajaan Bashar sementara Arab Saudi pula menyalurkan bantuan kepada pemberontak. Kemelut timbul apabila beberapa kumpulan pemberontak tersebut merupakan sekutu kuat al-Qaeda yang secara tidak langsung telah memberi kekuatan dan nafas baharu kepada kumpulan pengganas tersebut.

Kumpulan pemberontak ISIS (Islamic State of Iraq and Syria) ialah antara kumpulan sekutu al-Qaeda dan kumpulan ini jugalah yang telah menawan Fallujah dan Ramadi di Iraq. ISIS sememangnya sudah wujud ketika mula AS menceroboh Iraq tetapi kekuatan ISIS pada ketika itu mudah dipatahkan oleh tentera AS.

Tetapi sejak ISIS terlibat dalam konflik Syria dan tentera AS mula mengurangkan tentera di Iraq, kumpulan ini telah menjadi kumpulan pemberontak utama bukan sahaja di Syria tetapi juga di Iraq.

Lebih membimbangkan lagi konflik di Syria, Iraq dan juga Lebanon telah merebak menjadi perbalahan sesama Islam tetapi pegangan mazhab yang berlainan. Bukan menjadi rahsia lagi Arab Saudi membantu pemberontak Syria kerana mahu menghapuskan rejim Bashar yang berpegang pada aliran Syiah. Begitu juga bantuan AS$3 bilion kepada kerajaan Lebanon oleh Arab Saudi adalah usaha untuk menghapuskan kumpulan Hizbullah yang mendapat sokongan Iran.

Sementara pemberontak Syria dari aliran Sunnah pula terlibat dalam pemberontakan di Iraq kerana ingin menghapuskan pemerintahan kerajaan Iraq di bawah pimpinan Perdana Menteri Nuri al Maliki yang berpegang kepada amalan mazhab Syiah.

Jika dikaitkan semua kemelut yang sedang melanda negara Islam Asia Barat terdapat bagaikan satu perancangan teratur untuk mempergunakan perbezaan mazhab dan juga suku kaum sebagai senjata utama untuk mencapai agenda masing-masing. Memang benar perbezaan ini sudah wujud buat sekian lama di rantau tersebut, tetapi dengan campur tangan kuasa besar asing dengan agenda yang tersendiri dan ditambah pula dengan pemerintahan autokrat, persefahaman amat sukar untuk dicari.

Kebangkitan al-Qaeda di Syria, Iraq dan juga Lebanon adalah satu manifestasi jelas bagaimana perbezaan dua mazhab utama Syiah dan Sunnah bakal menghasilkan konflik yang tiada kesudahannya. Jika ada pemimpin negara barat pada satu ketika dahulu mempergunakan perbezaan pegangan Katolik dan Protestan untuk memenuhi agenda nasionalis masing-masing, tiada bezanya apa yang sedang melanda negara Islam Asia Barat.



Azmi Hassan ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.Utusan Malaysia Online Rencana 20140109
Tags: al-qaeda
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments