mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Transformasi penyampaian khutbah Jumaat

ISU penyampaian khutbah Jumaat sering menjadi keluhan dalam kalangan masyarakat. Rungutan sering diterima berkenaan kelesuan penyampaiannya oleh khatib atau pegawai masjid yang bertugas. Isi kandungan khutbah kadang-kadang agak menarik tetapi gaya penyampaian yang sangat membosankan dan tidak berkesan.


Malah secara berseloroh rakan-rakan penulis mencadangkan kepada sesiapa yang ingin melelapkan mata maka silalah ke masjid pada hari Jumaat semasa khatib sedang berkhutbah. Walaupun ia sindiran tajam, namun perkara ini perlu dilihat dari sudut yang positif.

Mengapakah keadaan ini berlaku? Apakah tugas khatib pada hari itu berkhutbah atau membaca khutbah? Apa beza antara berkhutbah dengan membaca khutbah?

Khutbah sepatutnya dilakukan dengan cara penyampaian yang lebih berkesan atau sekurang-kurangnya tidak dilihat sebagai hanya membaca teks yang disediakan. Jika sekadar membaca teks, khutbah akan menjadi lesu, tidak menarik dan tidak mencapai objektif sebenar khutbah.

Khutbah memainkan peranan penting dalam kehidupan individu dan masyarakat memandangkan ia bukan sekadar untuk memenuhi rukun wajib solat Jumaat. Khutbah sebaliknya adalah medium yang sangat penting dalam menyampaikan maklumat dan merangsang para jemaah yang terdiri daripada masyarakat Islam untuk mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.

Sejarah merekodkan bahawa khutbah Jumaat pertama disampaikan oleh Rasulullah SAW di Madinah. Keberkesanan baginda dalam menyampaikan khutbah tidak dapat disangkal lagi. Hasil khutbah baginda telah melahirkan para sahabat yang amat berkualiti dan sangat hebat.

Justeru, bolehkah para khatib di negara kita mencontohi teknik berkhutbah gaya Rasulullah? Perlukah transformasi dilakukan pada gaya berkhutbah semasa? Bagaimana caranya?

Pertama, beri peluang kepada pihak-pihak tertentu yang berkebolehan berpidato dan mempunyai skil komunikasi yang hebat untuk berkhutbah. Sebagai contoh, jemput golongan profesional seperti doktor, peguam, akauntan, pegawai tinggi kakitangan awam seperti polis, tentera dan sebagainya untuk menjadi penyampai khutbah jemputan.

Beri peluang kepada golongan ini yang memiliki ilmu luas dan berpengalaman dalam bidang masing-masing dan dikenal pasti mempunyai gaya pengucapan awam yang baik untuk ke depan.

Kedua, beri latihan kepada pegawai-pegawai masjid mengenai pengucapan awam. Seseorang khatib perlu diberikan latihan dalam aspek intonasi suara dan gaya bahasa badan. Intonasi suara semasa berkhutbah perlulah sederhana, iaitu tidak terlalu kuat dan tidak pula terlalu perlahan.

Jika terlalu kuat ditambah pula dengan alat pembesar suara, khatib akan kedengaran seperti menjerit-jerit dan menyebabkan ketidakselesaan kepada jemaah. Intonasi suara yang terlalu perlahan pula menyukarkan jemaah untuk memahami isi khutbah yang disampaikan. Malah kadang-kala di sesetengah masjid, suara bising kanak-kanak lebih kuat kedengaran berbanding suara khatib sedangkan khatib dibantu oleh pembesar suara.

Yang idealnya adalah intonasi suara yang sederhana iaitu ada tempat-tempat yang perlu ditinggikan suara maka khatib akan bersuara lantang pada ketika itu. Ada tempat-tempat yang perlu intonasi suara yang rendah, maka khatib akan memperlahankan suaranya.

Dalam keadaan permulaan khutbah, khatib mungkin memulakan dengan intonasi yang perlahan dan semakin meningkat intonasinya di pertengahan khutbah. Pada akhir khutbah, iaitu semasa doa dibacakan, intonasi suara perlahan adalah sesuai untuk memberi impak kepada doa tersebut.

Intonasi suara khatib haruslah bersifat dinamik dan tidak statik. Kedinamikan suara ini mampu menyentuh setiap jiwa yang mendengarnya. Ini akan menjadikan khutbah tersebut lebih berkesan dan menarik.

Selain itu, gaya bahasa badan turut memainkan peranan penting untuk menjadikan khutbah lebih berkesan. Kedudukan khatib di atas mimbar haruslah tidak statik. Sekurang-kuranglah toleh sekali-sekala ke kanan atau ke kiri. Lihat keseluruhan jemaah dan jangan hanya lihat kepada teks.

Bahasa badan haruslah disertakan dengan mimik muka dan gaya tangan yang sesuai. Lebih-lebih lagi apabila perlu menunjukkan rasa kesedihan mahupun penegasan.

Ketiga, isi khutbah yang disampaikan seharusnya berkisar kehidupan masyarakat pada masa ini dan kena pada isu yang sering berlegar di sekitar kawasan masyarakat setempat. Sebagai contoh, isu-isu seperti adab-adab ber'facebook', kedudukan ekonomi semasa, bajet, kenaikan kos sara hidup dan isu-isu semasa yang lain wajar dijadikan teks khutbah.

Perkara ini penting kerana khutbah bukan untuk tatapan orang dewasa semata-mata. Khutbah juga didengar oleh belia, remaja dan kanak-kanak. Sudah sepatutnya isi yang relevan dengan kehidupan mereka turut diselitkan di dalam khutbah.

Penulis menyarankan agar satu transformasi dilakukan kepada cara penyampaian khutbah. Para khatib perlu melakukan hijrah untuk berkhutbah dengan lebih berkesan. Khatib juga perlu menyedari khutbah yang disampaikan pada setiap minggu adalah pencetus masyarakat. Sebarang kelemahan penyampaian khutbah wajar diselidiki dan seterusnya diperbaiki.



RAM AL JAFFRI SAAD ialah Pensyarah Kanan Perakaunan Islam dan Penyelidik Utama Institut Penyelidikan dan Pengurusan, Universiti Utara Malaysia (UUM).Utusan Malaysia Online Rencana 20140110
Tags: khutbah, transformasi
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments