mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Semarakkan cinta acuan Nabi

TERLALU banyak isu melibatkan Islam yang begitu menggamit perasaan kita sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Sesetengah isu yang tidak terlintas pun dalam benak kita boleh wujud di bumi bertuah ini, seperti kalimah Allah yang dituntut Gereja Roman Katolik kini timbul bagaikan tiada kesudahan.

Kadang kala pelik dan penuh tanda tanya kenapa baru hari ini pihak gereja bersungguh-sungguh bahkan berani buat tuntutan untuk guna pakai kalimah Allah, sedangkan isu ini tidak pernah timbul sejak mereka bertapak di Tanah Melayu Islam lebih 500 tahun dulu.

Tidak cukup dengan isu ini, kumpulan yang disahkan Kementerian Dalam Negeri sebagai pertubuhan haram COMANGGO pula tergamak mengkhianati negara ke peringkat antarabangsa dengan membuat pelbagai tuntutan dan hujah palsu mempersoalkan kedudukan Islam sebagai agama negara atas nama pencabulan hak asasi manusia.

Bagi penulis, tiada guna selamanya hendak menyalahkan orang lain apabila isu sensitif sebegini ditimbulkan. Sering kali kita lupa hakikatnya apa yang berlaku merupakan musibah Allah ke atas umat Islam di Malaysia lantaran tingkah dan olah (akal) mereka sendiri sebagaimana Surah Ar-Ruum ayat 41:



Perarakan sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan di Putrajaya. - Gambar hiasan.

“Telah nampak kerosakan di darat dan laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)."

Tidak sukar mencari punca segala kemelut yang melanda negara ketika ini. Malah tidak susah mengenal pasti sebab keberanian luar biasa puak minoriti kecil berkepentingan sanggup menggadaikan keharmonian yang ada untuk membuat tuntutan sehingga membelakangkan

Perlembagaan yang disepakati sejak sekian lama.

Tentu sekali jawapannya amat terkait dengan keadaan umat Islam yang terus-menerus berantakan sesama sendiri daripada sekecil-kecil hinggalah sebesar-besar isu. Lebih menyedihkan dalam hal yang menyentuh kepentingan bersama khususnya melibatkan agama dan bangsa sekalipun, umat kekal celaru dan tidak bersatu.

Ada manfaatnya jika dalam penulisan bersempena Sambutan Maulidur Rasul Selasa ini, penulis memfokuskan isu mendasar menyentuh aspek kegersangan nilai yang melanda umat hingga tidak lagi mengikuti ajaran Nabi SAW.

Ramai yang mendakwa pengikut Nabi tapi hakikatnya tidak meneladani dan mengikuti jalan Nabi. Tidak kurang juga berdegar-degar dengan slogan retorik hendak perjuangkan Islam tapi langsung tidak mencerminkan akhlak dan adab Islam anjuran Nabi.

Mereka lupa pesanan Nabi SAW agar teguh berpegang kepada Sunnah atau petunjuk baginda bagi mendepani senario umat akhir zaman yang bakal berantakan dan berselisihan sebagaimana Hadis riwayat Abu Daud: “Barang siapa yang berumur panjang, pasti akan melihat perselisihan yang banyak. Oleh itu, kamu wajib berpegang dengan sunnahku".

Jika ditelusuri antara sunnah terpenting yang mendasari prinsip akhlak dan menerasi jiwa Nabi SAW yang semakin dikesampingkan kini ialah sifat kasih sayang yang sering diulang-ulang dalam al-Quran. Allah berfirman: Muhammad itu utusan Allah dan orang yang bersama dengannya adalah keras terhadap orang kafir (yang bermusuh dengan Islam) tetapi berkasih sayang sesama mereka. (Al-Fath: 29).

Dalam ayat lain, Allah sekali lagi menekankan jiwa kasih-sayang Nabi SAW: Telah datang kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu, sangat mengambil berat dia terhadap sesuatu yang mendatangkan mudarat kepada kamu, amat sangat menginginkannya semua perkara yang baik bagi kamu dan kepada orang mukmin amat sayang baginda terhadap mereka. (At-Taubah: 128).

Dalam kedua-dua ayat tersebut, al-Quran menggunakan perkataan ‘Rauf’ dan ‘Rahim’ untuk menegaskan maksud kasih sayang yang menjadi teras keperibadian Nabi terutamanya dalam hubungan sesama golongan yang beriman.

Dalam sesetengah tafsir seperti Tafsir Ibn Kathir, perkataan ‘Rauf’ ini disebut sebagai ‘Shiddatur Rahmah’ atau kasih sayang yang mencapai tahap tertinggi berteraskan keimanan seutuhnya kepada Allah.

Elemen terpenting

Ini bermakna kasih sayang dalam pengertian hubungan sesama umat Islam diikat atas asas keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT semata-mata. Malah perkataan Ar-Rauf dan Ar-Rahim sendiri merupakan sebahagian daripada nama-nama Allah yang membawa makna Maha Pengasih dan Penyayang.

Sebab itulah dakwah Nabi SAW sendiri bermula dengan menzahirkan budaya kasih sayang (cinta) sebagai asas terpenting pembentukan umat Islam yang hebat. Malah aspek kasih sayang merupakan elemen terpenting yang memperkuat dan memperteguh umat Islam hingga mampu membina tamadun umat yang hebat pada suatu ketika.

Sebaliknya apabila nilai kasih sayang dipinggirkan sedang sifat benci dan dendam yang lebih membudaya dan mengakar, maka dengan sendirinya kekuatan umat Islam akan melebur. Sejarah jelas membuktikan bagaimana tamadun Islam akhirnya hancur sama sekali lantaran serakah manusiawi yang membelakangi nilai kasih sayang sesama umat.

Persoalannya, apakah budaya kasih sayang masih membudaya dalam diri umat Islam Malaysia ketika ini? Atau apakah dunia politik umat kini sedang mengalami krisis kekeringan makna dan kegersangan nilai kasih sayang hingga menyebabkan gejala budaya dendam dan benci yang membinasakan?

Hakikat yang sukar untuk dinafikan, budaya dendam dan benci masih kekal membarah dalam diri penggiat-penggiat parti politik. Malah kepentingan merebut kuasa seringkali menjadikan penyokong parti hilang pertimbangan rasional. Ramai pemuja dan pendokong politik Islam sendiri ikut hanyut dalam arus budaya dan amalan politik Machiavelli yang menghalalkan segala cara demi mencapai cita-cita.

Perlakuan seumpama ini secara jelas membelakangkan prinsip akhlak dan nilai keagamaan. Sistem demokrasi umpamanya tidak lagi dijadikan alat, malah dalam banyak keadaan, fahaman liberal demokrasi dipertuhankan dengan harapan kuasa dapat dikecap dengan apa cara sekalipun.

Dengan gejala budaya politik yang mengalami pendangkalan nilai dan etika kini, pastilah ia mudah menghakis jati diri dan membunuh idealisme perjuangan sejati. Penyimpangan budaya politik ini jugalah yang sering membelakangi prinsip kasih sayang hingga gejala budaya politik berasaskan kebencian pastinya mampu meleburkan perpaduan dan memporak-porandakan negara.

Justeru, kehidupan politik umat harus segera diselamatkan sebelum terlambat. Amalan berparti dan berpolitik yang ada memerlukan usaha pendewasaan agar umat tahu batasan dan sempadannya di samping meletakkan asas agama dan akhlak sebagai teras dalam apa jua bentuk percaturan.

Pemikiran yang diselaputi sentimen marah dan benci lantaran terlalu taksub berparti harus dijernihkan agar umat mampu kembali membudayakan nilai kasih sayang sesama mereka. Janganlah kerana perbezaan parti kita sanggup meruntuhkan kekuatan ukhuwah yang sedia terjalin.

Sesungguhnya maruah umat Islam hanya mampu ditebus apabila kita bersedia untuk melupakan perselisihan demi agenda bangsa dan agama yang lebih besar. Harga dan nilai bangsa hanya mampu dimartabatkan apabila kita benar-benar menjiwai nilai dan prinsip Islam sekali gus membudayakan kasih sayang sebagaimana keperibadian junjungan Nabi SAW.

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki Utusan Malaysia Online Rencana 20140112
Tags: maulid, politik, rasulullah
Subscribe

  • Didik masyarakat benci arak

    TIDAK syak lagi meminum arak atau ketagihannya adalah haram di sisi agama Islam. Islam melarang umatnya daripada melakukan sesuatu yang memudaratkan…

  • Waspada terhadap sumber yang haram

    DALAM era globalisasi melalui pelbagai aspek, khususnya ekonomi kian merudum memberikan satu cabaran kepada kita untuk berusaha menjana sumber…

  • Orang malas 
haram dapat zakat?

    Baru-baru ini ada seorang ustaz menyatakan bahawa orang miskin yang malas tidak layak dan haram diberikan zakat. Ini kerana, ia akan menjadikan…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments