mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Mengapa tidak memilih bertoleransi?

"SAYA bersyukur Mufti dan umat Islam berdiri di belakang Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana jika mereka tidak memberi pandangan sebegitu, maka itu adalah tragedi yang amat dahsyat dan menyedihkan kepada umat Islam."

Itu adalah antara kata-kata yang diluahkan bekas Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Datuk Dr. Elias Zakaria ketika diminta pandangan mengenai polemik tindakan JAIS merampas Bible versi bahasa Melayu dan Iban yang mengandungi kalimah Allah di Selangor, Khamis lalu.

Tidak sukar memahami kekecewaan beliau itu kerana seperti umat Islam lain, tindakan Persatuan Bible Malaysia (BSM) yang tetap berdegil mahu mengedarkan kitab Bible versi bahasa Melayu yang mempunyai kalimah Allah benar-benar mengguris hati dan perasaan.

Begitu juga dengan tindakan Pengarang The Herald, Lawrence Andrew yang tetap berdegil mahu gereja Katolik di Selangor terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya dalam bahasa Melayu meskipun Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menghantar notis peringatan mengenai larangan penggunaan kalimah itu oleh bukan Islam.


Seorang wanita memegang poster semasa berarak mengadakan bantahan berhubung isu penggunaan kalimah ALLAH
bertempat di Batu Caves, Selangor, semalam.


BSM dan Andrew seolah-olah lupa setiap penganut agama tidak kira umat Islam, Buddha malah Kristian sendiri mempunyai sensitiviti terhadap agama masing-masing yang jika disentuh boleh mengundang rasa kurang selesa dan kemarahan.

Dalam isu ini, tindakan pemimpin Kristian yang berterusan mencabar penggunaan kalimah Allah dalam bahasa Melayu di sebalik larangan mahkamah sudah semestinya membuatkan umat Islam 'melompat'.

Apatah lagi terdapat perbezaan yang cukup jelas berhubung penggunaan kalimah Allah dalam merujuk kepada Tuhan bagi penganut Islam dan Kristian. Bagi umat Islam, kalimah Allah itu tidak direka-reka oleh umatnya melainkan menerusi pengisytiharan oleh Allah sendiri.

Islam juga mengajar umatnya Allah itu Esa, tidak beranak dan tidak juga diberanakkan serta tiada sekutu.

Namun, penganut Kristian percaya Allah itu bersekutu sekali gus jauh menyimpang daripada apa yang diyakini umat Islam.

Perbezaan sebeginilah yang menyebabkan umat Islam tidak boleh menerima kemahuan pihak Kristian menggunakan kalimah Allah kerana secara jelas mencabar kesucian kalimah itu seperti yang dipercayai umat Islam selama ini.

Penulis percaya, penganut mana-mana agama sekali pun sekiranya berdepan dengan ancaman terhadap kesucian agama mereka, tidak rela membiarkan perkara itu begitu sahaja.

Begitulah juga bagi umat Islam dalam isu ini yang malangnya, kemarahan itu seolah-olah tidak diambil peduli dan dipandang sebelah mata oleh BSM dan Andrew.

Paling mendukacitakan, pemimpin Kristian ini menunjukkan kedegilan mereka ketika banyak sebab tidak memihak kepada mereka.

Antaranya keputusan Mahkamah Rayuan yang melarang Gereja Katholik menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar mingguannya.

Jika diikutkan, perkara ini juga tidak perlu sehingga diputuskan oleh mahkamah kerana perkataan-perkataan yang menjurus kepada agama Islam sudah digazetkan dan tidak boleh diguna sama oleh penganut agama lain.

Namun, itulah yang sudah terjadi dan umat Islam setakat ini boleh menarik nafas lega dengan keputusan mahkamah itu.

Persoalannya, jika umat Islam masih lagi mampu bertolak ansur dengan pemimpin Kristian meskipun sehingga dicabar di mahkamah, mengapa pemimpin Kristian tidak boleh mengambil pendekatan serupa?

Inilah perkara yang cukup dikesalkan kerana pemimpin Kristian dilihat lebih selesa mengambil tindakan bertentangan sehingga mengeruhkan keadaan.

Sebagai tokoh agama, pemimpin Kristian ini sudah semestinya lebih memahami bagaimana mahu mendepani isu-isu yang membabitkan pertembungan agama.

Apatah lagi berkaitan kalimah Allah yang diketahui mereka sudah digunakan umat Islam di negara ini sejak sekian lama.

Malah, isu ini juga menyentuh mengenai kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dalam Perlembagaan yang perlu ditangani dengan penuh berhati-hati dan teliti.

Malangnya ketika ini, mereka dilihat seolah-olah bertindak mengikut perasaan dan seperti mahu menunjukkan berkuasa serta mampu melakukannya. Tidakkah tindakan seperti itu semakin membangkitkan kemarahan umat Islam?

Pemimpin Kristian sebenarnya mempunyai pilihan yang lebih bijak dan harmoni dalam menangani isu ini.

Antaranya mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak berkuasa agama seperti Majlis Fatwa Kebangsaan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) , Mufti-mufti negeri dan banyak lagi.

Malah, mereka juga boleh meminta menghadap Sultan Selangor untuk berbincang mengenai isu itu khususnya yang berlaku di negeri tersebut.

Sebagai pemimpin agama Islam tertinggi, Sultan Selangor sudah semestinya mahu mendengar penjelasan pemimpin Kristian dan berbincang bagi mencari pendekatan terbaik dalam menangani isu ini kerana menyentuh mengenai akidah umat Islam yang dinaungi baginda.

Malangnya, sifat bertoleransi, saling menghormati dan memahami itu tidak dijadikan pilihan oleh pemimpin Kristian yang lebih selesa mengambil tindakan sendiri.

Hakikat ini cukup menyedihkan kerana umat Islam selama ini tidak pernah mempertikai kebebasan penganut Kristian serta penganut agama lain mempraktik kepercayaan masing-masing meskipun Islam merupakan agama rasmi Persekutuan.

Penganut agama lain selama ini bebas merayakan perayaan mengikut kepercayaan agama masing-masing tanpa sebarang sekatan atau gangguan.

Semuanya bertitik-tolak daripada sikap bertoleransi dan saling menerima perbezaan kaum dan agama dalam hidup bermasyarakat.

Namun, jika rasa hormat itu semakin dicabar dan dilanggar, maka hilanglah semangat keharmonian itu.

Kepada pemimpin Kristian yang terlibat, cubalah belajar untuk sama-sama menghormati perasaan dan sensitiviti umat Islam apatah lagi dalam perkara-perkara yang sudah dilindungi undang-undang dan Perlembagaan.

Jika tidak dilindungi undang-undang sekali pun, sebagai individu yang sudah tentu tinggi ilmu agamanya, mengapa sehingga tergamak mereka mencabar kesucian agama lain?



MOHD. KHUZAIRI ISMAIL pengarang@utusan.com.my Utusan Malaysia Online Rencana 20140113
Tags: kalimah, toleransi
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments