mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Contohi akhlak Rasullullah

DETIK kelahiran Rasulullah SAW pada tanggal 12 Rabiulawal Tahun Gajah yang bersamaan 20 April tahun 571 Masihi membawa 1,000 macam perubahan kepada kehidupan manusia.

Daripada penyembahan kepada batu dan patung-patung ditukar kepada mengabdikan diri kepada Allah SWT. Daripada sibuk berperang sesama sendiri ditukar kepada menyibukkan diri dengan kerja-kerja ibadah yang dituntut. Daripada bergelumang dengan dosa dan perlakuan mazmumah jahiliah ditukar kepada berpegang dengan nilai akhlak Islam seperti saling menghormati dan toleransi sesama manusia.

Kemudiannya setelah berjaya membentuk kerajaan Islam di Kota Madinah, Rasulullah tidak menoleh ke belakang lagi dalam membina nilai ketinggian Islam dan peradaban umatnya. Kesannya agama Islam yang mulia berada pada kedudukan tertinggi sehingga tiada yang lebih tinggi daripadanya. Umat Islam disegani dan dihormati malah penganut agama lain juga diberi hak melaksanakan ajaran agama masing-masing selagi tidak memusuhi Nabi SAW.

Dengan berkembangnya pelbagai aktiviti keilmuan dan intelektual khususnya pada zaman Bani Umayyah dan Abbasiyah Islam berada di kemuncak kegemilangan apabila ramai tokoh ilmuwan Islam tersohor seperti al-Khawarizmi dalam bidang matematik, Ibnu Sina dalam bidang kedoktoran, al-Razi atau dikenali sebagai Rhazes sebagai saintis dan ramai lagi berjaya menghasilkan penemuan -penemuan baru yang kemudiannya dikaji dan dibahaskan oleh ilmuwan dunia masa kini.

Persoalannya mengapa kini Islam dihina dan umatnya tidak lagi dihormati? Mengapa Islam kembali dagang setelah baginda Nabi Muhammad SAW dan para sahabat yang mulia meletakkan batu asas yang kukuh kepada ketinggian martabat Islam dan ummah untuk selama-lamanya.

Hal ini boleh jadi berlaku disebabkan umat Islam semakin jauh dari ajaran al-Quran dan sunah Rasulnya. Lebih buruk lagi apabila terdapat segelintir yang ibarat menconteng arang ke muka sendiri dengan terlibat melakukan pelbagai perbuatan buruk yang mencemarkan maruah dan kesucian Islam.

Lihat sahaja bagaimana sambutan tahun baru 2014 baru-baru ini yang dicemari dengan perbuatan keji berkhalwat, bersekedudukan, berzina, berpesta arak yang sememangnya tidak bertepatan dengan ajaran agama. Ia pastinya tidak tamat di situ kerana ada kemungkinan akan melarat pula kepada jenayah pembuangan bayi, setelah mengandung dan malu untuk bertanggungjawab dalam tempoh sembilan bulan yang akan datang. Akhirnya umat Islam terus bergelumang dengan dosa dan maksiat dan hingga menjadikan Islam terus dihina dan dipandang rendah.

Selain itu, masyarakat Islam masa kini terlalu sibuk dengan pelbagai aktiviti yang melalaikan. Ada yang sibuk bersembang di laman sosial, ada yang memuat naik gambar-gambar tidak senonoh, bersembang dengan kata-kata lucah dengan alasan ingin berhibur dan memenuhkan masa. Ada pula yang terlibat ajaran sesat sehingga sanggup membunuh dan melakukan kegiatan jenayah.

Sehubungan itu, masyarakat Islam diseru kembali berpegang dengan ajaran Islam dan melaksanakan segala kewajipan agama. Pelaksanaan solat lima waktu sehari semalam juga dilihat mampu menjadi benteng mencegah gejala negatif dan mungkar di kalangan umat Islam. Allah SWT berfirman yang maksudnya;

"Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan".(Surah al-Ankabut:45)

Dalam hal ini, penulis amat menyokong keputusan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengisytiharkan Jumaat sebagai hari kelepasan am bagi negeri itu dengan bermulanya tahun baru ini. Ia dilihat sebagai lambang keprihatinan Tuanku Sultan sebagai Ketua Agama Islam Negeri untuk melahirkan ummah yang berketerampilan dan bersahsiah unggul.

Boleh jadi sebelum ini terdapat dalam kalangan pelajar yang bergegas ke sekolah ketika azan Jumaat berkumandang. Kemungkinan juga terdapat pemandu bas sekolah dan kalangan pekerja tidak menunaikan solat Jumaat kerana bimbang terlewat mahupun dilarang oleh majikan masing-masing.

Akibatnya anak-anak membesar dalam keadaan sudah terbiasa meninggalkan solat ditambah pula dengan ibu bapa yang sengaja merelakannya lalu menyebabkan umat Islam terjebak melakukan perkara mungkar kerana tiada perisai solat yang mampu menghalangnya.

Justeru, adalah baik sekali jika cuti pada hari Jumaat boleh turut sama diikuti oleh syarikat-syarikat swasta khususnya milik bumiputera di Johor bagi memberi kesempatan buat umat Islam melaksanakan solat yang dituntut.

Soal pergi ke masjid atau tidak itu bukan isunya, apa yang penting pihak pemerintah termasuk majikan telah melaksanakan tanggungjawab dengan menyediakan ruang seluas-luasnya untuk solat sehingga ramai yang dapat melakukannya dengan sempurna.

Umat Islam juga dilihat sudah jauh menyimpang daripada mencontohi akhlak Nabi SAW. Terdapat sebilangan masyarakat yang sengaja merosakkan peribadi dengan bersikap menyombong diri, enggan menerima nasihat dan tunjuk ajar yang baik, keras hati selain selalu bertindak tanpa mengikut pertimbangan akal yang waras dan ajaran Islam yang suci.

Pergaulan bebas tanpa sempadan, berpeleseran ke sana ke mari, berdua-duaan, bercumbu-cumbuan di tempat sunyi semuanya bakal mengundang padah apabila terjebak melakukan perbuatan dosa yang terkutuk.

Segelintir muslimah pula sudah benar-benar terkesima dengan trend pakaian masa kini, lalu seluar dan baju ketat yang menampakkan susuk badan menjadi pembalut diri. Ada pula yang sengaja berskirt pendek, menampakkan bahagian dada seolah-olah begitu anggun dan bergaya dipandang oleh orang di sekeliling mereka.

Oleh sebab jauhnya umat Islam daripada ajaran Nabi Muhammad, diikuti dengan sikap buruk dan terlibat melakukan pelbagai perkara dosa, Islam terus dihina, kalimah Allah yang mulia menjadi rebutan, Nabi Muhammad menjadi bahan ejekan dan lawak jenaka, umat Islam hilang kehebatan dan nilai ketinggian sehingga kemuliaan Islam semakin tercabar.

Justeru bersempena sambutan Maulud Nabi pada kali ini, umat Islam diseru untuk bangkit mempertahankan kesucian Islam dan umatnya dengan kembali berpegang dengan ajaran al-Quran dan sunah Rasul. Sesungguhnya tiada jalan pintas untuk masuk ke syurga dan berjaya sebagai ummah yang dihormati dan disegani melainkan mengikut segala ketetapan agama dan peraturan syariat.

Usah hanya berseronok merayakan hari kelahiran baginda Nabi SAW yang tak ubah seperti sebuah pesta hari jadi lalu segala macam juadah seperti nasi beriani dan kuih-muih menjadi habuan sedangkan hati terus kosong daripada diisi dengan makanan rohani yang sangat diperlukan masa kini. Atau hanya bergelak ketawa mendengarkan ceramah agama yang tak ubah seperti menyaksikan rancangan lawak jenaka di kaca televisyen.

Apa yang lebih penting ialah bagaimana setiap individu muslim dapat mempraktikkan ajaran Nabi SAW dalam kehidupan seharian. Tunjukkanlah juga rasa kasih sayang dan kecintaan yang tidak berbelah-bahagi dengan memperbanyak mengucapkan selawat dan salam sebagai tanda ingatan yang tidak putus-putus buat selama-lamanya.


MOHD. ALI MUHAMAD DON ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Johor Bahru.Utusan Malaysia Online Rencana 20140114
Tags: maulid, rasulullah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments