mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Elak pembudayaan elitis dalam beribadah

MEMBERIKAN kuota tertentu dalam pelaksanaan ibadah haji, perlu difikirkan dengan lebih mendalam. Dalam kita memikirkan cadangan supaya kuota tertentu diwujudkan bagi penjawat awam, sifat empati seharusnya ada dalam pertimbangan berkenaan.

Tanpa menidakkan peranan sektor kerajaan, sektor lain juga sebenarnya turut berperanan membina kemajuan dan kemakmuran. Malah, peranan pengurus rumahtangga tanpa sebarang jawatan rasmi juga tidak boleh dinafikan dalam melahir dan mendidik anak-anak sehingga menjadi insan berguna kepada agama, masyarakat dan negara.

Jika rasionalnya untuk menggalakkan kalangan penjawat awam melaksanakan ibadah haji, maka galakan sama juga seharusnya diberikan kepada seluruh umat Islam di negara ini. Ini kerana seruan mengerjakan ibadah haji adalah untuk seluruh umat Islam tanpa sebarang pengecualian.

Tidak perlu ada unsur elit atau eksklusif dalam beribadah kerana agama Islam memberikan peluang sama rata kepada setiap hamba-Nya untuk menjadi insan bertakwa. Apabila Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat (49), ayat 13 bahawa "Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa antara kamu", menunjukkan bahawa ketakwaan sesuatu yang bersifat rahsia. Seorang pegawai tadbir barangkali lebih ketakwaannya berbanding seorang pekebun. Tetapi, biarlah peluang ketakwaan dengan cara melaksanakan salah satu rukun Islam itu diberikan secara saksama.

Pahala ibadah haji sebenarnya tidak dikira pada saat kaki bertapak di Tanah Haram sebaliknya bermula ketika manusia itu memasang niat untuk mengerjakan ibadah berkenaan. Tanda benar-benar sudah meletakkan niat biasanya dengan membuat tabungan bagi menampung perbelanjaan dengan cara masing-masing.

Kakitangan kerajaan atau yang berpendapatan bulanan barangkali menabung dengan membuat potongan gaji untuk dimasukkan ke dalam Tabung Haji secara tetap. Bagi yang tidak berpendapatan tetap pula akan membuat tabungan sendiri.

Dalam taklimat haji atau umrah, sering disebut bahawa kehadiran kita ke Tanah Haram bagi menunaikan umrah atau haji sebenarnya atas jemputan Allah. Jika belum sampai 'serunya' untuk menjadi tetamu Allah, kita tidak dapat menjejakkan kaki ke sana walaupun semua perkara yang diperlukan telahpun disediakan.

Kita juga sering melihat fenomena dalam kalangan hamba Allah yang tidak pernah terfikir akan menjejakkan kaki di hadapan Kaabah tetapi mereka tetap sampai dengan pelbagai jalan yang tidak pernah terfikir oleh manusia secara kebiasaannya.

Sesiapa sahaja maklum bahawa rezeki yang diperoleh adalah hasil usaha dan kudrat masing-masing dan ia dalam iradat Allah. Daripada rezeki itulah sebahagiannya diperuntukkan untuk membuktikan kecintaan hamba terhadap Penciptanya. Ada baiknya, kita mengekalkan persekitaran sama yang sihat dan tenang dalam perjalanan menuju puncak kecintaan terhadap Tuhan.

Antara hikmah dalam pelaksanaan ibadah haji adalah untuk menyemarakkan rasa ukhuwah sesama umat Islam tanpa mengira asal keturunan, latar, tempat dan darjat. Sebab itu tetamu Allah semuanya berpakaian dengan fesyen sama; berihram bagi lelaki dan menutup aurat bagi wanita. Sudah tentu agak pincang jika konsep ini tidak diterapkan dalam langkah dan tindakan.

Jika kuota tertentu diwujudkan, ia seolah-olah menafikan giliran bakal haji yang lain. Bayangkan semua orang beratur atau mengambil nombor giliran untuk membuat urusan tertentu. Sudah tentu semua memahami siapa datang awal maka dialah yang berdiri di hadapan barisan dan menerima layanan terlebih dahulu.

Dalam kes-kes tertentu ada yang dibenarkan memotong barisan atau mencelah giliran. Mereka ini biasanya warga tua atau kurang upaya. Tetapi, jika tiada alasan wajar, tentunya akan mewujudkan perasaan kurang enak. Amatlah baik jika kita tidak mewujudkan ruang yang hanya boleh merenggangkan silaturahim sesama kita. Mungkin ada yang berhujah ia adalah rezeki daripada Allah SWT. Bagaimanapun, pada hemat saya, selagi kita boleh menegah perasaan-perasaan mazmumah, bukankah itu jauh lebih baik?



Siti Shamsiah Md. Sufi ialah Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Utusan Malaysia Online Rencana 20140114
Tags: elit, ibadah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments