mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Tasawwur Islam atas wasatiyyah

ISLAM dari sudut ilmu, pemikiran dan amalan berkait rapat dengan tasawwur atau cara Islam dilihat oleh pemeluknya supaya tidak saja ia terlihat dalam ibadah khusus tetapi terjelma dalam amal Islaminya.

Sumber yang dihubungkan dengan tasawwur ini adalah al-Quran dan al-hadis. Al-Quran datangnya daripada Allah. Ia membawa petunjuk kepada seluruh umat manusia khususnya orang yang bertaqwa ( hudan linnas, hudan lilmuttaqeen).

Ia tidak saja bersifat wahyu tetapi wahyu itu diterjemahkan dalam bentuk sunah. Perlakuan, percakapan, dakwah dan perakuan Rasulullah SAW adalah sumber sunah untuk menjadi rujukan dan ikutan orang yang terkemudian.

Haji terakhir Rasulullah SAW (hujjatul Wida') baginda berpesan supaya berpegang kepada al-Quran dan as-sunnah sebagai jalan mengelakkan kesesatan. Saidatina Aishah bila ditanya oleh para sahabat mengenai akhlak Rasulullah, menyebutkan bahawa "Akhlak Rasulullah adalah akhlak al-Quran - Khuluq al-Quran ".

Al-Quran tidak saja bersifat harfiah atau tekstual untuk dibaca dan dihafaz. Tetapi ia bersifat kontekstual terhubung dengan Pencipta, Alam dan perjalanannya dan seluruh hikmah kejadian hasil ciptaan-Nya. Ia mendorong kepada perkembangan ilmu dan menghubungkan ilmu naqliah (wahyu) dan ilmu aqliah sebagai pedoman terbaik.

Akhlak al-Quran dalam sifatnya yang hidup adalah akhlak Nabi. Sering diungkap kalimah cinta nabi dan kasihkan nabi. Ungkapan ini akan lebih bermakna sekiranya amalan nabi yang bertunjangkan akhlak karimah menjadi sumber ikutan. Sunah nabi yang ditinggalkan apabila menjadi sumber ikutan umat terkemudian meneguhkan lagi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Akhlak Rasulullah dalam berkata-kata, melakukan dakwah dan tarbiyah penuh dengan kasih sayang dan belas kasihan. Asas yang dibina oleh Rasulullah SAW ini menyebabkan Islam berkembang dan akhirnya terbina tamadun. Nabi tidak berakhlak pendendam dan penuh dengan rasa kebencian terhadap orang lain. Jiwa besar Rasulullah SAW dalam melakukan seruan dan ajakan adalah contoh terbaik umat manusia yang menyebabkan ramai kembali kepada fitrah.

Apa yang dilakukan oleh Rasulullah ini mempunyai pendekatan. Al-Quran dalam Surah al-Baqarah : 143 menyatakan mengenai pendekatan sederhana, berimbang , adil dan cemerlang. Konsep ummatan wasata dalam ayat itu membayangkan kefahaman terhadap fitrah kejadian, maslahah menyantuni, pendekatan keutamaan (priority), supaya dakwah dan Islamisasi berlaku dengan bijaksana.

Al-Quran memberi pedoman pentingnya berjiwa sabar dalam mengembangkan kebenaran (watawasau bil haq watawa saubis sabr), ditegah bersikap gopoh (isti'jal) dan bijaksana dalam melakukan pengajakan dan penyeruan (bil hikmah walmau izatil hasanah) dan bila berhujah gunakan hujah-hujah dan dalil yang terbaik (wajadilhum billati hia ahsan). Inilah pendekatan wasatiyyah yang dianjurkan oleh al-Quran dan menjadi amalan Rasululullah SAW.

Lihat bagaimana Rasulullah dibenci oleh seorang perempuan Yahudi setiap kali lalu di hadapan rumahnya. Rasullullah tidak berpaling walaupun dimaki-hamun perempuan itu. Ditakdirkan suatu hari ia jatuh sakit dan Rasulullah menziarahinya. Terkejut perempuan Yahudi itu melihat jiwa besar baginda dan akhirnya kembali ke fitrah.

Contoh lain ialah bagaimana baginda menyantuni bapa saudaranya Abu Talib yang masih belum mengikuti jejak akidahnya. Nabi lakukan asbab dengan nasihat dan hujah tetapi akhirnya Abu Talib tidak kembali. Ia memberi pengajaran kepada kita melakukan dakwah sebaik mungkin adalah tugas kita, memberi hidayah adalah kerja Allah.

Pendekatan wasatiyyah atau sederhana tidak bermakna kita ketepikan faktor syarak dan prinsip. Wasatiyyah membolehkan kita mencari kebijaksanaan kerana kebijaksanaan inilah menjadi barang yang hilang bagi umat. Sifat Rasulullah yang bijaksana (fatanah) menyebabkan agenda berlaku dan maslahah terjadi.

Sebagai tunggak perubahan dan kemajuan, pendekatan adalah sesuatu yang amat penting. Sifat kejadian manusia berpasang-pasang dan berbangsa-bangsa (Al-Hujurat : 13) memerlukan proses litaarrafu atau kekenalan terjadi. Proses ini mencetuskan rasa kesalingan yang tinggi dan pemahaman yang sifatnya saling memahami dan melengkapi.

Kepelbagaian yang wujud dalam penciptaan Allah terhadap manusia, alam dan sumber rahmah dan ni'mah memerlukan ilmu dan kemahiran untuk menyantuninya. Al-Quran terkandung petanda mengenai kebesaran Allah ini yang memberikan asas saintifik dan jiwa tadabbur (memerhati, mengkaji dan menyelidik) supaya umat Islam menjadi umat ulul albab (umat yang memahami).

Pengajaran saintifik mengenai air umpamanya tidak saja mengambil pendekatan mekanistik bahawa air itu adalah cantuman antara oksigen dan hidrogen untuk meraikan soalan "apa itu air" tetapi al-Quran memberikan jawapan "mengapa air" dengan memberi pedoman, "air itu adalah sumber kehidupan".

Lihat, betapa al-Quran memberi jawapan yang jauh lebih relevan mengenai sumber kehidupan alam seisinya dengan air itu adalah hasil ciptaan-Nya.

Jalur wasatiyyah dalam ilmu dan pendidikan menggerakkan jiwa tadabbur bagi manusia mengkaji dan menyelidik. Al-Quran dalam surah al-Alaq menganjurkan budaya ilmu yang tinggi tidak saja mengkaji apa yang terlihat tetapi menghubungkan yang terlihat dengan faktor ghaibiyyah.

Jalur wasatiyyah juga merintis jalan ke arah pembangunan tijarah, muamalah dan iqtisadiah yang dibina secara bertahap-tahap. Hari ini Malaysia dalam rasa syukur dilihat oleh umat Islam yang lain sebagai negara contoh dalam kegiatan patuh syariah dan sedang berkembang dengan pesatnya.

Umat Islam tidak harus mengambil sikap sebagai pemerhati dan melakukan pencelaan terhadap usaha-usaha Islamisasi. Faedah daripada program patuh syariah ingin dikongsi tetapi menyumbang kepada proses mewujudkannya tidak terjadi. Kalau tidak dapat terlibat dalam proses mewujudkan pun tidak mengapa tetapi sekiranya yang diwujudkan itu baik, berguna dan bermanfaat bagi umat, katakan ia baik, berguna dan bermanfaat. Kalau tidak kita melakukan kezaliman.

Pendekatan wasatiyyah yang dijadikan tunggak bermaksud supaya agenda Islamisasi berlaku dalam perancangan yang rapi dan teliti serta upaya melaksana yang bijaksana supaya akhirnya wujud keberanian membina sumber daya insan yang holistik dan dukungan kuasa atau politik yang membolehkan ia berlaku. Ia menjadi tunggak perubahan dan peradaban.

Malaysia tidak memerlukan manusia gopoh, emosional, reaktif terhadap isu, suka melabel orang lain dan tidak bersifat menyumbang kepada kemajuan dan perubahan. Ia memerlukan jalur wasatiyyah berkembang supaya kemajuan terhasil dan perubahan terjadi dalam acuan kita sendiri.



PROF. DATO DR. SIDEK BABA ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Utusan Malaysia Online Rencana 20140114
Tags: tasawuf, wasatiyyah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments