mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Dakwah bukan hak eksklusif

"AKU masih muda, belum cukup ilmu di dada untuk berdakwah. Bukan pula lulusan pengajian Islam." Itulah antara bisikan yang sering terdetik dalam fikiran sebahagian besar umat Islam apabila menyentuh mengenai tanggungjawab berdakwah.

Tidak kurang juga yang memberikan alasan: "apa guna ada agensi agama dan pelbagai pertubuhan Islam serta pendakwah yang dilantik?"

Itu alasan bagi mengecualikan diri daripada menunaikan tanggungjawab menyampaikan mesej Islam.

Malah, tanggapan bilangan pendakwah yang sentiasa dilahirkan dari semasa ke semasa di seluruh pelosok negara sudah memadai untuk menampung keperluan dakwah juga dilihat menjadi sempadan membatasi sebaran dakwah kepada umum.

Hakikatnya, Rasulullah SAW mengajak seluruh umat Islam tidak kira jawatan, usia, latar belakang dan fahaman agar berdakwah.

Ia sebagaimana menerusi sabda baginda yang bermaksud: "Sampaikanlah apa-apa daripada ku walaupun satu ayat." (riwayat al-Bukhari)

Justeru, tidak semestinya perlu merentasi lautan atau meredah ceruk pedalaman, berkorban tenaga, masa dan wang ringgit yang banyak untuk berdakwah.




Pelbagai medium boleh dilakukan untuk berdakwah berdasarkan kemampuan masing-masing.

Ini kerana, melakukan tugasan para Nabi dan Rasul itu bukanlah terletak dibahu golongan pakar agama atau mereka yang bergelar ustaz dan ustazah sahaja. Sebaliknya itu merupakan tanggungjawab setiap individu bergelar Muslim.

Itu yang cuba dilakukan oleh peserta Pencetus Ummah, Rahmat Ikhsan Mohd. Sofyan, 20, biarpun beliau tidak memiliki pendidikan agama dan usia yang masih muda.

Katanya, usia dan latar belakang pendidikan bukan ukuran dalam berdakwah.

Usia muda yang dimiliki katanya, hanya pada zahir dan fizikal kerana di sisi Allah setiap individu Islam mempunyai tanggungjawab tersendiri.

"Kita sebenarnya tertipu dengan usia dan gelaran ‘orang muda’. Siapa sangka, hakikatnya usia kita sudah tua di sisi Allah SWT kerana kita tidak tahu bila masanya ajal menjemput diri.

"Kita juga perlu sedar bahawa pintu maut itu sentiasa berada di sebelah kita. Oleh itu, jika kita pergi dahulu, apa sumbangan yang telah kita lakukan terhadap agama Allah SWT pada usia kurniaan-Nya.

"Biarpun masih mempunyai pelbagai kekurangan seperti lemah dalam bacaan al-Quran, tetapi saya akan terus cuba memperbaiki kelemahan diri dari semasa ke semasa untuk menonjolkan yang lebih baik pada masa depan," katanya ketika di temui pada pentas akhir Mimbar Pencetus Ummah, baru-baru ini.

Demi tekadnya untuk berdakwah, Rahmat yang merupakan pelajar Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sanggup menangguhkan pengajian untuk mengejar impiannya sebagai pendakwah menerusi program Pencetus Ummah.

Kematian sahabat

Walaupun bukan berlatarbelakangkan pendidikan agama, bagi Rahmat itu bukan penghalang buatnya untuk berdakwah, sekali gus diharap menjadi contoh bahawa dakwah bukan hanya menjadi tanggungjawab pelajar lulusan agama sahaja.

Berkongsikan kisah pembabitannya dalam berdakwah, anak kelahiran Segambut, Kuala Lumpur itu berkata, peristiwa hitam yang berlaku kepada rakannya memberi kesedaran untuk menyumbang tenaga menyebarkan agama Islam.

"Kejadian seorang sahabat saya berumur 19 tahun yang meninggal dunia pada tahun lepas kerana terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan untuk berdakwah sangat menyedarkan saya bahawa hidup ini terlalu singkat.

"Sejak itu saya mula mempelajari ilmu agama daripada pelbagai guru dengan pembelajaran secara tidak formal, iaitu tidak mempunyai sijil," katanya.

Rahmat merupakan seorang daripada empat peserta yang ke pusingan akhir dalam program Pencetus Ummah. Kebolehan Rahmat dalam berdakwah terbukti apabila beliau antara yang sentiasa mendapat undian markah tertinggi sepanjang tujuh minggu program itu bersiaran.

BAGI Mukhtar Suhaili pula, pepatah ahli pemikir Islam supaya melakukan dakwah mengikut kebolehan dan kemampuan diri sendiri menjadi pegangan buatnya untuk menghadapi pelbagai cabaran ketika berdakwah.

Beliau yang juga jurutera kanan di sebuah syarikat minyak dan gas antarabangsa berkata, demi mendapatkan keredaan Allah SWT dan juga kelangsungan Islam, semua cabaran itu dianggap sebagai ujian untuk menguatkan lagi semangatnya.

"Dari segi pembahagian masa sememangnya menjadi cabaran terutamanya antara kerjaya sebagai jurutera, dakwah dan keluarga. Cuma saya memegang kata-kata hukama ‘jika kita tidak dapat melakukan semua, jangan kita tinggal semua’.

"Begitu juga cabaran lain seperti berulang-alik memasuki kawasan pedalaman sehingga terpaksa berjauhan dengan keluarga selama lebih sebulan dan juga terpaksa berjalan kaki lebih dua hingga tiga jam untuk sampai ke destinasi yang dituju.

"Namun, bila kita komited untuk melakukan sesuatu dan bertawajjuh (benar-benar berharap) semata-mata untuk mencari keredaan Allah SWT, insya-Allah, Dia akan bantu memudahkan setiap pekerjaan yang ingin dilakukan," katanya yang aktif menjalankan dakwah di negeri kelahirannya di Sarawak.

Sokongan keluarga

Tambahnya, mujur isteri dan anak-anak yang menyokong menguatkan lagi semangat beliau yang juga sebagai Pegawai Seranta Persatuan Kebajikan Pekerja Islam Petroleum (PKPIP) untuk terus mengikuti dan melakukan misi dakwah.

Mula terlibat dalam program keagamaan sejak di sekolah menengah sekadar mengisi masa lapang, Mukhtar seterusnya menemui hidayah untuk lebih menghayati kepentingan dakwah Islam selepas memasuki pusat pengajian tinggi di Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 1999.

Menganggap dakwah sebagai tanggungjawab setiap Muslim, bekas Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UIAM itu tidak pernah berputus asa dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat.

Baginya, suasana masyarakat sekeliling yang ditemui juga mendorong untuk lebih bekerja keras bagi terus melahirkan lebih ramai umat Islam yang berkualiti.

"Saya amat bersetuju dengan kata-kata bekas rektor UIAM, Profesor Ulung Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hasan bahawa dalam politik, sesiapa sahaja berpotensi menjadi musuh anda, akan tetapi di dalam dakwah, sesiapa sahaja berpotensi menjadi Muslim.

"Oleh itu, kita perlu mengambil peluang ini dengan pendekatan paling bijaksana dalam melaksanakan agenda dakwah khususnya di bumi Sarawak yang mempunyai masyarakat dan suasananya yang unik.

"Seperti kata Profesor Dr. Hamka, ‘ramai dalam kalangan kita yang pandai membaca kitab tetapi gagal membaca masyararakat! Kita sebenarnya perlu melahirkan daie yang boleh ketawa di hadapan orang miskin yang menangis dan boleh menangis di hadapan orang kaya yang ketawa," katanya.

Mukhtar berkata, kerjasama semua pihak penting bagi memajukan lagi tugas dakwah dan umat Islam perlu sedar bahawa berdakwah merupakan kewajipan bergelar Muslim.

"Kadang-kadang pelbagai alasan diberikan untuk lari daripada amanah dakwah ini. Ada pemikiran yang menyatakan saya tak cukup ilmu lagi. Ada pula yang berpersepsi salah bahawa dakwah itu hanyalah tugas mutlak ustaz dan ustazah.

"Kita juga perlu lari daripada mematikan fungsi dakwah dengan mengehadkannya hanya setakat dalam bentuk ceramah, ucapan, tazkirah dan pelbagai bentuk dakwah secara oral yang lain semata-mata," ujarnya.

DALAM pada itu, Namanzee Harris, 32, berkata, selain itu, media juga merupakan salah satu medium yang paling berkesan dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat.

Beliau yang baru dilantik sebagai Pengurus Saluran Astro Oasis berkata, ini kerana kejayaan dakwah melalui media boleh dibuktikan menerusi sambutan rancangan yang diterbitkan oleh sesuatu produksi itu.

Namanzee yang merupakan pelajar jurusan Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagaimanapun menganggap pelantikannya sebagai pengurus Astro Oasis merupakan cabaran buatnya dalam menyumbang kepada Islam.

"Pada mulanya memang agar gusar memegang amanah ini. Ini kerana risau dengan penerimaan masyarakat terhadap rancangan yang disiarkan di saluran ini. Namun, syukur dan tidak keterlaluan untuk dikatakan, kejayaan rancangan Pencetus Ummah ini menjadi fenomena masyarakat pada masa ini.

"Dengan membawakan program keagamaan yang diselitkan dengan unsur dakwah dan hiburan yang tidak keterlaluan, dari minggu ke minggu rancangan Pencetus Ummah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai," ujarnya.

Namanzee berkata, diharap usianya yang masih muda dapat dimanfaatkan bagi menarik golongan sebaya untuk lebih mendekati program berbentuk keagamaan yang disiarkan menerusi Astro Oasis.

"Penglibatan saya dalam bidang agama adalah pada peringkat sekolah iaitu saya mendapatkan pendidikan awal di Sekolah Agama Datuk Abdullah Esa, Kg. Melayu, Johor Bahru, sehingga kelas khas.

"Sedikit ilmu yang diperoleh tersebut diharap menjadi panduan bagi saya dalam melakukan dakwah menerusi media dengan menjadikan program keagamaan sebagai acuan rakyat di negara ini," katanya.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20140115
Tags: dakwah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments