mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Berpoligami pun satu jenayah?

JENAYAH di bawah perundangan sivil ditakrifkan sebagai suatu perbuatan menyalahi undang-undang negara yang membawa hukuman. Ini bermakna sesuatu perbuatan itu menjadi jenayah jika Parlimen meluluskannya sebagai jenayah.

Di Malaysia Undang-undang Jenayah terbahagi kepada kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan yang dikuatkuasakan di Mahkamah Sivil seperti Majistret hingga ke Mahkamah Tinggi dan rayuannya ke Mahkamah Rayuan dan Persekutuan serta kesalahan jenayah syariah yang dikuatkuasakan di Mahkamah Syariah di seluruh negeri.

Menurut undang-undang Islam, perkataan al-Jinayah ditakrifkan sebagai segala bentuk tindakan yang dilarang dan merosakkan. Sama ada tindakan itu ke atas badan, harta atau sebagainya.

Al-Mawardi mentakrifkan jenayah sebagai segala bentuk kesalahan menurut syariah yang boleh dihukum berdasarkan hukum Allah SWT, sama ada qisas, hudud atau ta’zir. (Al-Mawardi, Al-Ahkam al-Sutaniyyah, ms.192).

Islam menganggap jenayah satu kesalahan yang mesti dihukum kerana ia melanggar hak Allah SWT dan hak manusia atau makhluk lain.

Dalam Islam pencabulan terhadap: (i) agama, (ii) nyawa, (iii) akal, (iv) harta dan (v) maruah adalah jenayah yang perlu dihukum.

Saya ingin membincangkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan, sama ada oleh pasangan suami isteri atau orang lain yang berkaitan dengan perkahwinan dan kekeluargaan.

Ini kerana pembahagian yang jelas antara undang-undang jenayah dan sivil atau mal, menyebabkan orang beranggapan kesalahan yang dilakukan dalam perkahwinan dianggap perbuatan sivil dan bukan jenayah.

Dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam, di setiap negeri ada peruntukan mengenai kesalahan jenayah ini. Antara yang paling menyerlah ialah kesalahan kerana berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah Syariah. Ini kerana, mengikut Seksyen 23, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003, jika seorang lelaki ingin berpoligami, dia hendaklah membuat permohonan kepada Mahkamah Syariah. Mahkamah akan memanggil isteri atau isteri-isteri sedia ada, bakal isteri dan bakal wali. Mahkamah akan membuat pertimbangan terlebih dahulu.

Di Malaysia, ramai suami yang ingin berpoligami tetapi enggan membuat permohonan di bawah Seksyen 23 ini.

Pelbagai alasan diberikan antaranya, permohonan akan ditolak kerana ketidakmampuan, isteri pertama mengenakan pelbagai syarat dan merasakan peruntukan di bawah seksyen ini, sengaja diada-adakan untuk menyusahkan.

Negara jiran

Ramai lelaki menganggap poligami sebagai hak dan tiada siapa boleh menghalang. Ramai juga yang memberi alasan mereka tidak mahu isteri pertama mengetahuinya bagi menjaga hati dan tidak mahu mengundang kekecohan. Oleh itu, tidak hairanlah perkahwinan kedua atau ketiga dilakukan di negara jiran.

Apabila rahsia pecah, maka rumah tangga akan musnah. Lumrahnya, rahsia akan terbongkar apabila suami tidak pulang ke rumah atau jika pulang pun, dia lambat, mengeluh tidak cukup wang dan memberi pelbagai alasan apabila isteri dan anak-anak meminta wang belanja.

Di zaman ini, ada juga isteri pertama yang menjadi ‘James Bond’ dengan membuat siasatan sendiri. Malah ada juga yang membawa ahli jawatankuasa masjid ‘menangkap’ si suami. Lebih mengejutkan, suaminya bukan bersama perempuan simpanan tetapi madunya.

Apabila pasangan dihadapkan ke mahkamah kerana berkhalwat, pasangan mengeluarkan surat nikah dari negara jiran atau sebelum hari perbicaraan, suami telah membuat permohonan untuk mendaftarkan perkahwinan tersebut.

Mahkamah selepas membuat siasatan dan berpuashati bahawa pernikahan adalah sah mengikut hukum syarak, maka akan mengarahkan pernikahan itu didaftarkan.

Sebelum mendapat sijil nikah tersebut, bahagian pendakwaan akan mendakwa suami di bawah Seksyen 124.

Pada kebiasaanya mahkamah akan mengenakan hukuman denda sehingga RM1,000. Jika gagal membayar denda, dia boleh dipenjarakan.

Sebenarnya berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah Syariah adalah suatu kesalahan jenayah. Ini kerana perkahwinan kedua yang dilangsungkan di negara jiran, besar kemungkinan tidak sah.

Ini kerana di sana ada banyak sindiket perkahwinan dan pihak yang menikahkan tidak mendapat tauliah untuk menikahkan orang. Ada juga kerana wanita yang dinikahi itu masih menjadi isteri orang atau dalam eddah atau pernikahan tanpa wali yang sah atau wali hakim tidak bertauliah.

Ramai orang yang berpoligami tanpa kebenaran mahkamah ini biasanya membayar denda dan selepas itu pergi mendapatkan sijil nikahnya yang baharu dan meneruskan kehidupan seolah-oleh tiada apa yang berlaku.

Jika ini adalah kesalahan jenayah di bawah Undang-undang Sivil, sudah tentu hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya memberi kesan kepada diri dan keluarga pesalah. Malangnya di Malaysia, pesalah jenayah syariah tidak langsung dikenakan hukuman masyarakat kerana masyarakat memandangnya sebagai kesalahan agama yang bersifat peribadi.

HARI ini, ramai penjawat awam yang melanggar peruntukan Seksyen 124 ini. Ada antara mereka dikenakan hukuman denda maksimum iaitu RM1,000. Namun, ia langsung tidak membawa kesan kepada pekerjaannya. Jika seorang penjawat awam didenda sehingga RM2,000, dia tidak layak bertanding dalam pilihan raya. Jika didenda di bawah jumlah tersebut, mereka boleh diambil tindakkan tatatertib yang boleh menyebabkan dia dibuang kerja.

Dalam hal hukuman dari Mahkamah Syariah, majikan sama ada kerajaan atau swasta tidak langsung mengambil perhatian terhadap kesalahan dan hukuman dari Mahkamah Syariah. Malahan ada dalam kalangan peguam syarie yang melanggar peruntukan ini.

Jika seorang peguambela/peguamcara bagi Mahkamah Tinggi Sivil dijatuhkan hukuman kerana kesalahan jenayah, pihak Majlis Peguam boleh mengambil tindakan tatatertib terhadap peguam tersebut, di mana menurut Akta Profesion Undang-undang, peguam itu boleh didenda, dilucutkan status peguamnya dan dia tidak boleh mengamal undang-undang lagi.

Tidak layak

Bagi saya jika peguam syarie yang melanggar peruntuk Seksyen 124 atau mana-mana peruntukan dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di negeri masing-masing, jika kesalahan tersebut membawa kesan jenayah yang membawa hukuman penjara atau denda, maka peguam tersebut tidak lagi layak menjadi peguam dan boleh dilucutkan statusnya.

Kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam sepatutnya sama tarafnya dengan kesalahan jenayah yang lain seperti khalwat, zina dan jenayah di bawah Undang-undang Sivil seperti mencuri, merompak, meragut dan sebagainya.

Jika kesalahan jenayah syariah dalam enakmen keluarga tidak diambil kira sebagai satu kesalahan jenayah yang lain dan membawa kesan yang mendalam dalam diri pesalah dan boleh menjadi teladan kepada masyarakat, maka ia akan terus dilakukan seolah-olah tidak ia bukan satu kesalahan.

Dalam perundangan keluarga ada banyak lagi kesalahan jenayah yang membawa hukuman denda dan penjara. Masyarakat perlu sedar dan menghormati semua undang-undang termasuk undang-undang jenayah syariah dalam perundangan keluarga.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20140115
Tags: jenayah, law, poligami, syariah
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments