mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Bisik-Bisik Awang Selamat ~ Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah.

SEMALAM, umat Islam memperingati detik kelahiran Rasulullah SAW. Pelbagai acara diadakan termasuk sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan bertemakan Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah.

Dalam sambutan di Putrajaya, Awang tertarik dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah. Baginda mahukan umat Islam berusaha memperkukuhkan persaudaraan serta mengharmonikan pandangan yang berbeza dalam menilai sesuatu perkara.

Memang sejak akhir-akhir ini, umat Islam berhadapan dengan pelbagai ‘ancaman’ yang boleh menjejaskan kesucian Islam dan memecah-belahkan perpaduan umat. Melalui pelbagai media termasuk media sosial, banyak perbahasan secara terbuka dan berani telah menyentuh sensitiviti umat Islam. Bukan sahaja isu-isu yang berkaitan dengan agama tetapi juga bersangkut-paut dengan kehidupan seharian. Amat malang, ada juga isu yang dicetuskan oleh masyarakat Islam sendiri.

Awang berkongsi kebimbangan melihat sikap sesetengah umat Islam yang lebih gemar untuk terus berpolemik dalam perkara remeh-temeh. Lebih mendukacitakan, isu-isu ini dibahas dan dipertikai secara sinis dan melulu, bukan secara ilmiah untuk mencari penyelesaian. Semuanya ini akan memberi imej buruk kepada ummah. Pada masa yang sama membuka ruang kepada musuh Islam untuk bertindak lebih berani memporak-perandakan agama dan umat.

Sebarang teguran dan kritikan yang kononnya untuk memberi panduan hanya mengundang perbalahan, serta menyebabkan kegelisahan dalam masyarakat. Awang berharap, sempena Maulidur Rasul ini, umat Islam khususnya dapat mencontohi juga peribadi dan akhlak Rasulullah SAW. Buanglah sikap sombong, mendabik dada dan enggan menerima nasihat seolah-olah kita yang terbaik. Bertindaklah secara rasional. Ingatlah sebagai manusia yang serba kekurangan, kemungkinan dalam mengejar kebaikan, kita terjerumus dalam lembah kemungkaran. Akhirnya pahala yang dicari bertukar menjadi dosa.

Awang - Mencari damai. Utusan Malaysia Online Rencana 20140115

Tags: kesatuan, wasatiyyah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments