mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Hak asasi Islam bukan seperti Barat

GERAKAN halus penularan ideologi barat dalam kalangan umat Islam bukan perkara baru, sebaliknya merupakan gerakan terancang yang telah lama diatur oleh pihak tertentu.

Sehinggakan tanpa disedari, pemikiran umat Islam, khususnya di negara ini sedikit sebanyak telah terkesan oleh ideologi asing tersebut walaupun terdapat yang jelas bertentangan dengan norma seorang Muslim.

Bukan sahaja dalam aspek etika, budaya dan sosial masyarakat, malah ideologi tersebut juga dilihat telah berjaya menembusi ke dalam corak pemerintahan dan perundangan negara termasuk menerusi sistem hak asasi manusia.

Berikutan itu mendorong individu yang terpengaruh untuk bertindak agresif dan semakin lantang bersuara bersandarkan atas nama hak kebebasan tanpa mengambil kira batasan yang ditetapkan oleh syariah.
















Dalam konteks Barat, hak asasi individu lebih diberi keutamaan berbanding
hak asasi masyarakat - Oleh Mohd Shah Che Ahmad Gambar Saiful Bahari Ashari

Antaranya tohmahan tiada kebebasan agama dan larangan perkahwinan sejenis di negara ini juga telah mula kedengaran sehingga tersebar bukan sahaja di dalam negara, bahkan seluruh dunia.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sikap segelintir masyarakat yang cuba melaksanakan ideologi hak asasi Barat di negara ini hanya menimbulkan kesan negatif terhadap negara.

Sehubungan itu tambahnya, sebagai umat Islam harus berpaksikan hak kebebasan bersandarkan batasan yang digariskan menurut al-Quran dan sunnah selain berpandukan kepada perlembagaan yang ditetapkan.

"Dalam konteks di Barat, hak asasi individu lebih diberi keutamaaan berbanding hak asasi masyarakat. Ini sehinggakan tiada masalah bagi mereka untuk menolak adat dan kepercayaan agama.

"Sebagai contoh, atas hak asasi individu mereka menuntut untuk berkahwin sejenis. Begitu juga yang meminta tidak perlu berkahwin jika dah suka sama suka kerana akan bercerai juga, jika sudah benci sehingga menggugurkan institusi perkahwinan.

"Apa yang kita lihat sekarang, ideologi itu telah terbawa ke negara kita oleh sebahagian daripada kita yang terpengaruh dengan fahaman tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Kebangsaan Hak Asasi Kemanusiaan Dalam Tradisi Islam di Dewan Muktamar, Pusat Islam, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Forum disampaikan oleh Presiden International Movement for a Just World (JUST), Dr. Chandra Muzaffar; Bekas Ketua Hakim negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan Fellow Utama Akademik di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) Profesor Dr. Muddathir Abdel Rahim.

Dr. Mahathir turut menyifatkan penyebaran ideologi hak asasi Barat kepada umat Islam di negara ini merupakan satu serangan yang perlu diberi perhatian.

"Seminar seperti ini penting bagi masyarakat untuk mengenal pasti tahap dan batasan dalam hak kebebasan kita untuk menangkis serangan-serangan ideologi seperti ini.

"Masyarakat juga perlu terima sekatan-sekatan hak kebebasan ini seperti yang terdapat dalam agama. Ini kerana setiap kebebasan mempunyai hadnya," ujarnya.

Hipokrasi Barat

Senada dengan itu, Dr. Chandra berkata, slogan hak asasi manusia yang selama ini diperjuangkan oleh Barat hakikatnya hanya hipokrasi dan propaganda untuk kepentingan sendiri.

Ia dibuktikan menerusi pelbagai rekod fakta yang menunjukkan pelbagai bencana, peperangan dan kehancuran berlaku kerana disebabkan oleh campur tangan Barat secara langsung mahupun tidak langsung.

"Keangkuhan Barat dengan mendakwa mereka yang mengasaskan hak asasi manusia, tetapi sebenarnya mereka bukanlah pengasas seperti yang diperkatakan. Sebaliknya barat hanyalah mengembangkan hak asasi manusia.

"Jika kita lihat tamadun Barat lebih banyak menafikan hak asasi manusia kepada tamadun lain. Sebagai contoh pelbagai pencerobohan, penghapusan budaya dan pembunuhan berlaku adalah disebabkan mereka.

"Ini jelas menunjukkan mereka lebih mementingkan hegemoni dan kuasa berbanding demokrasi sebagaimana yang dilaungkan menerusi penubuhan pelbagai pertubuhan hak asasi antarabangsa," katanya.

Justeru tambahnya, masyarakat terutama umat Islam perlu menilai kembali prestasi hak asasi manusia yang dibawakan oleh Barat.

"Kita perlu mengatasi kelemahan amalan hak asasi manusia dengan menunjukkan kepada dunia menerusi contoh amalan sebagaimana yang dilakukan menerusi sunnah dan prinsip khalifah sebelum ini.

"Ini kerana prinsip khalifah bukan sahaja mempunyai kuasa dan hak tetapi turut mementingkan amanah dan tanggungjawab yang diberikan sebagai seorang pemerintah," jelasnya.



Utusan Malaysia Bicara Agama 20140129
Tags: asasi, hipokrasi
Subscribe

  • Kafir tanpa sedar

    DIALOG “berhenti menyanyi, nanti hujan”, begitu juga seperti “awak dah solat?” dan dijawab “sudah semalam”…

  • Jangan terlalu ghairah hendak bergurau

    LANGSUNG tidak salah untuk bergurau. Namun gurauan itu perlu ada hadnya, jangan melampau hingga sengaja mereka-reka sesuatu yang langsung tidak…

  • Had adab bergurau, elak mengguris perasaan

    Kehidupan zaman ini memaksa manusia mengejar masa serta menyelinap ke segenap ruang yang ada bagi memenuhi tuntutan rohani dan material menyebabkan…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments