mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Berjaya buktikan Islam itu indah

INSIDEN serangan 11 September 2001 banyak mengubah kehidupan dan kerjaya lelaki ini. Beliau adalah Mike Abdeen, seorang rakyat Amerika Syarikat (AS) yangf berjawatan Sarjan di Jabatan Sheriff di daerah Los Angeles (LA), AS dan merupakan seorang Islam.

"Tidak dinafikan, selepas peristiwa itu wujud pelbagai persepsi dalam masyarakat AS terhadap agama dan budaya orang Islam. Dalam kalangan rakan-rakan sekerja juga jelas kelihatan di raut wajah mereka mempunyai andaian yang sama.

"Memang sukar untuk menerima apabila banyak persoalan, benarkah, kenapakah, mengapa Islam bertindak sedemikian. Tetapi saya anggap ini satu cabaran dan peluang untuk rakan-rakan sekerja memahami apa itu Islam dan budaya orang Islam, maka saya ambil tanggungjawab ini untuk memperbetulkan semua andaian," katanya.

Beliau berkongsi kisah itu dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia, baru-baru ini sempena kehadirannya ke Malaysia sebagai panel pada bengkel serantau mengenai menangani keganasan melalui kepolisan komuniti dan jangkauan anjuran pusat anti keganasan di Asia Tenggara (SEARCCT).

Mengubah persepsi

Abdeen, 51, yang dilahirkan di Jerusalem bersungguh-sungguh mahu komuniti di AS mengubah pemikiran dan persepsi lapuk tentang kaitan antara pengganas dengan Islam. Maka beliau mencadangkan jabatannya menubuhkan satu program wajib untuk setiap anggota memahami budaya, agama, pegangan hidup dan sensitiviti setiap masyarakat di dunia.

Alhamdulillah kata beliau, program yang diwujudkan sejak insiden tersebut masih berlanjutan sehingga hari ini dan berikutan usaha tersebut perubahan demi perubahan dalam jabatan Sheriff terhadap Islam dan budaya masyarakat dunia amat positif.

Misi bapa kepada empat orang anak ini sejak pertama kali diterima sebagai satu-satunya pegawai polis beragama Islam di Los Angeles 20 tahun lalu adalah untuk mengubah masyarakat AS supaya bersikap realistik, terutama bertindak sama rata dalam memberi layanan kepada masyarakat termasuk tanpa mengira agama, bangsa dan budaya.

Beliau bersyukur selama 22 tahun membantu AS dalam menjaga keselamatan negara dan rakyatnya selain meskipun beragama Islam misinya itu semakin tercapai apabila di Los Angeles sahaja sebanyak 60 masjid telah didirikan dan pelbagai program ibadah dijayakan termasuk mengadakan iftar bersama masyarakat bukan Islam sebagai aktiviti tahunan sepanjang Ramadan.

"Tidak susah untuk menjalankan tugas sebagai pihak berkuasa dan beragama Islam di AS. Malah ada kalanya saya dan beberapa rakan lain yang merupakan polis dan beragama Islam menjadi rujukan dan lebih mudah didekati oleh masyarakat tempatan. Mungkin ini bukti Islam itu indah.

"Komuniti di LA pada ketika ini bersikap terbuka. Kami mengamalkan sikap toleransi. Tidak menafikan mana-mana hak walaupun berlainan bangsa dan agama. Jujur saya katakan, saya tiada masalah dengan masyarakat dan jiran-jiran. Mereka hormat Islam," katanya.

Menjadi contoh

Melihat jiwa besar Abdeen untuk mengubah persepsi rakyat AS tentang Islam, sememangnya wajar dicontohi rakyat negara ini untuk terus memartabatkan Islam tanpa mudah dicerobohi pengkhianat. Meskipun beliau berjihad untuk Islam menerusi pendekatanya sendiri namun tidak pernah sesekali membelakangkan undang-undang negara itu.

Usahanya untuk Islam sememangnya tidak sia-sia kerana pada 2010, beliau mendapat penganugerahan daripada Persatuan Keamanan California kerana menubuhkan unit hal ehwal masyarakat Islam dan pada Oktober tahun lalu, beliau diiktiraf sebagai pejuang hak asasi persatuan polis berikutan penglibatannya dalam banyak forum dan penulisan mengenai hubungan baik antara komuniti dengan Islam.



MUZDALIFAH MUSTAPHA Utusan Malaysia Bicara Agama 20140129
Tags: indah, islam
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments