mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

‘Dapat sampul kosong, minyak kereta kering’

Selepas lima tahun pemergian penyanyi kumpulan nasyid Rabbani, Allahyarham Asri Ibrahim, populariti beliau terus membayangi Ghazali Ibrahim, 42, yang masih dirujuk sebagai ‘adik Ustaz Asri Rabbani’.

Sudah hakikatnya begitu, anak kelapan daripada 13 adik beradik itu tidak pernah kisah mengenai rujukan itu, sebaliknya mengakui sebahagian besar kejayaan dicapai hari ini kerana menumpang populariti abang yang memudahkan beliau bergerak serta senang diterima.

“Sebelum abang saya popular sebagai penyanyi nasyid, saya sudah mula berdakwah dalam program televisyen. Tetapi sebab saya bukan personaliti, jadi ke mana saya pergi orang akan kata saya adik Ustaz Asri.



Ustaz Ghazali bersama kakitangannya. - FOTO SHIRAZ ALI

“Cuma sekarang ini jika 10 tempat saya pergi, ada tiga yang masih menyebut. Saya tidak kisah kerana dengan adanya Allahyarham dulu, saya lebih senang diterima,” katanya di pejabatnya di Akademi Al-Ghazali di Bandar Baru Selayang, Selangor.

Pada sesi wawancara yang berlangsung dalam suasana santai itu, Ghazali berkongsi pengalaman berdakwah selama 20 tahun, ada yang manis, pahit dan tidak kurang meninggalkan kenangan mencuit hati apabila diingat kembali.

Penasihat Al Balad Travel & Tours Sdn Bhd itu berkata, kebanyakan pendakwah pasti pernah mengalami peristiwa ‘sampul kosong’ sepanjang mereka memenuhi undangan berceramah dan ujian itu diterima dengan berlapang dada.

Namun di sebalik kisah itu, beliau ingin membetulkan persepsi sesetengah masyarakat kerana tugas berdakwah bukan untuk mencari makan tetapi rezeki mereka ada di situ. Pihak yang menjemput pendakwah atau penceramah perlu memikirkan keperluan itu.

“Pernah selepas beri ceramah saya diberi sampul surat kosong. Ketika itu semua ahli jawatankuasa surau sudah hilang. Tertulis pada sampul, ‘teruskan perjuangan - takbir’. Bayangkan ketika itu kebetulan minyak kereta memang kering dan saya perlu balik ke Tanjung Malim.

“Takkan saya nak tunjuk atendan di petrol stesen tulisan pada sampul itu. Nasib baik saya ada kad mata ganjaran yang boleh ditebus dengan petrol. Disebabkan itu saya terpaksa ikut jalan lama untuk mengelak tol.

“Niat pendakwah tidak pada bayaran dan bayaran juga bukan untuk ilmu yang disampaikan tetapi sekadar memenuhi keperluan kerana petrol, tol, penginapan, perlu difikirkan. Oleh itu, jika jemput ustaz, fikirkan kesediaan mereka untuk berdakwah,” katanya.

Walaupun kisah itu diceritakan sambil ketawa, namun bagi Ghazali ia wajar menjadi pengajaran kepada pendakwah khususnya golongan muda hari ini supaya bersiap sedia dengan cabaran serta ujian perlu dihadapi dalam menyebarkan syiar Islam.

Memulakan kerjaya di Lembaga Zakat Selangor selepas menamatkan pengajian di Universiti Baghdad dalam bidang syariah pengkhususan Fiqh wal Usul, Ghazali terbabit dengan ceramah di televisyen apabila RTM menawarkan slot ceramah dalam program Inspirasi Pagi.

Selepas itu, beliau menerima tawaran untuk berkongsi ilmu agama daripada stesen lain hingga sekarang wajahnya terus menghiasi skrin televisyen, jika tidak menyampaikan ceramah tetapi sebagai hos membicarakan topik tertentu bersama penceramah lain.

Mengulas perkembangan dakwah yang meliputi pelbagai medium serta teknologi terkini termasuk laman sosial seperti Facebook dan Whatsapps, katanya, ia adalah satu transformasi positif kerana perkongsian ilmu menjadi lebih mudah.

Bagaimanapun, tidak dinafikan kebaikan itu boleh menjadi sebaliknya apabila teknologi disalahgunakan. Oleh itu, khususnya dalam hal membabitkan ilmu agama, umat Islam perlu bijak menapis maklumat yang diterima.

Ghazali mengakui peningkatan minat mendalami ilmu agama dalam kalangan masyarakat Islam yang memberangsangkan kini dan berharap mereka mengikut cara yang betul supaya ilmu diperoleh benar-benar memberi manfaat kepada kehidupan di dunia serta akhirat.

Justeru, bagi pengajian mingguan, beliau menyarankan pendakwah menyediakan kitab atau silibus yang boleh dijadikan bahan rujukan nanti. Sementara ceramah umum, setiap penceramah mempunyai pendekatan masing-masing.

“Memang bagus semua hendak belajar, pergi surau, tengok program agama di televisyen tetapi masalahnya apabila tidak ada silibus, semua hendak dicekau. Itu yang timbul masalah ustaz itu kata begini dan ustaz lain pula kata begitu.

“Sebenarnya ustaz hanya mensyarahkan perkara sama iaitu perkara asas mengikut kaedah masing-masing. Apabila apabila adanya kitab, membantu kita merujuk dan membacanya kemudian untuk meningkatkan kefahaman. Ini dapat mengelakkan khilaf,” katanya.

Tidak dinafikan pendakwah kini termasuk dalam kerjaya glamor dengan kehadiran ramai ustaz selebriti dan bagi Ghazali, pengiktirafan itu memudahkan usaha dakwah khususnya apabila mereka dijadikan ikon.

Namun, beliau ada pandangan tersendiri mengenai rancangan realiti yang dilihatnya tidak wajar kerana hakikatnya untuk melahirkan pendakwah bukan seperti ‘petik jari - boleh jadi’. Katanya, pendakwah perlu berilmu dan berkemampuan menyampaikan ilmu itu dengan baik.

Bagi dirinya, beliau lebih senang pendekatan santai untuk membincangkan topik yang ada kaitan dengan amal ibadat harian umat Islam kerana isu berat lebih sesuai dibahaskan dalam seminar atau program wacana.

“Kita nak mesej benar-benar sampai, jadi kena pandai. Selalunya ceramah 40 minit saya kemukakan satu petikan ayat al-Quran, hadis Rasulullah SAW, kemudian kaitkan kisah yang dekat dengan masyarakat,” katanya.



Hasliza Hassan Berita Harian Online Agama 2014/02/02 - 02:18:30 AM
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments