mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Hakikat cinta Rasulullah

ALHAMDULILLAH saya rafakkan setinggi kesyukuran kepada Yang Maha Esa kerana dengan izin-Nya dapat memberi sumbangan artikel tafsir dalam ruangan di Mega, Utusan Malaysia ini. Artikel ini dan seterusnya masih lagi berkaitan dengan Rasulullah SAW. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan juga keluarganya.

Antara syarat mengzahirkan cinta kepada Allah SWT hendaklah mengikut Nabi Muhammad SAW. Hal ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. (ali-Imran: 31)


MENCINTAI Rasullullah SAW mestilah disertai dengan mengikuti sunnah baginda. - Gambar hiasan

Ibnu Kathir dalam tafsirnya berkata: "Ayat pemutus bagi setiap orang yang mengaku mencintai Allah SWT tetapi tidak menempuhi jalan Muhammad SAW, bahawa dia ialah pembohong dalam pengakuan cintanya itu sehingga dia mengikuti syariat dan agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dalam semua ucapan dan perbuatannya."

Sayyid Qutub dalam kitabnya, Fi Zilal al-Quran berkata: "Cinta kepada Allah SWT bukannya dakwaan dengan lisan dan bukannya kerinduan hati semata-mata, malah mestilah disertai dengan mengikuti sunnah Rasulullah SAW, berjalan mengikut hidayatnya dan mengamalkan sistem hidupnya di dalam kehidupan. Keimanan juga bukan kalimah-kalimah yang diucapkan dan bukannya perasaan-perasaan yang berkobar-kobar dan bukan pula syiar-syiar yang diada-adakan, tetapi keimanan itu ialah ketaatan kepada Allah dan Rasul dan mengamalkan sistem hidup yang diatur oleh Allah SWT dan yang dibawa oleh Rasulullah SAW."

Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya berkata mengenai ayat yang pertama: "Ayat yang mulia ini menghukumkan setiap orang yang mendakwa kasihkan Allah SWT, sedangkan dia tidak mengikuti sunnah Nabi Muhammad SAW, bahawa dia sebenarnya dusta sehingga dia mengikut syariat Muhammad dan agama Nabi-Nya dalam segala tutur kata dan amalan-amalannya, sebagaimana telah sabit di dalam sebuah hadis yang sahih daripada Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang megerjakan sesuatu amalan yang tidak disahkan oleh agama kami, maka amalan itu adalah ditolak. (riwayat Muslim)

Mencintai Baginda Rasulullah SAW tiada khilaf di kalangan ulama, hukumnya adalah wajib, bahkan ia termasuk dalam kesempurnaan iman.

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tidak beriman seseorang kamu, sehingga aku lebih dicintainya daripada bapa, anak dan manusia kesemuanya. (riwayat al-Bukhari)

Diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab bahawa beliau telah berkata kepada Rasulullah SAW: Engkau wahai Rasulullah SAW adalah lebih aku cintai daripada semua perkara melainkan diri aku sendiri." Maka Rasulullah SAW berkata: "Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah aku lebih dicintainya daripada dirinya sendiri." Umar berkata: "Demi Tuhan yang menurunkan al-Kitab engkau adalah lebih aku cintai daripada diri aku sendiri." Baginda berkata kepada Umar: "Sekarang engkau beriman wahai Umar! (riwayat al-Bukhari)

Diriwayatkan daripada Ali r.a telah berkata: "Rasulullah SAW adalah lebih kami cintai daripada harta, anak-anak, bapa-bapa, ibu-ibu dan daripada air nyaman di waktu dahaga." (riwayat Qadi Iyad di dalam Kitab al-Syifa’)

Semoga artikel yang kecil dan ringkas ini menjelaskan kepada kita hakikat cinta kepada Rasulullah SAW dan layak kita meraih syurga-Nya. Amin.



DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Utusan Malaysia Bicara Agama 20140131
Tags: rasulullah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments